Ma'lumat Ammah

Tahukah anda Peribahasa " Seperti Anjing dengan bayang-bayangnya" adalah peribahasa yang sebenarnya hanya diada-aakan oleh para pencinta bahasa. akan tetapi peri bahasa ini betul dan tepat kepada manusia yang ada impian yang telah tercapai tetapi bersifat tamak untuk mahu lagi impian yang kemungkinan tidak akan dia dapat.

Isnin, 11 April 2011

Gambaran kiamat menurut al-QuraN

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI


Tsunami yang berlaku mungkin bayangan kecil kepada kiamat yang dijanjikan oleh Allah kepada makhluk-Nya.

SURAH al-Zalzalah termasuk dalam kategori surah Madaniyyah. Inilah pendapat Ibn Abbas, Qatadah, Muqatil dan jumhur ulama. Sedangkan Ibn Mas’ud, Ata’ dan Jabir pula berpendapat ia termasuk dalam surah Makiyyah.

Ia mengandungi lapan ayat dan diturunkan selepas surah al-Nisa’. Hubungan surah ini dengan surah al-Bayyinah adalah: Dalam surah yang lalu diterangkan balasan yang diterima oleh orang yang beriman dan orang kafir. Dalam surah ini pula, Allah SWT menjelaskan waktu dan tanda-tanda berlaku hari kebangkitan.

Sebab nuzul

Orang kafir sering bertanya tentang hari pengadilan. Mereka bertanya: Bilakah datangnya hari Kiamat itu? Manakala sesetengah yang lain bertanya: Bilakah datangnya janji itu?

Dalam surah ini, Allah SWT menerangkan tanda-tanda akan berlakunya hari kiamat agar mereka mengetahui bahawa tiada jalan lain untuk menentukan hari itu iaitu hari yang didedahkan kepada manusia bahawa mereka semua akan kembali menghadap Allah SWT untuk mengurniakan balasan pahala kepada orang yang beriman serta seksaan kepada orang yang melakukan perbuatan dosa.

Tafsiran ayat

Firman Allah SWT: Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan (yang dahsyat). Dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat (yang dikandungnya).

Ibn al-Jauzi menyebut dua pendapat ulama berkenaan dengan waktu goncangan tersebut:

i. Ia berlaku di dunia dan termasuk tanda kiamat. Inilah pendapat kebanyakan ulama.

ii. Ia goncangan pada hari kiamat. Inilah pendapat Kharijah bin Zaid.

Berkenaan dengan maksud telah mengeluarkan beban-beban berat:

i. Orang-orang mati dibangkitkan seperti kata Ibn Abbas.

ii. Segala bahan simpanannya daripada emas, perak dan lain-lain seperti pendapat Atiyyah.

Sayid Qutub berkata: Itulah peristiwa hari Kiamat di mana seluruh bumi bergegar dengan gempa-gempa yang paling dahsyat dan meluahkan segala isi perutnya dari mayat-mayat, logam-logam dan sebagainya, seolah-olah bumi mahu meringankan tubuhnya daripada kandungan-kandungan yang berat itu.

Itulah satu pemandangan yang menunjukkan segala sesuatu yang tegak di bumi telah bergoyang di bawah tapak kaki para pendengar surah ini. Mereka merasa terhuyung-hayang, bumi terus bergegar dan bergoncang di bawah tapak kaki mereka, satu pemandangan yang menakutkan hati yang selama ini menyangkakan segala apa yang tegak di bumi itu akan tetap teguh, kukuh dan kekal abadi.

Inilah kesan pertama kiamat yang digambarkan oleh al-Quran, satu gambaran yang benar-benar hidup dan menjalar ke dalam saraf-saraf pendengar ayat-ayat ini sebaik sahaja mendengar ungkapan al-Quran yang unik ini.

Kesan ini bertambah apabila digambarkan reaksi manusia terhadap pemandangan itu dan dilukiskan keadaan-keadaan perasaan mereka ketika melihat pemandangan ini.

Firman Allah SWT: Dan manusia bertanya: Mengapa bumi (menjadi begini)? Pada hari itu bumi menceritakan beritanya. Kerana sesungguhnya Tuhanmu telah memerintahkan (yang sedemikian itu) kepadanya.

Al-Mawardi mengemukakan maksud bumi mengkhabarkannya kepada dua pendapat:

i. Perkhabaran berkenaan segala amalan hamba yang dilakukan di dunia dahulu. Inilah pendapat Abu Hurairah.

ii. Mengkhabarkan berkenaan perihal kiamat. Inilah pendapat Ibn Mas’ud

Ketika berlakunya gempa bumi yang hebat ini, bumi menceritakan isinya kepadamu dalam bentuk kegoncangan, getaran yang hebat dan gerakan bumi yang dahsyat serta kehancuran seluruh isinya yang tiada tandingannya sebelum ini.

Justeru, ia akan memberi jawapan dan pengertian kepada orang yang bertanya bahawa kegoncangan yang sedang berlaku itu bukan kerana sebab-sebab yang biasa berlaku ketika seluruh alam berada dalam keadaan normal.

Sabtu, 2 April 2011

Pengharaman bukan dibuat sesuka hati'

2011/04/02

DARI kiri, Harussani Zakaria, Mohamad Shukri Mohamad dan  Dr Juanda Jaya.
DARI kiri, Harussani Zakaria, Mohamad Shukri Mohamad dan Dr Juanda Jaya.
Keputusan JFNP haramkan poco-poco selepas kajian dilakukan untuk jaga akidah umat Islam

IPOH: Keputusan untuk mengharamkan tarian poco-poco dilakukan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak (JFNP) selepas melakukan kajian mendalam mengenai pelbagai aspek tarian itu daripada sudut hukum Islam, bukan dibuat berasaskan logik akal.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata keputusan JFNP itu bukan dibuat sesuka hati tetapi untuk menjaga akidah umat Islam di negeri ini selepas mendapati ia mengandungi unsur agama lain selain berlaku percampuran jelas lelaki dan wanita bukan muhrim.

Justeru, katanya, terserah kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau pihak berkuasa agama negeri lain sekiranya merasakan isu itu perlu dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

“Saya tidak akan membawanya (isu itu ke peringkat kebangsaan). Itu tugas JAKIM.
“Kami (JFNP) hanya berbincang mengenai akidah. Dalam Islam, hukum tidak boleh dibuat mengikut logik akal. Mereka yang memberi pandangan (isu ini), jangan buat hukum ikut logik. Ibarat arak, jika diberi nama lain atau diisi dalam bungkusan lain sekali pun, ia tetap arak dan haram untuk orang Islam,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Sehubungan itu, Harussani mengulangi saranannya supaya umat Islam menggunakan budaya tempatan seperti tarian tradisional sebagai satu bentuk senaman bukannya meniru budaya asing yang dibawa ke negara ini tanpa mengetahui asal-usul ia diperkenalkan.
Di KOTA BHARU: Majlis Fatwa Kebangsaan perlu membuat kajian berhubung tarian senaman poco-poco bagi menentukan kesahihan dari segi hukumnya sebelum membuat sebarang keputusan.

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata oleh kerana isu tarian itu isu nasional, ia perlu dibincangkan pada peringkat pusat supaya dapat diselaraskan di semua negeri.

“Majlis Fatwa Kebangsaan perlu membincangkan isu ini pada muzakarah peringkat pusat bagi menentukan dari segi hukumnya,” katanya di sini, semalam.

Di KANGAR: Perlis tidak mahu terburu-buru memutuskan pengharaman poco-poco, sebaliknya akan meneliti terlebih dulu kesahihan dakwaan yang mengaitkan tarian itu dengan upacara keagamaan Kristian.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya, berkata selagi tiada bukti sahih mengenai dakwaan berkenaan, maka tiada sebab poco-poco diharamkan, apatah lagi jika motif utamanya sekadar untuk bersenam dan menyihatkan badan.

“Apa pun Perlis akan meneliti laporan mengenai pengharaman poco-poco oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, untuk mendapatkan kepastian termasuk kesahihan sumber yang dirujuk sebelum keputusan itu dibuat.

“Bagi saya, untuk kaitkan poco-poco dengan mana-mana anutan atau upacara keagamaan, sewajarnya pihak terbabit perlu bertanya atau rujuk terlebih dulu kepada agama berkenaan untuk mendapatkan pengesahan.

“Ini penting untuk pastikan kredibiliti sumber yang dirujuk, selain mengelak menimbulkan spekulasi yang kurang sihat,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai keputusan Jawatankuasa Fatwa Perak yang mengharamkan tarian itu seperti yang diumumkan Harussani, baru-baru ini.
Dalam kenyataannya, Harussani berkata tarian itu diharamkan kerana ia mempunyai unsur kepercayaan agama lain iaitu Kristian selain pemujaan roh.

Ilmu pengetahuan, panduan agama bentuk jati diri unggul

Kurang kesedaran punca jenayah, gejala sosial meningkat

NEGARA kita berada di landasan betul bagi mengorak langkah menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini juga menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi sepanjang empat tahun lalu. Ini membuktikan pencapaian akademik negara kita semakin meningkat dan kita semakin ke depan dalam pelbagai bidang.

Seiring dengan pembangunan dan kemajuan itu, muncul pelbagai persoalan dalam masyarakat yang memerlukan jalan penyelesaian yang bijak. Peningkatan kejadian jenayah dan gejala sosial seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan wang, pembunuhan, rompakan, rogol, keganasan rumah tangga, seks luar nikah dan pornografi internet telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat terhadap keselamatan negara. Seharusnya masyarakat yang membangun perlulah mempunyai mentaliti yang membangun, dahagakan ilmu dan kemajuan, bukan bergelumang dengan masalah sosial serta jenayah yang semakin meruncing.

Gejala ini sekiranya tidak dikawal dengan baik, boleh menggugat keamanan dan kesejahteraan masyarakat, menjejaskan perpaduan bangsa, membantutkan ekonomi, politik dan sosial negara serta menjejaskan usaha kerajaan untuk menarik pelabur asing dan pelancong.

Permasalahan ini jelas bertunjangkan kepada pembentukan akhlak manusia. Individu yang berakhlak mulia akan menghindari dari terjebak dengan permasalahan negatif. Pembentukan akhlak adalah proses yang kompleks, bermula dari hari pertama seorang individu dilahirkan dan bersifat berterusan. Ia berkait rapat dengan pelbagai faktor pembelajaran sosial termasuklah didikan ibu bapa, pengaruh rakan sebaya dan persekitaran. Persoalannya di sini, di manakah silapnya masyarakat kita sehinggakan segala ilmu moral dan pendidikan Islam yang dipelajari sejak kecil seolah-olah tidak memberi kesan di hari dewasa sehingga menyumbang kepada peningkatan masalah sosial dan jenayah? Masyarakat kita hari ini terlalu taksub dengan budaya luar yang bercanggah dengan identiti diri dan bangsa menunjukkan betapa lemahnya jati diri kita sebagai seorang Muslim.

Bagi membentuk jati diri yang unggul, seseorang perlulah memperlengkapkan dirinya dengan ilmu pengetahuan. Kepentingan ilmu telah ditekankan oleh Rasulullah SAW berulang kali dalam hadisnya. Allah SWT juga telah berfirman dalam Surah al-Mujadilah ayat 11 yang bermaksud: “Nescaya Allah akan meninggikan orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”

Dr Wahbah al-Zuhaily dalam tafsirnya mengenai ayat ini berkata: “Darjat orang Mukmin melebihi darjat orang bukan mukmin. Darjat orang berilmu melebihi darjat orang yang tidak berilmu.” Ini jelas menunjukkan betapa pentingnya ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan dan pembelajaran bukanlah semata-mata tiket untuk mendapatkan kelulusan dan pangkat. Ilmu seharusnya membentuk akhlak individu dan membezakan seseorang dengan yang lain.

Negara kita mewajibkan pendidikan kepada setiap individu, malah Pendidikan Islam dan Moral juga diwajibkan di setiap sekolah dalam usaha membentuk akhlak generasi muda bagi mengelakkan mereka daripada terjebak dengan gejala tidak sihat. Namun, ia tidak menghalang penularan masalah sosial, seolah-olah ilmu di bilik darjah lesap selepas buku ditutup.

Persoalan mengenai peranan Pendidikan Islam dalam pembentukan akhlak yang mulia dalam diri seseorang bukan sekadar membabitkan proses memindahkan fakta daripada buku ke kertas peperiksaan. Namun yang lebih utama adalah sejauh mana pengetahuan dan kefahaman agama itu mampu membentuk minda, perasaan dan jiwa kita dengan ajaran Islam dan seterusnya dipraktik dalam diri dan kehidupan. Proses pelaksanaan ini memerlukan strategi pengaturan kendiri yang sering dipandang remeh oleh banyak pihak.

Pengaturan kendiri adalah suatu proses yang dikawal sendiri oleh individu bagi menukarkan keupayaan mental mereka kepada kemahiran akademik. Ia penting kerana fungsi utama pendidikan ialah untuk membangunkan kemahiran-kemahiran pembelajaran seumur hidup. Pelajar yang berpengaturan kendiri lebih bertanggungjawab terhadap pembelajaran, mempunyai matlamat yang jelas dan mampu menyesuaikan diri dan tindakan dengan strategik dan berasaskan maklumat dalam berbagai konteks yang berubah. Individu ini mampu menyesuaikan diri walau di mana saja mereka berada dan akan berpegang teguh kepada jati diri dan identiti mereka.

Panduan agama yang sempurna penting dalam pembentukan akhlak bagi membina peradaban ummah yang kuat. Sebagai seorang Muslim, pencapaian hidup tidak terhad kepada kerjaya dan kebendaan. Islam mengajar kita tentang wujudnya hari pembalasan dan umat Islam perlu bersedia dengan amalan dan juga ilmu untuk menghadapi hari pembalasan di mana setiap perbuatan kita dihisab.

Oleh Ahmad Munawar Ismail
2011/04/02

Penulis ialah pensyarah kanan Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)


Cari Blog Ini