IBNU al-Tabari ialah sejarawan dan ahli tafsir terkemuka kelahiran Tabaristan (Iran). Nama lengkapnya ialah Abu Jaafar Muhammad bin Jarir al-Tabari. Namun beliau terkenal dengan nama al-Tabari atau Ibnu Jarir al-Tabari.
Beliau dilahirkan pada 225 H/839 M di Amul, Tabaristan (Iran). Daerah itu merupakan tempat berkembangnya kebudayaan Islam. Namun beliau lebih banyak menghabiskan waktunya di Baghdad. Di sana, beliau pernah dipilih menjadi hakim tetapi menolaknya.
Beliau juga diminta menjadi hakim yang menangani kezaliman para pegawai, namun beliau tetap menolaknya. Ketika berusia 85 tahun, beliau meninggal dunia di Baghdad pada 310 H/923 M. Kitab tafsirnya yang paling terkenal adalah Jami ‘al-Bayan fi Tafsir al-Quran atau Tafsir al-Tabari.
Kitab itu berkisar tentang tafsir hukum (fikah) kerana beliau juga merupakan fuqaha terkemuka melalui karyanya Ikhtilaf al-Fuqaha, (perbezaan pendapat para ulama).
Ketika menulis kitab Tafsir al-Tabari, beliau mengumpulkan bahan tentang tafsir bi al-ma’sur (tafsir al-Quran dengan al-Quran, hadis dan ijtihad sahabat).
Kitab itu mengandungi penemuan hukum akidah dan fikah yang disimpulkan daripada al-Quran. Hingga kini kitab itu menjadi bahan untuk mendalami beberapa kenyataan dalam filologi.
Karya sejarah al-Tabari yang terkenal adalah Tarikh al-Rusul wa al-Muluk atau dikenali dengan nama Tarikh al-Tabari. Kitab itu dianggap sebagai kitab sejarah Islam
terlengkap.
Dalam kitab itu dimuatkan maklumat yang tidak pernah ditulis oleh sejarawan sebelumnya.
Isi kitab itu terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama mengandungi sejarah Arab, Parsi dan Rom sebelum Islam. Bahagian kedua mengandungi sejarah pasca-Islam.
Kitab sejarah al-Tabari itu hingga kini menjadi rujukan dan diterjemahkan ke dalam pelbagai
bahasa.
Tekun belajar
Dalam dunia ilmu pengetahuan, al-Tabari terkenal tekun mendalami ilmu yang dikuasainya. Beliau berusaha untuk belajar terus menerus tanpa mengenal waktu, hingga dapat menguasai banyak bidang ilmu pengetahuan Islam.
Hal itu terbukti daripada karyanya yang mencakupi pelbagai bidang ilmu. Namun yang paling popular ialah karyanya dalam bidang tafsir dan sejarah.
Perjalanan ilmiah
Untuk melanjutkan pengajiannya ke pusat pengajian Islam, al-Tabari pertama kali berangkat ke Rayy, Iran. Setelah itu, beliau berpindah ke Baghdad untuk menemui Imam Hanbali.
Namun sebelum sampai di kota tersebut, Imam Hanbali meninggal dunia (241 H/855 M).
Al-Tabari lalu pergi ke Wasit dan Basrah untuk mengikuti beberapa kuliah.
Setelah itu beliau melanjutkan perjalanan ke Kufah untuk mendalami ilmu hadis dan ilmu yang berkaitan dengannya. Kemudian beliau kembali ke Baghdad untuk belajar ilmu al-Quran dan fikah, khususnya fikah Syafie.
Pada 253 H/867 M, beliau pergi ke Fustat, Mesir, dan singgah di Syria untuk belajar ilmu hadis. Setelah itu, beliau kembali ke Baghdad dan berjaya menulis pelbagai karya besar yang
masih banyak digunakan hingga
hari ini.
Karya rujukan
Kitab Tarikh al-Rusul wa al-Muluk dianggap sebagai karya yang sangat besar. Oleh itu, para ahli sejarah sesudah zaman al-Tabari menjadikan kitab tersebut sebagi rujukan utama.
Bahkan Ibnu Asir (seorang sejarawan besar sesudah al-Tabari) mengungkapkan dalam pendahuluan kitabnya (al-Kamil fi al-Tarikh) bahawa beliau menulis karyanya setelah mendapat ilham daripada karya al-Tabari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan