HARUS BAGI WANITA MELAKUKAN SEMBELIHAN
Harus hukumnya bagi seorang wanita menyembelih binatang atau melakukan penyembelihan Demikian kesepakatan jumhur seluruh ulama tanpa ada perbezaan pendapat. (M. Adib Kalkul, Ahkam Al-Udh-hiyah wa Al-'Aqiqah wa at-Tadzkiyah, hlm: 63, Nada Abu Ahmad, Al-Jami' li Ahkam Al-Udh-hiyah, hlm: 32).
Imam Ibnu al-Mundzir memuatkan pandangan jumhur ulama tersebut dalam kitabnya Al-Ijma': "Mereka (para ulama) bersepakat mengenai bolehnya penyembelihan oleh anak-anak dan wanita, dengan syarat keduanya mampu menyembelih dan melaksanakan apa-apa yang wajib ada dalam penyembelihan". (Ibnu al-Mundzir, Al-Ijma', hlm:18).
Dalil-dalil yang membolehkan wanita menyembelih adalah sebagai mana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:
Bahawa seorang budak perempuan milik Ka'ab bin Malik pernah menggembalakan kambing-kambing di Sala' (nama tempat). Lalu seekor kambing di antaranya terkena sesuatu, lalu budak itu mendapatinya dan menyembelih kambing itu dengan batu. Kemudian Nabi SAW ditanya mengenai hal itu dan Nabi SAW berkata, "Makanlah kambing itu". (riwayat al-Bukhari, no: 5081; Al-Thahawi, Musykilul Atsar, jld:7, hlm:3).
Dalam riwayat Imam Ahmad, terdapat penjelasan bahawa kambing yang disembelih itu sebelumnya telah digigit serigala.
"Diriwayatkan dari Ka'ab bin Malik, bahawa seorang budak perempuan milik Ka'ab pernah menggembalakan kambingnya di Sala'. Lalu seekor kambing diserang serigala. Penggembala itu mendapatinya lalu menyembelihnya dengan sebuah batu api. Ka'ab bin Malik lalu bertanya kepada Nabi SAW, lalu Nabi SAW memerintahkan Ka'ab untuk memakan kambing itu". (riwayat Ahmad, no 15205; Imam Syaukani, Nailul Authar, 13/22).
Penyembelihan
Berdasarkan hadis tersebut, Imam Ibnu Qudamah berkata: Dalam hadis ini terdapat tujuh faedah. Yang pertama, bolehnya penyembelihan oleh wanita…. (Ibn al-Qudamah, Al-Mughni, 21/370).
Selain hadis di atas, terdapat pula hadis lain sebagaimana disebutkan dalam Shahih al- Bukhari: Abu Musa (Al-Asy'ari) pernah memerintahkan anak-anak perempuannya untuk menyembelih sendiri dengan tangan-tangan mereka. (riwayat al-Bukhari, no: 5132).
* Imam Ibnu Hajar Al-'Asqalani di dalam Fathu al-Bariy syarahannya bagi sahih al-Bukhari, menukilkan pendapat berkait hadis tersebut. Ibnu Al-Tin berkata: "Dalam hadis ini terdapat dalil bolehnya wanita menyembelih…" (Ibnu Hajar Al-Asqalani, Fathu al-Bari ).
Berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas, jelaslah bahawa harus hukumnya seorang wanita menyembelih binatang. Kebanyakan nas yang dijadikan dalil bagi mengharuskan seorang wanita melakukan sembelihan adalah dalam keadaan wujudnya orang lelaki di sisi mereka.
Jika sekiranya tiada orang lelaki yang beragama Islam di sesuatu tempat yang ada hanyalah orang yang tidak beragama Islam maka hukumnya wajib bagi wanita yang beragama Islam melakukan sembelihan bagi mendapatkan daging yang halal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan