Iskandariah Mutiara Mediterranean
Oleh Zainal Abidin Sulaiman
bminggu@bharian.com.my
caption image1 |
Iskandariah diisytihar bandar terbersih di Mesir, jadi tumpuan pelancong
ISKANDARIAH, satu lagi bandar bersejarah di utara Mesir dan kedua terbesar di negara Firaun itu selepas Kaherah.
Kesempatan menyertai rombongan pakej umrah dan ziarah yang dianjurkan Andalusia Travel & Tours, baru-baru ini membawa penulis ke kota ini atau nama lainnya, Alexandria selepas singgah di Kaherah.
Berdasarkan sejarah, Iskandariah didirikan kerana kepentingan pelayaran di Laut Mediterranean untuk ke Greece dan menguasai lautan itu.
Bandar ini terletak tidak lebih 250 kilometer dari Kaherah, dibuka pada 332 Sebelum Masehi (SM) oleh pahlawan Greek, Alexander The Great, menjadi ibu kota Mesir dan berkembang menjadi antara kota terbesar di barat pada masa itu.
Iskandariah yang mempunyai kesan tinggalan empayar Rom terletak di pesisir pantai Laut Mediterranean. Di sini, ada banyak bangunan bersejarah tinggalan pemerintah dari sebelum sehingga zaman Mesir moden.
caption image2 |
Kota lama ini menjadi tumpuan penduduk Mesir untuk bersantai dan mandi
manda kerana kedudukannya berhadapan lautan selain cuacanya yang bersesuaian untuk aktiviti luar.
Antara yang sempat dikunjungi penulis ketika singgah di kota lama ini ialah sebuah masjid dikenali sebagai Masjid Nabi Daniel yang menempatkan dua makam, iaitu makam Nabi Daniel dan makam Luqman al-Hakim.
Ada pendapat mengatakan ia bukan makam Nabi Daniel, tetapi sebenarnya makam Imam Daniel. Untuk melihat makam ini, pengunjung perlu turun ke dalam sebuah terowong di dalam masjid itu.
caption image3 |
Perpustakaan kuno Iskandariah juga menarik untuk dilawati. Ia pertama kali dibuka 2,000 tahun yang lalu, pernah memiliki 700,000 jilid buku kuno dan perpustakaan terbesar di dunia, tetapi musnah dalam kebakaran ketika penguasaan Rom.
Atas daya usaha Kerajaan Mesir, Perpustakaan Iskandariah dihidupkan kembali dan dengan bantuan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), kompleks ini akhirnya dirasmikan pada 16 Oktober 2002.
Berdasarkan pengamatan ketika berkunjung ke Kaherah, Iskandariah nampaknya lebih bersih daripada ibu negara Mesir itu.
Kenderaan yang memenuhi rangkaian jalannya kelihatan baru, teksi juga dicat baru walaupun ia kereta lama, semuanya sesuai dengan status Iskandariah sebagai bandar peranginan.
Dalam banyak-banyak kereta yang memenuhi jalan raya di kota ini, terbit rasa bangga di hati penulis apabila tiba-tiba melihat sebuah kereta Proton Gen2 di sisi bas yang kami naiki.
Dari bandar ini, kelihatan Laut Mediterranean yang bersih dan airnya jernih hingga dapat melihat rumpai laut, manakala sampah sarap terapung tidak kelihatan langsung.
Tidak hairanlah, Iskandariah diisytihar bandar terbersih di Mesir dan menjadi tumpuan pelancong tempatan serta asing bagi menikmati keindahan pantai serta lautnya.
Selain makam Luqman al-Hakim dan makam Nabi Daniel, produk pelancongan lain di kota ini ialah Istana Raja Farouk atau Montaza Palace serta kawasan perkuburan lama, Kom Al Shokafa.
Iskandariah yang dikatakan dinamakan sempena nama Alexander The Great, juga terkenal sebagai pelabuhan terbesar di Mesir dan antara pelabuhan terbesar di dunia.
Bagi penulis, antara pengalaman paling menarik tentunya melihat begitu banyak kenderaan lama di kota ini, selain sikap pengguna kenderaan yang berbudi bahasa di jalan raya.
Jika ada orang melintas jalan walaupun secara tiba-tiba, pemandu tenang menekan brek memberi laluan, bukan menjerit atau memaki hamun.
Sikap pemandu yang tidak memandu laju dan sedia memberi laluan, membuatkan pengguna kenderaan yang ingin keluar di simpang jalan atau membuat pusingan U tidak perlu menunggu lama.
Ketika kami dalam perjalanan dari Kaherah ke Iskandariah, pemandu bas rombongan hanya memecut paling laju pun 100 kilometer sejam walaupun keadaan jalan ketika itu lapang dan lurus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan