Ma'lumat Ammah

Tahukah anda Peribahasa " Seperti Anjing dengan bayang-bayangnya" adalah peribahasa yang sebenarnya hanya diada-aakan oleh para pencinta bahasa. akan tetapi peri bahasa ini betul dan tepat kepada manusia yang ada impian yang telah tercapai tetapi bersifat tamak untuk mahu lagi impian yang kemungkinan tidak akan dia dapat.

Sabtu, 2 April 2011

Ilmu pengetahuan, panduan agama bentuk jati diri unggul

Kurang kesedaran punca jenayah, gejala sosial meningkat

NEGARA kita berada di landasan betul bagi mengorak langkah menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini juga menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi sepanjang empat tahun lalu. Ini membuktikan pencapaian akademik negara kita semakin meningkat dan kita semakin ke depan dalam pelbagai bidang.

Seiring dengan pembangunan dan kemajuan itu, muncul pelbagai persoalan dalam masyarakat yang memerlukan jalan penyelesaian yang bijak. Peningkatan kejadian jenayah dan gejala sosial seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan wang, pembunuhan, rompakan, rogol, keganasan rumah tangga, seks luar nikah dan pornografi internet telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat terhadap keselamatan negara. Seharusnya masyarakat yang membangun perlulah mempunyai mentaliti yang membangun, dahagakan ilmu dan kemajuan, bukan bergelumang dengan masalah sosial serta jenayah yang semakin meruncing.

Gejala ini sekiranya tidak dikawal dengan baik, boleh menggugat keamanan dan kesejahteraan masyarakat, menjejaskan perpaduan bangsa, membantutkan ekonomi, politik dan sosial negara serta menjejaskan usaha kerajaan untuk menarik pelabur asing dan pelancong.

Permasalahan ini jelas bertunjangkan kepada pembentukan akhlak manusia. Individu yang berakhlak mulia akan menghindari dari terjebak dengan permasalahan negatif. Pembentukan akhlak adalah proses yang kompleks, bermula dari hari pertama seorang individu dilahirkan dan bersifat berterusan. Ia berkait rapat dengan pelbagai faktor pembelajaran sosial termasuklah didikan ibu bapa, pengaruh rakan sebaya dan persekitaran. Persoalannya di sini, di manakah silapnya masyarakat kita sehinggakan segala ilmu moral dan pendidikan Islam yang dipelajari sejak kecil seolah-olah tidak memberi kesan di hari dewasa sehingga menyumbang kepada peningkatan masalah sosial dan jenayah? Masyarakat kita hari ini terlalu taksub dengan budaya luar yang bercanggah dengan identiti diri dan bangsa menunjukkan betapa lemahnya jati diri kita sebagai seorang Muslim.

Bagi membentuk jati diri yang unggul, seseorang perlulah memperlengkapkan dirinya dengan ilmu pengetahuan. Kepentingan ilmu telah ditekankan oleh Rasulullah SAW berulang kali dalam hadisnya. Allah SWT juga telah berfirman dalam Surah al-Mujadilah ayat 11 yang bermaksud: “Nescaya Allah akan meninggikan orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”

Dr Wahbah al-Zuhaily dalam tafsirnya mengenai ayat ini berkata: “Darjat orang Mukmin melebihi darjat orang bukan mukmin. Darjat orang berilmu melebihi darjat orang yang tidak berilmu.” Ini jelas menunjukkan betapa pentingnya ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan dan pembelajaran bukanlah semata-mata tiket untuk mendapatkan kelulusan dan pangkat. Ilmu seharusnya membentuk akhlak individu dan membezakan seseorang dengan yang lain.

Negara kita mewajibkan pendidikan kepada setiap individu, malah Pendidikan Islam dan Moral juga diwajibkan di setiap sekolah dalam usaha membentuk akhlak generasi muda bagi mengelakkan mereka daripada terjebak dengan gejala tidak sihat. Namun, ia tidak menghalang penularan masalah sosial, seolah-olah ilmu di bilik darjah lesap selepas buku ditutup.

Persoalan mengenai peranan Pendidikan Islam dalam pembentukan akhlak yang mulia dalam diri seseorang bukan sekadar membabitkan proses memindahkan fakta daripada buku ke kertas peperiksaan. Namun yang lebih utama adalah sejauh mana pengetahuan dan kefahaman agama itu mampu membentuk minda, perasaan dan jiwa kita dengan ajaran Islam dan seterusnya dipraktik dalam diri dan kehidupan. Proses pelaksanaan ini memerlukan strategi pengaturan kendiri yang sering dipandang remeh oleh banyak pihak.

Pengaturan kendiri adalah suatu proses yang dikawal sendiri oleh individu bagi menukarkan keupayaan mental mereka kepada kemahiran akademik. Ia penting kerana fungsi utama pendidikan ialah untuk membangunkan kemahiran-kemahiran pembelajaran seumur hidup. Pelajar yang berpengaturan kendiri lebih bertanggungjawab terhadap pembelajaran, mempunyai matlamat yang jelas dan mampu menyesuaikan diri dan tindakan dengan strategik dan berasaskan maklumat dalam berbagai konteks yang berubah. Individu ini mampu menyesuaikan diri walau di mana saja mereka berada dan akan berpegang teguh kepada jati diri dan identiti mereka.

Panduan agama yang sempurna penting dalam pembentukan akhlak bagi membina peradaban ummah yang kuat. Sebagai seorang Muslim, pencapaian hidup tidak terhad kepada kerjaya dan kebendaan. Islam mengajar kita tentang wujudnya hari pembalasan dan umat Islam perlu bersedia dengan amalan dan juga ilmu untuk menghadapi hari pembalasan di mana setiap perbuatan kita dihisab.

Oleh Ahmad Munawar Ismail
2011/04/02

Penulis ialah pensyarah kanan Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini