Pameran sejarah, catatan perjalanan haji
IBADAT haji menghimpunkan umat Islam tidak mengira warna kulit, latar belakang, keturunan dan lokasi ke satu tempat paling suci di tanah Arab iaitu Makkah.
Peredaran zaman menyaksikan perjalanan ke Makkah untuk mengerjakan haji melalui fasa perubahan daripada keperitan dan kesusahan kepada lebih mudah dan singkat untuk ke kota suci berkenaan.
Pada waktu dulu, ibadat haji hanya boleh dicapai mereka yang berhati cekal kerana banyak pengorbanan yang terpaksa di buat.
Kini, haji menjadi lebih eksklusif dengan penetapan kuota yang diperuntukkan bagi setiap negara akibat permintaan yang tinggi daripada umat Islam.
Sering kali dipaparkan media massa mengenai perhimpunan terbesar umat Islam itu apabila tiba bulan ke 12 dalam kalendar Islam. Namun pengalaman dan cara bagaimana jemaah mencapai impian mereka kurang diketengahkan.
Justeru, Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM), Kuala Lumpur mengambil langkah menganjurkan pameran Menuju ke Makkah: Catatan Perjalanan Sepanjang Zaman menyingkap peristiwa penting bagaimana jemaah mencapai matlamat mereka dalam perjalanan digambarkan sebagai pengembaraan seumur hidup.
Bekas air dibawa jemaah India ketika menunaikan haji pada abad ke-17. |
Selain mendapatkan maklumat melalui catatan perjalanan yang ditulis sendiri pengembara melalui bukti manuskrip atau kitab lama, ada juga bahan di pameran menampilkan penceritaan orang lain mengenai jemaah haji terdahulu.
Pameran berkenaan mengetengahkan bayangan pengembaraan jemaah haji daripada kepelbagaian budaya dan zaman yang dapat dilihat pada renungan mereka pada gambar serta karya seni di galeri MKIM bermula 22 Oktober hingga 22 Januari 2010.
Pameran yang julung kali diadakan itu menampilkan 17 imej, 25 objek, panel maklumat dan tayangan video melengkapkan pameran berkonsepkan penceritaan disokong gambar menceritakan pengalaman sebelum, sepanjang dan selepas selesai menunaikan rukun Islam kelima itu.
Artifak yang dipamerkan di ruang pameran termasuk kain sulaman berwarna hijau yang digantung dalam Kaabah, kain sulaman warna merah yang menutup makam Rasulullah SAW pada 1991 (kain itu ditukar setiap tahun), surat nasihat sebelum menunaikan haji yang ditulis dalam tulisan Naskh, peralatan yang dibawa pengembara haji seperti kelalang air dan Al-Quran bersama begnya.
Penolong Kurator MKIM, Nurul Iman Rosli, berkata penyelidik MKIM mengambil masa setahun membuat kajian dan penyelidikan sebelum pameran itu dipamerkan kepada umum.
Katanya, cabaran paling besar adalah mendapatkan maklumat lanjut mengenai bahan yang diperoleh selain kelulusan mendapatkan kebenaran untuk penyiaran dan tonton umum.
“Kebanyakan kitab, manuskrip lama dan beberapa bahan tidak mempunyai tarikh dan muka surat serta maklumat lanjut penulisnya. Namun, kami berpuas hati dengan bahan yang dipamerkan dan kajian lanjutan diteruskan bagi melengkapkan lagi pameran,” katanya.
Sesuai dengan kedatangan Zulhijjah, pameran diadakan sempena musim haji bertujuan memberi kesedaran mengenai cabaran dilalui jemaah haji dulu dan sebagai persediaan mereka yang bakal berkunjung ke sana supaya bersedia menghadapi kemungkinan yang tiba.
Pada masa sama, maklumat yang merangkumi perkembangan ibadat haji dari dulu hingga kini diharap dapat dicerna sebagai maklumat bermanfaat bukan saja kepada umat Islam, malah masyarakat bukan Islam untuk memahami konsep ibadat itu.
Bersempena pameran, kuiz dan bengkel untuk kanak-kanak juga diadakan. Kanak-kanak akan didedahkan dengan cara mengerjakan haji mengikut rukunnya, selain pendekatan dalam bentuk pendidikan mengenai Rukun Islam kelima itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan