Ma'lumat Ammah

Tahukah anda Peribahasa " Seperti Anjing dengan bayang-bayangnya" adalah peribahasa yang sebenarnya hanya diada-aakan oleh para pencinta bahasa. akan tetapi peri bahasa ini betul dan tepat kepada manusia yang ada impian yang telah tercapai tetapi bersifat tamak untuk mahu lagi impian yang kemungkinan tidak akan dia dapat.

Isnin, 2 Januari 2012

Persoalan Agama: Putus silaturahim laluan ke neraka

Bersama Ustaz Zahazan
2011/09/11

USTAZ, sebelum ini saya ada bertengkar dengan adik saya dan isterinya disebabkan perkara yang saya rasa tidak perlu disebutkan di sini. Saya cuba untuk berbaik semula dengan mereka berdua, tapi mereka merajuk dan bermasam muka dengan saya. Saya cuba pergi rumah mereka pada Aidilfitri tetapi mereka enggan buka pintu. Apa komen ustaz

DILEMA,
Langkawi.

ALHAMDULILLAH wassolatu wassalam ala rasulillah wabad. Sebenarnya banyak ayat al-Quran dan hadis yang melarang memutuskan hubungan silaturahim (ada yang menyebut silaturahmi). Antaranya adalah hadis Imam al-Bukhari daripada Jubair bin Muthim yang menyatakan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim.
Kandungan hadis ini dibincangkan oleh pakar-pakar hadis dan mereka berkata bahawa yang tidak masuk syurga itu hanyalah orang yang mendustakan atau tidak percaya ajaran Nabi. Atas dasar itu, mereka memahami kalimah tidak masuk syurga di sini ertinya tidak masuk syurga dalam rombongan yang awal kerana orang yang memutuskan hubungan silaturahim akan diseksa ke dalam neraka terlebih dulu. Ada juga yang memahami hadis itu adalah ancaman agar setiap orang sentiasa menjalinkan hubungan harmoni dengan sesama manusia.

Begitu juga, antara ayat al-Quran yang melarang daripada memutuskan hubungan silaturahim adalah ayat 25 surah ar-Rad yang bermaksud: Orang yang merosakkan janji Allah selepas diikrarkan dengan teguh, dan memutuskan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan, dan mengadakan kerosakan di bumi. Orang itulah yang memperoleh kutukan dan bagi mereka tempat kediaman yang buruk. Dalam surah Muhammad ayat 22 dan 23 yang bermaksud: Maka apakah kiranya, jika kamu sekalian berkuasa, kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan silaturahim? Mereka itulah orang yang dilaknat Allah dan dipekakkan telinga mereka dan dibutakan penglihatan mereka. Firman-Nya lagi dalam surah an-Nisa ayat 1 iaitu: Dan bertakwalah kamu kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan nama-Nya dan peliharalah hubungan silaturahim.

Berselisih yang membawa dua orang Muslim untuk tidak saling menyapa hanya dibenarkan selama tempoh tidak lebih tiga hari. Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis riwayat Muslim yang bermaksud: Tidak dibenarkan bagi seorang Muslim untuk meninggalkan saudaranya (tidak mahu bercakap dengannya kerana benci) lebih tiga hari.

Dalam tempoh itu sudah cukup untuk meluruskan benang yang kusut, mencairkan yang beku dan menjalinkan kembali hubungan silaturahim. Orang yang memutuskan silaturahim boleh menjadikan ia menerima hukuman segera ketika berada di dunia lagi seperti dinyatakan dalam sebuah hadis riwayat Tarmizi daripada Abu Bakar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tidak ada dosa yang layak disegerakan hukumannya di dunia dan apa yang dipersiapkan Allah baginya di akhirat daripada tindakan kezaliman dan memutuskan hubungan silaturahim.

Elok anda berbuat baik kepada adik anda dan isterinya sekalipun mereka bersikap tidak baik dengan anda. Contohnya ketika mereka sakit, ziarahlah mereka, atau selalu memberi hadiah kepada mereka dan seumpamanya.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, beliau bercerita: Ada seorang mengadu kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya mempunyai beberapa saudara di mana saya menghubungkan silaturahim dengan mereka tetapi mereka memutuskan hubungan silaturahim dengan saya. Saya berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berbuat jahat kepada saya. Saya berlemah lembut dengan mereka tetapi mereka tidak tahu diri. Baginda SAW bersabda: Seandainya kamu benar-benar seperti yang kamu katakan, maka seakan-akan kamu menelan abu yang sangat panas kepada mereka. Dan Allah sentiasa memberi pertolongan kepada kamu atas perbuatan mereka selama kamu tetap berbuat demikian. Wallahualam.

Khamis, 13 Oktober 2011

Pendeta yang memeluk Islam

SAYA menerima anugerah gelaran yang sangat mulia, iaitu Bhagwan (tuhan) daripada pengikut-pengikut saya. Tetapi saat itulah sebenarnya saya berada dalam kesesatan dan kegelapan dan saya tercari-cari cahaya untuk keluar daripada kegelapan itu," katanya.

Dr. Maharaj atau nama sebenarnya Achariya Mahant Dr. Shri Shakti Saroopji Maharaj Adasin Dharmachariya Odai Shakti bukan sahaja penganut Hindu sebelum memeluk Islam tetapi beliau sebenarnya tokoh Hindu terkemuka di India.

Sami atau pendeta besar yang bertahun-tahun lamanya berkhidmat di kuil-kuil besar termasuk di Kuil Ban Khand Ashram Brindaban di Mathura, Uttar Pradesh di utara India untuk menyebarkan agama Hindu. Tugasnya melatih pendeta-pendeta untuk menyebarkan agama itu.

Begitu pun tidak sahaja tugas tersebut sebagai meneruskan tradisi warisan keluarga dan keturunan (dilahirkan dalam keluarga Guru Nanak Vedi Wanash). Bahkan beliau amat berilmu kerana mempunyai pelbagai kelulusan akademik dalam pengajian agama.

Ini termasuk pemegang sarjana dalam pengajian Orientalism dari Universiti Allahabad India, sehinggalah Doctor Of Divinity dari Universiti Oxford, United Kingdom.

Beliau turut boleh bertutur dan menulis dalam 12 bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Sanskrit, Greek, Dibro, Prakirit, Pali, Gurmukhi, Marhathi, Gujrati, Urdu dan juga Bahasa Arab.

Semua itu adalah kelebihan untuk beliau menguasai pengetahuan mengenai 10 agama besar dunia yang lain terutamanya Kristian dan Islam itu sendiri.

Kehebatan itu menyebabkan banyak pihak cuba menguji beliau. Paling menarik apabila Dr. Maharaj mendapat pengiktirafan tinggi oleh pusat Gereja Roman Katholik (Vatican City) apabila beliau mendapat undangan khas Pope, Paul VI pada tahun 1981.

"Atas undangan khas itu, mereka sebenarnya cuba memberi tekanan yang cukup hebat apabila saya dikehendaki bercakap tujuh topik berbeza atas pengetahuan yang saya miliki mengenai Kristian.

"Saya berjaya membuatkan mereka berpuas hati dengan hujah-hujah sehinggakan saya dianugerahi gelaran dan penghormatan khas menjadi warga Vatican City sebagai satu usaha untuk menarik saya untuk memeluk Kristian.

"Tetapi secara peribadi saya sama sekali tidak tertarik bertukar agama malah pulang semula ke India," katanya.

Sebenarnya, beliau lebih terpengaruh dengan ajaran Islam walaupun berjaya memuaskan pihak Vatican atas pengetahuan luasnya terhadap ajaran Kristian.

Pada tahun yang sama (1981) beliau menyampaikan syarahan dalam pertemuan di Kuil Ashram Param Dham yang turut dihadiri tokoh-tokoh agama Hindu yang lain.

Ini termasuklah Dada Dharam Adhikari yang secara tiba-tiba mengajukan satu soalan kepada Dr. Maharaj.

"Swami Ji, anda telah mengenali dan mempelajari pelbagai agama yang ada di dunia ini. Pada pandangan awak sekarang, dalam banyak-banyak agama, agama manakah yang awak rasa paling baik untuk dianuti oleh seluruh manusia?"

Soalan yang tidak disangka-sangka itu dijawab pendek tetapi tegas oleh Dr. Maharaj: "Islam".

"Tetapi Islam sebuah agama yang mengongkong umatnya," tanya Dada Dharam yang lebih terkejut dengan jawapan Dr. Maharaj.

Dr. Maharaj pun menjawab: "agama yang disebut sebagai sangat mengongkong itu, agama itu jugalah memberi kebebasan kepada umatnya. Malah sebenarnya agama yang dianggap tidak mengongkong manusia itulah menyebabkan penganutnya menjadi tidak bebas, terikat kepada pelbagai peraturan dan ajaran yang tidak masuk akal.

"Pada hakikatnya, manusia memerlukan agama yang mengongkong kehidupan supaya kehidupan mereka di dunia ini teratur dan aman dari segala macam masalah dan godaan duniawi tetapi kesudahannya menikmati kebebasan sepenuhnya untuk kehidupan di akhirat kelak.

"Bagi saya Islamlah, satu-satunya agama yang memenuhi segala kualiti sebagai agama yang paling baik".

Jawapan itu sangat mengejutkan tetapi dianggap tidak lebih daripada sebagai pengetahuan semata-mata. Sedangkan bagi Dr. Maharaj ia tidak lebih peperangan dalam diri yang membawakan beliau akhirnya menyerahkan diri kepada Islam, sebagai satu kemenangan besar yang mengeluarkan dirinya daripada kesesatan.

Begitulah kesannya apabila ilmu dikuasai. Walaupun pelbagai agama dikenali dan dipelajari namun ia tidak membuatkan hati Dr. Maharaj menjadi berbelah bagi. Malah yang beliau temui adalah kekuasaan Allah. Lebih-lebih lagi Allah dan kisah Nabi Muhammad ada disebutkan dalam agama-agama yang beliau kaji.

"Kecuali dalam ajaran Buddha dan Jainism, dalam semua ajaran agama yang lain ada disebutkan mengenai nama Allah dan Mohamad atau Ahmad. Malah dalam kitab Hindu sendiri, perkataan Ala terdapat di Bab Pertama dalam Rig Veda yang menjadi permulaan kepada empat huruf nama Allah itu.

"Begitu juga persamaan 'Moha-mmad' dan 'Ah-mad' untuk Nabi Muhammad dan Ahmad dan 'Kurdha-noo' turut digunakan dalam kitab Rig Veda yang merujuk kepada kitab suci al-Quran," ujarnya.

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

berita harian 13 Oktober 2011

Isnin, 26 September 2011

Kita banyak terpesong bila taksub filem seram


KECENDERUNGAN masyarakat pelbagai usia terhadap cerita hantu dapat digambarkan dengan kehadiran jutaan penonton di pawagam menjadikan angka kutipan tiket sangat tinggi berbanding filem genre lain. Kelahiran filem berasaskan hantu mula menjadi sebutan selepas kejayaan filem seram seperti Jangan Pandang Belakang (JPB).

Pemikiran generasi muda makin disempitkan dengan kisah hantu dan seram meniti ruang hidup dari kantin sekolah hingga ke dalam pejabat dan dari ruang tamu hingga ke bilik kosong semua dilihat berhantu. Kejayaan luar biasa filem berasaskan hantu menjadikan penerbit di negara saling merebut peluang mengeluarkan filem seram dengan pelbagai tajuk hebat meskipun jalan ceritanya karut marut.
Maka tidak hairanlah, filem hantu seperti Jangan Pandang Belakang Congkak, Karak, Hantu Kak Limah Balik Kampung dan yang terkini Hantu Bonceng mengisi keluaran filem negara. Malah ada pengarah sanggup mengorek kisah dongeng lama atau mereka cipta jenis hantu lalu memberi nama baru seperti kuntilanak, pocong, sundel bolong, hantu penanggal, hantu susu, hantu gigi dan sebagainya.
Dalam kerakusan menerbitkan filem, penerbit, pengarah, penulis skrip serta pelakon tidak lagi mempersoalkan kesan negatif kepada masyarakat khususnya masyarakat muda dan kanak-kanak. Babak melapah daging manusia, menghisap darah atau sebagainya dilakonkan dengan cukup berkesan.

Masih segar babak bagaimana lakonan Ruminah Sidek dalam filem (JPB) sedang makan di ruang dapur dalam keadaan sangat menyeramkan, atau lakonan Putri Mardiana melapah darah di lantai dalam filem Santau. Pelbagai babak ngeri yang berjaya menjelmakan unsur seram yang jelas dan hidup kepada masyarakat.

Bayangkan anak kecil sudah diserapkan akal dengan kewujudan hantu yang berada di merata tempat.

Kekuatan kepercayaan kepada hantu tahyul ini sebenarnya mengancam akidah umat Islam. Syaitan boleh bertepuk tangan kerana ramai manusia lemah pegangan agama dan ilmunya dipesongkan kepada ketakutan terhadap hantu menyelimuti dalam rutin kehidupan dari memikirkan kebesaran Allah.
Firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa syirik dan mengampuni dosa selain itu bagi orang yang Dia kehendaki, dan sesiapa yang syirik kepada Allah, maka sesungguhnya mereka sudah melakukan dosa sangat besar. (Surah an-Nisa, ayat 48)

Remaja akan takut bangun pagi semata-mata takut bertemu pocong di bilik bacaan.
Anak kecil menahan kencing kerana takut ke tandas dipercayai adanya momok. Begitu juga masyarakat yang ditutup pemikirannya dengan kisah hantu untuk membenarkan kewujudannya meskipun kehadiran makhluk ini bukan bersifat nyata dan benar.

Kekuatan media sudah pasti mempengaruhi corak kehidupan generasi muda. Lambakan drama di televisyen berkisar cerita hantu disiarkan saban malam. Lebih mendukacitakan sempena Aidilfitri lalu, banyak filem seram ditayangkan.

Kekuatan kepercayaan kepada hantu boleh menggugat keharmonian negara. Lebih ramai pelajar akan mengalami histeria. Lebih ramai umat Islam terdedah kepada amalan sihir semata-mata untuk menghalau hantu jembalang yang dipercayai mengganggu kehidupan. Akhirnya segala jenis penyakit manusia pun dikatakan gangguan momok.

Lebih parah, apabila bomoh, dukun atau peramal perubatan tradisional akan lebih berpengaruh dihampiri masyarakat bagi mengubati penyakit yang dikatakan berpunca daripada makhluk halus atau jembalang. Kebanyakan kes rogol, cabul dan gangguan seksual turut dikaitkan dengan kepercayaan menghalau gangguan makhluk halus atau syaitan.

Kecenderungan bomoh dalam ritual perubatan tradisional yang pelik serta aneh membawa kepada kesongsangan akidah dan diyakini boleh merosakkan iman pesakit yang dirawat. Larangan menjauhi perbuatan syirik sangat dititikberatkan dalam agama.

Rasulullah SAW melarang berjumpa tukang tenung (kuhhan) dalam sabda bermaksud: Sesiapa yang menjumpai tukang tenung, kemudian ia bertanyakan kepadanya sesuatu, ditutup baginya pintu taubat selama 40 malam. (Hadis riwayat Tabarani)

Ahad, 12 Jun 2011

Persoalan Agama: Solat Jumaat boleh dijamak dengan Asar ketika musafir

SOALAN : ASSALAMUALAIKUM ustaz. Saya ingin bertanya solat Jumaat ketika musafir. Sekiranya saya sudah melakukan solat Jumaat, bolehkah saya jamakkan dengan solat Asar? Soalan kedua, ketika saya musafir, bolehkah saya mengikut imam solat Maghrib berjemaah dengan penduduk suatu tempat, kemudian saya terus melakukan solat jamak dan qasar solat Isyak bersendirian? Saya pernah mendengar ketika hujan boleh dilakukan solat jamak, betulkah begitu?

HM,
Kuala Lumpur.


ALHAMDULILLAH, wassolatu wassalam ‘ala rasulillah waba’d. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat 101 yang bermaksud: “Apabila kamu berjalan (musafir) di muka bumi, maka tidaklah berdosa bagi kamu qasarkan (memendekkan) solat, jika kamu takut diserang oleh orang kafir. Sesungguhnya orang kafir itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.”

Ayat itu diturunkan berkaitan dengan sekelompok orang Bani Najjar yang suatu ketika bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami ini sering merantau untuk berniaga. Bagaimana cara kami melakukan solat? (Hadis riwayat Ibnu Jarir).

Walaupun ayat 101 surah an-Nisa’ menceritakan keadaan yang ketakutan, solat Jamak dan Qasar juga boleh dilakukan ketika musafir dalam keadaan aman. Manakala disebut dalam satu hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, daripada Anas beliau berkata: “Rasulullah SAW apabila berangkat dalam perjalanan (rehlah) sebelum tergelincir matahari, Baginda akan menta’khirkan solat Zuhur ke waktu Asar. Kemudian Baginda turun (berhenti) Baginda menjamakkan kedua-duanya (Zuhur dan Asar). Maka jika sudah tergelincir matahari sebelum Baginda berangkat, Baginda solat Zuhur dulu kemudian Baginda baru naik kenderaan.

Berbalik kepada pertanyaan saudara, sekiranya saudara melakukan solat Jumaat ketika musafir, saudara boleh menjamak (menghimpun) dengan solat Asar. Begitu juga sekiranya saudara sudah melakukan solat Maghrib berjemaah dengan penduduk tempatan, saudara boleh terus melakukan solat Isyak qasar (memendekkan kepada dua rakaat) sebagai jamak taqdim.
Seseorang dibolehkan untuk menjamak antara Zuhur dan Asar atau Maghrib dan Isyak ketika:

Pertama: Berada di Arafah dan Muzdalifah

Kalangan ulama sudah sepakat bahawa jamak antara Zuhur dan Asar di Arafah, jamak takdim pada waktu Zuhur dan antara Maghrib dan Isyak, jamak takhir di Muzdalifah adalah sunnah seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Kedua: Berada dalam safar

Jamak (menghimpun) antara dua solat dalam musafir adalah harus (boleh) menurut pendapat kebanyakan ulama. Tidak ada beza antara musafir singgah pada suatu tempat atau sedang berjalan.

Ketiga: Kerana hujan

Ulama mazhab Syafie membolehkan jamak bagi orang yang bermukim, iaitu jamak taqdim sahaja dengan syarat ada hujan ketika ihram (takbir) solat pertama, sesudah selesai yang pertama kemudian dimulakan yang kedua. Perlu diketahui bahawa rukhsah (keringanan) ini tertentu dengan orang yang solat berjemaah di masjid yang datang dari jauh yang mengalami kesukaran dalam perjalanan. Adapun orang yang tinggal berdekatan masjid atau solat berjemaah di rumahnya atau boleh ke masjid dengan memakai payung, maka tidak dibolehkan mereka menjamak solatnya.

Keempat: Kerana sakit atau uzur

Imam Ahmad, al Qadhi Husain, al Khaththaby, Mutawalli daripada ashhab as-Syafi’I berpandangan bahawa menjamakkan solat kerana uzur (sakit), baik taqdim mahupun ta’khir dibolehkan kerana kesukaran. Sakit lebih kuat daripada kesukaran yang lain. Imam an-Nawawi berkata: Pendapat ini dalilnya kuat. Demikianlah, wallahua’lam.

Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
bhagama@bharian.com.my
2011/06/05


Khamis, 12 Mei 2011

Hiburan tanpa bersandar keimanan bawa kesan negatif

HIBURAN tidak hanya terbatas kepada muzik atau fesyen, tetapi apa saja yang dapat menghiburkan. Islam tidak melarang hiburan. Sesuatu yang menghiburkan sepatutnya melahirkan ketenangan.

Namun ketenangan bukanlah bersifat sementara tetapi dapat memberi kesan kepada jiwa dan memotivasikan seseorang dalam apa juga dilakukannya.
Manusia secara fitrah memerlukan hiburan kerana ia menyumbang produktiviti. Tekanan hidup berterusan boleh menyebabkan seseorang itu berputus asa. Semua orang perlukan hiburan tetapi apa yang menghiburkan itu berbeza.
Apakah hiburan hakiki yang boleh memberikan ketenangan? Tiada ketenangan hakiki kecuali mengingati Allah. Mengingati Allah juga tidak semestinya dibatasi dengan ibadat khusus. Islam agama fitrah yang meraikan fitrah dan keinginan manusia pelbagai.

Syariat adalah garis panduan jelas bagaimana meraikan dan mengawal keinginan manusia. Tidak menjadi kesalahan meminati lagu yang enak didengar selagi liriknya tidak bercanggah akidah Islam atau melalaikan. Oleh itu, hiburan dalam Islam perlulah sesuatu yang tidak melalaikan.

Apa yang dimaksudkan dengan melalaikan? Sesuatu itu dapat dirumuskan sebagai tidak melalaikan jika ia tidak menjadikan seseorang itu lupa kepada Allah dan caranya tidak bercanggah dengan syariat.

Walaupun Islam meraikan pelbagai keinginan manusia, Islam juga menetapkan kaedah jelas meraikan keinginan itu. Pada masa sama, perlu diperhalusi tujuan berhibur. Jika berhibur untuk mendapatkan ketenangan dan merehatkan minda, tiada kaedah terbaik kecuali mengingati Allah.
Firman Allah bermaksud: “(Iaitu) orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Surah al-Ra‘d, ayat 28)

Hiburan yang memberi ketenangan dapat dicapai menerusi pelbagai aktiviti seperti jiwa tenang jika mengamati ciptaan Allah. Berada di tepi pantai boleh memberi ketenangan, maka ia menjadi ibadat jika mengaitkan kehebatan alam ini dengan kekuasaan Allah.

Jika melaksanakan kerja sukarela boleh memberi kepuasan kepada seseorang, maka ia perlu diasaskan dengan niat kerana Allah. Maksud sabda Rasulullah SAW: “Siapa menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Golongan yang tidak menyandarkan hiburan kepada keimanan, akan melakukan apa saja untuk berhibur dan mencari kepuasan. Ada yang sanggup berbelanja walaupun yang dibeli itu bukanlah keperluan maka berlakulah pembaziran.

Mereka sanggup berbelanja semata-mata untuk berhibur, tetapi tidak sanggup berkorban wang dan masa untuk kewajipan lain. Ini menunjukkan fitrah manusia yang sukakan hiburan. Jika keinginan ini tidak dikawal maka akan wujudlah kerugian dan kerosakan.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya pemboros itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’, ayat 27)

Ada juga yang berhibur dengan kaedah merosakkan, sama ada merosakkan harta (vandalisme) sendiri atau orang lain.

Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qasas, ayat 77)

Masyarakat semakin hari semakin ketagihan hiburan, seolah-olah tidak boleh hidup tanpa hiburan. Lebih parah lagi ketagihan itu membabitkan perkara yang jelas bercanggah ajaran Islam. Ada yang sanggup membelai nafsu untuk berhibur, seperti mencari hiburan dengan aktiviti berunsurkan seksual.

Hiburan semata tanpa diasaskan dan dikaitkan dengan keimanan kepada Allah akan memberi kesan negatif. Contohnya, pembabitan dengan perkara yang diharamkan dalam mencari hiburan seperti minuman keras, dadah, seks bebas, membawa kepada kehancuran diri seterusnya masyarakat.

Walaupun Islam tidak menghalang hiburan, namun mekanisme untuk berhibur, aspek hiburan dan kesan hiburan adalah antara yang perlu dipastikan bersesuaian dengan syariat. Walaupun Islam meraikan keinginan fitrah manusia, namun nafsu atau keinginan itu perlu dikawal.

Oleh Noor Shakirah Mat Akhir

Berita Harian

Isnin, 2 Mei 2011

Kerjaya jadi ibadah jika dilakukan ikut garis ditetapkan Islam

SEGELINTIR masyarakat tidak memahami pekerjaan seharian dinilai sebagai ibadah apabila memenuhi garis panduan ditentukan syariat. Malah di situlah letaknya nilai keunikan Islam sebagai cara hidup jika difahami dengan teliti.

Pernyataan ini sekali gus menafikan pandangan serong yang cuba memisahkan agama dengan kehidupan kerana setiap gerak geri dan tindak tanduk umat Islam dinilai baik ataupun buruknya. Matlamat akhir sesuatu pekerjaan dilakukan mestilah bertujuan memperoleh keredaan Allah.
Justeru, beberapa perkara perlu diperhalusi bagi mencapai maksud dan tujuan mulia itu antaranya, niat ikhlas ketika bekerja kerana tidak dinafikan setiap orang pasti mengharapkan balasan bersifat duniawi seperti gaji dan ganjaran lain terhadap kerja yang dilakukan.
Saranan Baginda Nabi Muhammad SAW supaya pekerja dibayar upah sebelum kering peluhnya menunjukkan bagaimana Islam sangat mengambil berat persoalan ini. Lebih daripada itu, niat ikhlas ketika bekerja boleh diterjemahkan dengan tidak curi tulang atau melakukan kerja sambil lewa.

Malah ada juga yang bersungguh-sungguh bekerja ketika di depan bos lalu dianggap seorang yang berdedikasi tetapi berubah menjadi munafik apabila di belakangnya. Amalan buruk sebegini dikhuatiri memberi kesan kepada keberkatan gaji diperoleh sekalipun banyak tetapi masih tidak mencukupi.

Memilih pekerjaan yang dibenarkan syariat adalah antara syarat utama sesuatu pekerjaan dinilai ibadah. Aktiviti tidak sihat dan dilarang agama mengundang kemurkaan Allah, jadi bagaimana ia boleh diterima sebagai ibadah.

Tindakan individu yang mengaut keuntungan daripada kesusahan orang lain adalah pekerjaan yang diharamkan. Amalan buruk seperti ini boleh menjejaskan hubungan istimewa seorang Muslim dengan saudaranya yang lain.
Pembabitan masyarakat Islam dalam aktiviti tidak sihat seperti bekerja di premis menjual arak, pusat hiburan dan judi, premis yang menganjurkan maksiat seperti kelab malam dan pusat pelacuran dilarang sama sekali.

Sesibuk mana pun bekerja ia tidak seharusnya menyebabkan seseorang melalaikan tanggungjawab ibadat khususnya solat dan berpuasa di bulan Ramadan. Ia juga tidak boleh dijadikan alasan untuk mengqada solat yang sengaja ditinggalkan.

Dalam hal ini, ketua jabatan yang beragama Islam boleh memainkan peranan sentiasa mengingatkan kakitangan bawahan supaya tidak mengabaikan solat lima waktu. Mesyuarat yang diadakan boleh dirancang supaya tidak menyebabkan tertinggal solat fardu.

Dalam konteks lain, suami isteri bekerja perlu memahami mereka bertanggungjawab mengurus rumah tangga dan anak dengan sempurna. Adalah tidak molek isteri hebat di pejabat tetapi suami dan anak berantakan di rumah.

Begitu pula jika suami hanya sibuk dengan perniagaan dan bermain golf selepas waktu pejabat, boleh mengundang implikasi buruk seperti isteri curang dan anak bebas tanpa perhatian ibu bapa.

Ketika bekerja, adab dan pergaulan antara bukan mahram perlu diberi perhatian serius. Elakkan perkara yang boleh mengundang fitnah sehingga merosakkan hubungan suami isteri.

Cara berpakaian segelintir wanita berkerjaya dan hubungan di tempat kerja hendaklah tidak melangkaui sempadan agama dan garis panduan ditetapkan. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Wanita adalah aurat, apabila dia keluar maka syaitan akan menyambutnya.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Perbuatan kurang sopan seperti berdua-duaan dalam pejabat dan gurauan melampaui batas perlu dielakkan bagi mengelak tuduhan.

Kejayaan sebenar bekerja bukan bersandarkan gaji atau pangkat. Matlamat utama seharusnya disasarkan adalah al-falah iaitu kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Apa guna gaji dan pendapatan lumayan jika ia tidak mampu membeli syurga penuh kenikmatan.

Oleh Mohd Ali Muhamad Don ( utusan Malaysia 2011/05/02 )

Isnin, 11 April 2011

Gambaran kiamat menurut al-QuraN

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI


Tsunami yang berlaku mungkin bayangan kecil kepada kiamat yang dijanjikan oleh Allah kepada makhluk-Nya.

SURAH al-Zalzalah termasuk dalam kategori surah Madaniyyah. Inilah pendapat Ibn Abbas, Qatadah, Muqatil dan jumhur ulama. Sedangkan Ibn Mas’ud, Ata’ dan Jabir pula berpendapat ia termasuk dalam surah Makiyyah.

Ia mengandungi lapan ayat dan diturunkan selepas surah al-Nisa’. Hubungan surah ini dengan surah al-Bayyinah adalah: Dalam surah yang lalu diterangkan balasan yang diterima oleh orang yang beriman dan orang kafir. Dalam surah ini pula, Allah SWT menjelaskan waktu dan tanda-tanda berlaku hari kebangkitan.

Sebab nuzul

Orang kafir sering bertanya tentang hari pengadilan. Mereka bertanya: Bilakah datangnya hari Kiamat itu? Manakala sesetengah yang lain bertanya: Bilakah datangnya janji itu?

Dalam surah ini, Allah SWT menerangkan tanda-tanda akan berlakunya hari kiamat agar mereka mengetahui bahawa tiada jalan lain untuk menentukan hari itu iaitu hari yang didedahkan kepada manusia bahawa mereka semua akan kembali menghadap Allah SWT untuk mengurniakan balasan pahala kepada orang yang beriman serta seksaan kepada orang yang melakukan perbuatan dosa.

Tafsiran ayat

Firman Allah SWT: Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan (yang dahsyat). Dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat (yang dikandungnya).

Ibn al-Jauzi menyebut dua pendapat ulama berkenaan dengan waktu goncangan tersebut:

i. Ia berlaku di dunia dan termasuk tanda kiamat. Inilah pendapat kebanyakan ulama.

ii. Ia goncangan pada hari kiamat. Inilah pendapat Kharijah bin Zaid.

Berkenaan dengan maksud telah mengeluarkan beban-beban berat:

i. Orang-orang mati dibangkitkan seperti kata Ibn Abbas.

ii. Segala bahan simpanannya daripada emas, perak dan lain-lain seperti pendapat Atiyyah.

Sayid Qutub berkata: Itulah peristiwa hari Kiamat di mana seluruh bumi bergegar dengan gempa-gempa yang paling dahsyat dan meluahkan segala isi perutnya dari mayat-mayat, logam-logam dan sebagainya, seolah-olah bumi mahu meringankan tubuhnya daripada kandungan-kandungan yang berat itu.

Itulah satu pemandangan yang menunjukkan segala sesuatu yang tegak di bumi telah bergoyang di bawah tapak kaki para pendengar surah ini. Mereka merasa terhuyung-hayang, bumi terus bergegar dan bergoncang di bawah tapak kaki mereka, satu pemandangan yang menakutkan hati yang selama ini menyangkakan segala apa yang tegak di bumi itu akan tetap teguh, kukuh dan kekal abadi.

Inilah kesan pertama kiamat yang digambarkan oleh al-Quran, satu gambaran yang benar-benar hidup dan menjalar ke dalam saraf-saraf pendengar ayat-ayat ini sebaik sahaja mendengar ungkapan al-Quran yang unik ini.

Kesan ini bertambah apabila digambarkan reaksi manusia terhadap pemandangan itu dan dilukiskan keadaan-keadaan perasaan mereka ketika melihat pemandangan ini.

Firman Allah SWT: Dan manusia bertanya: Mengapa bumi (menjadi begini)? Pada hari itu bumi menceritakan beritanya. Kerana sesungguhnya Tuhanmu telah memerintahkan (yang sedemikian itu) kepadanya.

Al-Mawardi mengemukakan maksud bumi mengkhabarkannya kepada dua pendapat:

i. Perkhabaran berkenaan segala amalan hamba yang dilakukan di dunia dahulu. Inilah pendapat Abu Hurairah.

ii. Mengkhabarkan berkenaan perihal kiamat. Inilah pendapat Ibn Mas’ud

Ketika berlakunya gempa bumi yang hebat ini, bumi menceritakan isinya kepadamu dalam bentuk kegoncangan, getaran yang hebat dan gerakan bumi yang dahsyat serta kehancuran seluruh isinya yang tiada tandingannya sebelum ini.

Justeru, ia akan memberi jawapan dan pengertian kepada orang yang bertanya bahawa kegoncangan yang sedang berlaku itu bukan kerana sebab-sebab yang biasa berlaku ketika seluruh alam berada dalam keadaan normal.

Cari Blog Ini

Memuatkan ...