Ma'lumat Ammah

Tahukah anda Peribahasa " Seperti Anjing dengan bayang-bayangnya" adalah peribahasa yang sebenarnya hanya diada-aakan oleh para pencinta bahasa. akan tetapi peri bahasa ini betul dan tepat kepada manusia yang ada impian yang telah tercapai tetapi bersifat tamak untuk mahu lagi impian yang kemungkinan tidak akan dia dapat.

Ahad, 25 April 2010

Allah rahsiakan bila kiamat


SEMUA keindahan dan nikmat yang ada di dunia tidak dapat mengatasi ganjaran yang disediakan di syurga Allah. - gambar hiasan


Mukadimah

Al-Maraghi berkata: Selepas Allah SWT menjelaskan kekuasaan-Nya dengan kebangkitan semula orang yang telah mati sebagaimana Dia berkuasa mencipta alam semesta. Kemudian Dia menerangkan berkenaan kebenaran yang diwahyukan kepada nabi-Nya bahawa hari kebangkitan manusia adalah milik Allah Tuhan Alam Semesta.

Ketika malapetakanya yang hebat melebihi segala bencana itu datang, ketika segala perbuatan diperlihatkan kepada para pengamalnya ketika itulah manusia mengingati apa yang telah dilakukannya.

Allah SWT memperlihatkan neraka di hadapan manusia sehingga semua mata dapat melihatnya. Pada hari itulah ditimpakan pembalasan kepada manusia yang melampaui batasan syariat Allah.

Ini kerana mereka mengutamakan kelazatan dunia dari akhirat untuk mereka itulah neraka sebagai tempat azab. Sementara manusia yang takut kepada kebesaran dan keagungan Tuhan-Nya serta mengawal hawa nafsunya, maka sudah pasti syurga tempatnya sebagai pembalasan apa yang telah mereka kerjakan dahulu.

Firman Allah SWT: Maka apabila datang hari yang bencananya amat besar. Ibn Abbas berkata: Iaitu hari kiamat. Ibn Kathir berkata: Disebut dengan perkataan Tammah kerana ia meliputi segala yang menakutkan lagi menyeramkan.

Firman Allah SWT: Iaitu hari manusia akan mengingati apa yang telah diusahakannya. Al-Maraghi berkata: Pada hari itu manusia melihat perbuatannya termaktub dalam buku catatan amalannya yang hampir dilupakan tetapi dia segera mengingati kembali apa yang dilakukan dahulu.

Firman Allah SWT: Dan neraka diperlihatkan kepada sesiapa sahaja yang dapat melihatnya. Syed Qutb berkata: Neraka kelihatan jelas kepada setiap mata yang membawa makna dan bunyi yang kasar dan keras dan menonjol pemandangan neraka di hadapan setiap mata.

Ketika itu manusia akan menerima balasan dan akibat yang berbeza-beza. Dan ketika itu lahirlah tujuan dan matlamat pentadbiran dan perencanaan Allah yang mewujudkan kehidupan dunia.

Firman Allah SWT: Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya), adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya). Serta ia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata. Maka sesungguhnya neraka jahanamlah tempat kediamannya.

Al-Maraghi berkata: Orang yang sombong, melampaui batas dan mengutamakan kelazatan dunia serta nafsu syahwatnya daripada akhirat, maka nerakalah tempat tinggalnya.

Firman Allah SWT: Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu. Maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya.

Syed Qutb berkata: Pencegahan diri dari keinginan hawa nafsu merupakan tiang seri ketaatan. Keinginan hawa nafsu merupakan pendorong yang kuat kepada tindak-tanduk yang melampau dan kepada perbuatan maksiat.

Ia menjadi punca segala bala bencana dan kejahatan. Jarang manusia binasa kecuali dengan sebab mengikut hawa nafsu.

Kejahilan mudah diubati tetapi penyakit mengikut hawa nafsu selepas berilmu merupakan penyakit jiwa yang memerlukan mujahadah yang bersungguh-sungguh dan memerlukan masa yang lama untuk mengubatinya.

Perasaan takut kepada Allah SWT merupakan dinding yang teguh untuk mencegah segala keinginan nafsu yang kuat tetapi semua dinding yang lain jarang dapat mencegah gelojak hawa nafsu kerana itulah kedua-duanya dikumpulkan dalam satu ayat.

Yang bercakap di sini ialah Allah pencipta manusia. Kerana itu Dialah yang mengetahui tentang penyakit jiwa dan ubatnya. Begitu juga Maha Mengetahui dengan segala lorong dan likunya.

Dialah Maha Mengetahui di mana tersembunyinya keinginan nafsu dan apakah pula ubatnya dan bagaimana mengusir dan memburu hawa nafsu itu dari tempat-tempat persembunyiannya.

Firman Allah SWT: Mereka (yang ingkar) selalu bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Begitu juga persoalan berlegar kepada orang yang telah mati, bila akan dibangkitkan? Ibn Kathir berkata: Pengetahuan tentangnya tidak diberikan kepadamu.

Firman Allah SWT: Apa hubungannya tugasmu dengan (soal) menerangkan masa kedatangan hari kiamat itu?

Diriwayatkan oleh Aishah r.anha bahawa Rasulullah SAW sering menyebut hari kiamat dan hal itu selalu ditanya sehinggalah ayat ini diturunkan.

Al-Maraghi berkata: Kamu jangan bersedih hati dalam menangani masalah ini serta jangan memaksa diri kamu untuk mengetahui rahsia-rahsianya dan ingin mengetahui sesuatu yang disembunyikan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya.

Firman Allah SWT: Kepada Tuhanmulah terserah kesudahan ilmu mengenainya. Tugasmu hanyalah memberi amaran kepada orang yang takut akan huru-hara hari kiamat itu.

Ibn Kathir berkata: Barang siapa yang takut kepada Allah SWT dan takut kepada ancaman-Nya, maka dia akan mengikutimu. Oleh yang demikian, dia sangat beruntung dan memperoleh kegembiraan. Kegagalan dan kerugian hanya untuk orang yang mendustakan dan melakukan penentangan.

Firman Allah SWT: (Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja.

Al-Maraghi berkata: Dalam bahasa Arab terdapat ungkapan yang sama seperti kenyataan di atas: Aku akan mengunjungi kamu pada waktu petang atau pagi. Atau sebaliknya, ungkapan ini bermaksud mereka akan memendekkan masa kunjungannya dan sangkaan mereka hanya akan tinggal sepanjang waktu petang atau pagi.

Penutup

Syed Qutb berkata: Selesailah sudah kehidupan dunia yang selalu membuat penghuni-penghuninya berperang dan bertarung satu sama lain kerana merebut kenikmatannya. Dunia yang selalu membuat mereka mengutamakan kenikmatannya dan mengabaikan usaha mereka mendapat habuan di akhirat.

Dunia yang selalu membuat mereka sanggup melakukan untuknya segala jenayah, maksiat dan kezaliman, dan dunia yang selalu membuat mereka dihanyut nafsu dan hidup kerana nafsu.

Terlipatlah sudah kehidupan dunia ini dalam hati pencintanya hingga dirasakan mereka seolah-olah kehidupan itu hanya berlangsung selama satu petang atau satu pagi sahaja. Inilah kehidupan dunia yang singkat.

Adakah kerana kehidupan pagi dan petang, mereka sanggup mengorbankan kehidupan akhirat yang kekal?

Adakah kerana kepuasan hawa nafsu yang fana, mereka sanggup meninggalkan kediaman syurga yang kekal di akhirat? Tidakkah ini suatu kebodohan yang paling besar?

Add to  Google

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini