Ma'lumat Ammah

Tahukah anda Peribahasa " Seperti Anjing dengan bayang-bayangnya" adalah peribahasa yang sebenarnya hanya diada-aakan oleh para pencinta bahasa. akan tetapi peri bahasa ini betul dan tepat kepada manusia yang ada impian yang telah tercapai tetapi bersifat tamak untuk mahu lagi impian yang kemungkinan tidak akan dia dapat.

Sabtu, 25 Julai 2009

Perlu dicontohi

ROKOK ; CONTOHI LANGKAH PERLIS

Tahniah kepada kerajaan Negeri Perlis Indera Kayangan yang bakal membuka satu lagi lembaran baru dengan melaksanakan undang- undang larangan merokok di seluruh kawasan awam di negeri ini. Saya selaku anggota Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma) amat menyokong pelaksanaan ini sebagai satu usaha yang wajar dipuji dalam menjaga hak dan keadilan umum.

Semua sedia maklum bahawa rokok merupakan agen maut yang menyaksikan lebih 10,000 kematian di negara kita dan tidak kurang daripada 5.4 juta kematian di seluruh dunia setiap tahun. Walaupun pelbagai kempen dijalankan secara berterusan ia tidak mampu menghalang berhenti merokok di kalangan perokok tegar mahu pun yang baru melangkah ke alam merokok.

Jelas sekali segala penerangan tentang kesan negatif menghisap rokok ini telah diketengahkan oleh kerajaan, badan-badan berkanun mahupun badan bukan kerajaan. Namun umumnya ia tidak memberi kesan kepada mereka ini kerana kurang kesedaran kendiri.

Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4, 000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Dengan ini setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan maut. Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di kamar gas maut bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Bagaimanapun, racun paling penting adalah Tar, Nikotin dan Karbon Monoksida.

Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia yang diketahui menjadi penyebab kanser (karsinogen). Bahan seperti benzopyrene iaitu sejenis policyclic aromatic hydrocarbon (PAH) telah lama disahkan sebagai agen yang memulakan proses kejadian kanser.

Asap rokok yang dihidu oleh perokok atau mereka yang berada di sekelilingnya akan memasuki rongga mulut dan hidung melalui kerongkong ke paru-paru. Kandungan asap rokok akan menyebabkan kerosakan tisu di sepanjang perjalanan di ruang ini. Ia boleh menyebabkan pelbagai penyakit di mulut, kerongkong, paru-paru dan barah. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, menyebabkan bronkitis, penyakit di bahagian paru-paru. Ia juga akan merosakkan pundi udara dalam paru-paru (alveoli) dan menyebabkan penyakit emfisima.

Saya sangat berharap agar langkah yang dimulakan oleh negeri paling kecil di Malaysia ini akan memberikan kesan positif dan dicontohi oleh negeri-negeri yang lain. Gejala merokok di kalangan remaja kini sudah menjadi biasa dan menular di kalangan remaja perempuan. Lagi membimbangkan adalah ketidakmampuan untuk mengawal dikalangan mahasiswa universiti yang akan menjadi tonggak masa hadapan.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berkata, langkah ini diambil bagi membantu orang ramai membuang tabiat buruk merokok dan meningkatkan taraf kesihatan penduduk di negeri Perlis selain mengawal gejala merokok yang makin berleluasa di kalangan golongan muda terutama remaja.

Semoga banyak lagi alternatif lain yang akan dilaksanakan. Orang Islam sendiri sepatutnya menjadi teras utama anti-merokok kerana jelas haram perkara yang memberikan kemudaratan pada diri. Malah harus difahami perselisihan hukum itu hanya dalam persoalan feqah tetapi dari aspek yang lain seperti sahsiah, keteladanan dan lain-lain jelas haram.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini