Ma'lumat Ammah

Tahukah anda Peribahasa " Seperti Anjing dengan bayang-bayangnya" adalah peribahasa yang sebenarnya hanya diada-aakan oleh para pencinta bahasa. akan tetapi peri bahasa ini betul dan tepat kepada manusia yang ada impian yang telah tercapai tetapi bersifat tamak untuk mahu lagi impian yang kemungkinan tidak akan dia dapat.

Ahad, 25 April 2010

Jangan lupa Allah


Abu Bakar Lam Abdullah (dua dari kiri) menerima hamper daripada wakil LZS yang mengunjungi mereka di Ampang, Selangor, baru-baru ini.


Kemiskinan adalah relatif. Ada orang menjadi miskin kerana keturunan dan ada orang yang menjadi miskin dek faktor persekitaran. Bagi pasangan asnaf Abu Bakar Lam Abdullah, 45 dan Asmaton Bokari, 38, mereka miskin kerana faktor kesihatan.

Kedua-duanya diuji Allah SWT dengan sakit yang kronik, Abu Bakar baharu sahaja diserang angin ahmar manakala Asmaton, baharu sahaja menyudahkan rawatan kemoterapi akibat kanser payu dara.

"Suami saya ini keturunan Baba Nyonya Melaka, beliau memeluk Islam sewaktu usianya 22 tahun dahulu. Saya pula berasal dari Ijok, Kuala Selangor dan dibesarkan di sekitar Kuala Lumpur. Kini, kami menumpang tanah ibu bapa saya di Ampang. Inilah rumah saya, kecil sahaja," demikian Asmaton berbicara.

Beliau ramah melayani kunjungan wakil Lembaga Zakat Selangor (LZS) ke rumahnya di Kampung Tengah Lembah Jaya, Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Abu Bakar Lam dahulu bekerja sebagai pemandu lori, sehinggalah diserang angin ahmar pada Disember 2009.

"Waktu itu saya mahu membuang air. Terketar-ketar saya menggagahkan diri untuk keluar. Ahli keluarga kemudiannya segera membawa saya ke Hospital Ampang dan sehingga kini, saya masih menjalani rawatan fisioterapi di sana," katanya.

Menyambung bicara Abu Bakar Lam berkata, tidak betah berdiam diri dan hanya bergantung kepada bantuan orang, beliau menggagahkan diri mencari pekerjaan.

Alhamdulillah, kini beliau baharu diterima menjadi pengawal keselamatan di sekolah dan dijanjikan imbuhan bulanan RM900.

Kediaman pasangan ini biar kecil namun keadaannya kemas teratur.

Tiada sampah-sarap atau baju dan kain yang bergayutan di sana-sini. Tiada bau yang kurang enak atau pemandangan yang menyenakkan. Pendek kata, mereka memang mengutamakan kebersihan.

Alhamdulillah pasangan ini dikurniakan enam anak semuanya. Pertama, Alif Amirul Adib, 18, yang kini sedang menolong bapa saudaranya berniaga kedai makan di Ampang.

Anak sulung mereka mendapat 3A, 3B dan 2C dalam Sijil Pelajaran Malaysia dan kini menunggu panggilan ke institusi pengajian tinggi.

Anak kedua, Aina Fatin Atirah, 17, belajar dalam bidang masakan di Sekolah Menengah Vokasional Puteri, Temerloh Pahang.

Anak ketiga, Aida Fatin Farhana, 16 menuntut di Sekolah Menengah Teknik Setapak dan juga mengidap masalah radang paru-paru serta menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Anak keempat, Arif Amirul Akmal, 14, pula menuntut di Sekolah Menengah Taman Kosas. Anak kelima, Afif Amirul Adha, 11, pula mendapat tawaran belajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil kerana aktif dalam olahraga.

Anak bongsu, Aiqa Fatin Farah Ayu, 4. Malangnya doktor mengesahkan dia mempunyai masalah injap jantung sempit dan kini dirujuk ke Institut Jantung Negara.

"Menurut doktor, anak saya ini mengidap masalah ini kerana kesan kelahiran pra-matang. Waktu itu memang doktor ada memberi tahu risiko jika menunggu kandungan saya matang, kerana sewaktu itu saya sudah didiagnos mengidap sakit buah pinggang," kata Asmaton.

Keluarga ini benar-benar diuji Allah SWT. Bayangkan, Asmaton sendiri pernah mendapatkan rawatan dialisis lantaran buah pinggang sebelah kanannya rosak dan disahkan pula mengidap kanser payu dara.

Suaminya, diserang angin ahmar pula. Dua anak mereka, seorang mengidap radang paru-paru dan seorang lagi injap jantungnya sempit. Alang-alang orang, pasti tak tertanggung rasanya.

"Memang semasa mula-mula disahkan mengidap kanser, sukar juga untuk saya menerimanya. Apatah lagi suami saya pula diserang angin ahmar. Bahkan doktor syak buah pinggang suami saya pula rosak.

"Namun, saya cuba mencari hikmah di sebalik semua dugaan ini. Mungkin Allah SWT mahu memberikan peringatan. Mungkin saya ada melakukan apa-apa kesalahan. Saya merenung diri, saya jumpa mak dan ayah dan minta agar mereka memberikan ampun jika saya terkhilaf selama ini.

"Jika direnungkan, memang ujian Allah banyak sekali. Sudahlah kami keluarga miskin, diuji pula dengan kesakitan demi kesakitan. Lalu, apabila jiwa tertekan, kepada Allah tempat saya mencari pedoman.

"Malam-malam saya bangun, solat istikharah, hajat dan taubat menjadi teman. Bagi saya, Allah adalah sebaik-baik tempat untuk mengadu," jelasnya.

Kesusahan keluarga ini mendapat perhatian daripada LZS. Sejak tahun 2005, nama mereka sudah didaftarkan sebagai asnaf miskin.

Dengan itu, mereka layak mendapat pelbagai bantuan seperti bantuan menyambut Ramadan, bantuan saraan bulanan termasuk makanan, bantuan pendidikan anak-anak, bantuan baik pulih rumah dan sebagainya.

"Sering saya menangis saat mengadap Allah pada waktu malam. Saya sedar, Allah pilih saya untuk terima ujian ini pasti ada sebabnya. Namun, saya bersyukur kepada Allah, kerana di sebalik kesusahan itu ada kesenangan.

"Rezeki kami sekeluarga nampaknya tidak pernah putus. Bahkan seorang sahabat saya sudi menaja rawatan kanser saya di sebuah pusat rawatan swasta. Rezeki anak-anak saya, khususnya dalam pelajaran mereka, juga dimudahkan Allah," kata Asmaton.

Beliau mengakui memang tidak mampu menghantar anak-anak mengikuti kelas tambahan. Namun beliau tidak lupa berpuasa setiap kali mereka akan menduduki peperiksaan.

"Saya lakukan solat hajat untuk mereka. Anak-anak pernah berkata, tidak mengapa rumah kita kecil, janji kita tidak lupa Allah. Mereka janji kepada saya, nanti dapat ijazah, mereka akan ubah nasib keluarga.

"Sekalung ucapan terima kasih kepada semua pembayar zakat. Dalam doa, sering saya bermohon kepada Allah, agar dimurahkan rezeki mereka yang membayar zakat ini.

"Mereka memberi dengan ikhlas daripada rezeki yang halal. Bahkan, saya juga berazam untuk keluar daripada kepompong kemiskinan ini dan merasai sendiri, nikmatnya menjadi seorang pembayar zakat," azamnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini