Ma'lumat Ammah

Tahukah anda Peribahasa " Seperti Anjing dengan bayang-bayangnya" adalah peribahasa yang sebenarnya hanya diada-aakan oleh para pencinta bahasa. akan tetapi peri bahasa ini betul dan tepat kepada manusia yang ada impian yang telah tercapai tetapi bersifat tamak untuk mahu lagi impian yang kemungkinan tidak akan dia dapat.

Khamis, 12 Mei 2011

Hiburan tanpa bersandar keimanan bawa kesan negatif

HIBURAN tidak hanya terbatas kepada muzik atau fesyen, tetapi apa saja yang dapat menghiburkan. Islam tidak melarang hiburan. Sesuatu yang menghiburkan sepatutnya melahirkan ketenangan.

Namun ketenangan bukanlah bersifat sementara tetapi dapat memberi kesan kepada jiwa dan memotivasikan seseorang dalam apa juga dilakukannya.
Manusia secara fitrah memerlukan hiburan kerana ia menyumbang produktiviti. Tekanan hidup berterusan boleh menyebabkan seseorang itu berputus asa. Semua orang perlukan hiburan tetapi apa yang menghiburkan itu berbeza.
Apakah hiburan hakiki yang boleh memberikan ketenangan? Tiada ketenangan hakiki kecuali mengingati Allah. Mengingati Allah juga tidak semestinya dibatasi dengan ibadat khusus. Islam agama fitrah yang meraikan fitrah dan keinginan manusia pelbagai.

Syariat adalah garis panduan jelas bagaimana meraikan dan mengawal keinginan manusia. Tidak menjadi kesalahan meminati lagu yang enak didengar selagi liriknya tidak bercanggah akidah Islam atau melalaikan. Oleh itu, hiburan dalam Islam perlulah sesuatu yang tidak melalaikan.

Apa yang dimaksudkan dengan melalaikan? Sesuatu itu dapat dirumuskan sebagai tidak melalaikan jika ia tidak menjadikan seseorang itu lupa kepada Allah dan caranya tidak bercanggah dengan syariat.

Walaupun Islam meraikan pelbagai keinginan manusia, Islam juga menetapkan kaedah jelas meraikan keinginan itu. Pada masa sama, perlu diperhalusi tujuan berhibur. Jika berhibur untuk mendapatkan ketenangan dan merehatkan minda, tiada kaedah terbaik kecuali mengingati Allah.
Firman Allah bermaksud: “(Iaitu) orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Surah al-Ra‘d, ayat 28)

Hiburan yang memberi ketenangan dapat dicapai menerusi pelbagai aktiviti seperti jiwa tenang jika mengamati ciptaan Allah. Berada di tepi pantai boleh memberi ketenangan, maka ia menjadi ibadat jika mengaitkan kehebatan alam ini dengan kekuasaan Allah.

Jika melaksanakan kerja sukarela boleh memberi kepuasan kepada seseorang, maka ia perlu diasaskan dengan niat kerana Allah. Maksud sabda Rasulullah SAW: “Siapa menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Golongan yang tidak menyandarkan hiburan kepada keimanan, akan melakukan apa saja untuk berhibur dan mencari kepuasan. Ada yang sanggup berbelanja walaupun yang dibeli itu bukanlah keperluan maka berlakulah pembaziran.

Mereka sanggup berbelanja semata-mata untuk berhibur, tetapi tidak sanggup berkorban wang dan masa untuk kewajipan lain. Ini menunjukkan fitrah manusia yang sukakan hiburan. Jika keinginan ini tidak dikawal maka akan wujudlah kerugian dan kerosakan.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya pemboros itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’, ayat 27)

Ada juga yang berhibur dengan kaedah merosakkan, sama ada merosakkan harta (vandalisme) sendiri atau orang lain.

Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qasas, ayat 77)

Masyarakat semakin hari semakin ketagihan hiburan, seolah-olah tidak boleh hidup tanpa hiburan. Lebih parah lagi ketagihan itu membabitkan perkara yang jelas bercanggah ajaran Islam. Ada yang sanggup membelai nafsu untuk berhibur, seperti mencari hiburan dengan aktiviti berunsurkan seksual.

Hiburan semata tanpa diasaskan dan dikaitkan dengan keimanan kepada Allah akan memberi kesan negatif. Contohnya, pembabitan dengan perkara yang diharamkan dalam mencari hiburan seperti minuman keras, dadah, seks bebas, membawa kepada kehancuran diri seterusnya masyarakat.

Walaupun Islam tidak menghalang hiburan, namun mekanisme untuk berhibur, aspek hiburan dan kesan hiburan adalah antara yang perlu dipastikan bersesuaian dengan syariat. Walaupun Islam meraikan keinginan fitrah manusia, namun nafsu atau keinginan itu perlu dikawal.

Oleh Noor Shakirah Mat Akhir

Berita Harian

Isnin, 2 Mei 2011

Kerjaya jadi ibadah jika dilakukan ikut garis ditetapkan Islam

SEGELINTIR masyarakat tidak memahami pekerjaan seharian dinilai sebagai ibadah apabila memenuhi garis panduan ditentukan syariat. Malah di situlah letaknya nilai keunikan Islam sebagai cara hidup jika difahami dengan teliti.

Pernyataan ini sekali gus menafikan pandangan serong yang cuba memisahkan agama dengan kehidupan kerana setiap gerak geri dan tindak tanduk umat Islam dinilai baik ataupun buruknya. Matlamat akhir sesuatu pekerjaan dilakukan mestilah bertujuan memperoleh keredaan Allah.
Justeru, beberapa perkara perlu diperhalusi bagi mencapai maksud dan tujuan mulia itu antaranya, niat ikhlas ketika bekerja kerana tidak dinafikan setiap orang pasti mengharapkan balasan bersifat duniawi seperti gaji dan ganjaran lain terhadap kerja yang dilakukan.
Saranan Baginda Nabi Muhammad SAW supaya pekerja dibayar upah sebelum kering peluhnya menunjukkan bagaimana Islam sangat mengambil berat persoalan ini. Lebih daripada itu, niat ikhlas ketika bekerja boleh diterjemahkan dengan tidak curi tulang atau melakukan kerja sambil lewa.

Malah ada juga yang bersungguh-sungguh bekerja ketika di depan bos lalu dianggap seorang yang berdedikasi tetapi berubah menjadi munafik apabila di belakangnya. Amalan buruk sebegini dikhuatiri memberi kesan kepada keberkatan gaji diperoleh sekalipun banyak tetapi masih tidak mencukupi.

Memilih pekerjaan yang dibenarkan syariat adalah antara syarat utama sesuatu pekerjaan dinilai ibadah. Aktiviti tidak sihat dan dilarang agama mengundang kemurkaan Allah, jadi bagaimana ia boleh diterima sebagai ibadah.

Tindakan individu yang mengaut keuntungan daripada kesusahan orang lain adalah pekerjaan yang diharamkan. Amalan buruk seperti ini boleh menjejaskan hubungan istimewa seorang Muslim dengan saudaranya yang lain.
Pembabitan masyarakat Islam dalam aktiviti tidak sihat seperti bekerja di premis menjual arak, pusat hiburan dan judi, premis yang menganjurkan maksiat seperti kelab malam dan pusat pelacuran dilarang sama sekali.

Sesibuk mana pun bekerja ia tidak seharusnya menyebabkan seseorang melalaikan tanggungjawab ibadat khususnya solat dan berpuasa di bulan Ramadan. Ia juga tidak boleh dijadikan alasan untuk mengqada solat yang sengaja ditinggalkan.

Dalam hal ini, ketua jabatan yang beragama Islam boleh memainkan peranan sentiasa mengingatkan kakitangan bawahan supaya tidak mengabaikan solat lima waktu. Mesyuarat yang diadakan boleh dirancang supaya tidak menyebabkan tertinggal solat fardu.

Dalam konteks lain, suami isteri bekerja perlu memahami mereka bertanggungjawab mengurus rumah tangga dan anak dengan sempurna. Adalah tidak molek isteri hebat di pejabat tetapi suami dan anak berantakan di rumah.

Begitu pula jika suami hanya sibuk dengan perniagaan dan bermain golf selepas waktu pejabat, boleh mengundang implikasi buruk seperti isteri curang dan anak bebas tanpa perhatian ibu bapa.

Ketika bekerja, adab dan pergaulan antara bukan mahram perlu diberi perhatian serius. Elakkan perkara yang boleh mengundang fitnah sehingga merosakkan hubungan suami isteri.

Cara berpakaian segelintir wanita berkerjaya dan hubungan di tempat kerja hendaklah tidak melangkaui sempadan agama dan garis panduan ditetapkan. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Wanita adalah aurat, apabila dia keluar maka syaitan akan menyambutnya.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Perbuatan kurang sopan seperti berdua-duaan dalam pejabat dan gurauan melampaui batas perlu dielakkan bagi mengelak tuduhan.

Kejayaan sebenar bekerja bukan bersandarkan gaji atau pangkat. Matlamat utama seharusnya disasarkan adalah al-falah iaitu kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Apa guna gaji dan pendapatan lumayan jika ia tidak mampu membeli syurga penuh kenikmatan.

Oleh Mohd Ali Muhamad Don ( utusan Malaysia 2011/05/02 )

Cari Blog Ini