Ma'lumat Ammah

Tahukah anda Peribahasa " Seperti Anjing dengan bayang-bayangnya" adalah peribahasa yang sebenarnya hanya diada-aakan oleh para pencinta bahasa. akan tetapi peri bahasa ini betul dan tepat kepada manusia yang ada impian yang telah tercapai tetapi bersifat tamak untuk mahu lagi impian yang kemungkinan tidak akan dia dapat.

Ahad, 27 Februari 2011

Jalan hidayah Catherine Heseltine

Susunan ZUARIDA MOHYIN

( sumber : Utusan Malaysia 27. 2. 2011 )


Pasangan
bahagia Catherine Heseltine dan Muhammad Ali.

ADAKAH aku ingin menjadi seorang Muslim? Lebih-lebih lagi, pada usiaku 16 tahun. Tidak sama sekali dan terima kasih sahajalah. Manakan aku sanggup meninggalkan nikmat dunia yang dikecapi selepas ini.

"Agamaku adalah minum-minum, berparti sepanjang malam, malah aku selesa dengan teman-temanku yang ada."

Itu pengakuan Catherine Heseltine sambil menggeleng-geleng kepala kepada soalan yang dianggap tidak masuk akal itu.

Dibesarkan di Chelsea, utara London, Catherine, 32, tidak pernah mengamalkan mana-mana agama pun di rumahnya. Apatah lagi kehidupannya lebih kepada lingkungan kelas menengah terpelajar menyebabkan agama dalam keluarganya adalah dianggap sesuatu yang kuno atau ketinggalan zaman serta tidak relevan.

Hingga pada suatu hari, guru tadika itu bertemu seorang pemuda bernama Syed. Pemuda itu, akui Catherine, berbeza dengan kebanyakan lelaki yang dikenalinya.

"Dia mencabar segala prasangka saya terhadap agama. Orangnya masih muda, seorang Muslim, seorang yang sangat percaya kepada Tuhan dan yang paling saya tidak berkenan, dia juga seorang yang normal atau dia sama seperti pemuda-pemuda seusianya.

"Yang membezakan Syed dengan pemuda-pemuda Inggeris lain ialah dia tidak langsung minum minuman keras," katanya.

Bagi Catherine, perbincangan dengan Syed banyak membuatnya sering seperti ditampar.

Menurut Syed, seorang yang berpegang dengan fahaman agnotisme juga menyedari bahawa tanpa pegangan agama itu juga sebenarnya satu pegangan atau keyakinan.

Agnotisme adalah orang yang berpendapat atau berpendirian bahawa hanya sesuatu yang berupa kebendaan sahaja yang boleh diketahui manakala pengetahuan tentang Tuhan dan segala yang abstrak tidak mungkin.

Setahun kemudian, apa yang terjadi adalah sebaliknya. Dalam diam-diam, Catherine jatuh hati kepada Syed dan Islam. Yang peliknya, dia sendiri tidak tahu yang mana datang dahulu sama ada kepada Islam ataupun Syed.

Yang jelas, dia semakin tekun membaca buku-buku berkaitan Islam.

Apa yang paling menarik perhatian Catherine daripada semua bahan bacaan itu?

"Al-Quran. Kitab ini sangat menarik dari sisi intelektual, sisi emosional dan spiritual. Saya menyukai penjelasannya tentang kewujudan alam semesta yang dikesan sejak 1,500 tahun yang lalu.

"Malah, Islam telah memberikan hak-hak kepada wanita yang tidak dimiliki di dunia Barat. Saya makin yakin bahawa al-Quran itu adalah betul-betul sebuah wahyu," kata hatinya.

Namun, untuk menyatakan keislaman diri, dia masih belum sanggup.

Baginya, pengislaman diri bukan sekadar melakukan syahadah atau demi mendapatkan apa yang diinginkan.

Dalam konteks Catherine, apa yang berpusing di mindanya ialah untuk mendapatkan Syed sebagai suaminya.

"Agama ini benar-benar cool. Tapi selama tiga tahun saya menyimpan minat dalam Islam untuk diri sendiri," ujarnya.

Tidak lama kemudian, timbul keberanian untuk mengucap dua kalimah syahadah ketika berada di tahun pertama kuliah.

Pada tahun yang sama juga, atas alasan tidak mahu membina hubungan cinta yang panjang, mereka bersetuju menamatkan zaman bujang dengan melangsungkan pernikahan agar bergelar suami isteri di segi syariat Islam.

"Reaksi awal ibu, dia mempersoalkan tidakkah kami sekadar hidup bersama tanpa perlu bernikah? Ini salah satu tanda hatinya agak berat merestui perhubungan itu," kata Catherine.

Bagi ibunya, rumah tangga Muslim adalah rumah tangga yang banyak menindas kaum isteri.

Pada awal pengislaman, Catherine tidak terus memakai tudung, cuma pada acara-acara keagamaan sahaja. Namun dalam rutin kehidupan seharian, dia lebih selesa mengenakan bandana atau sekadar bertopi untuk menutupi rambutnya.

Alasannya, dia sengaja tampil demikian untuk menarik perhatian, waima ketika berada di rumah, sedang menikmati hidangan, membeli-belah, ataupun sewaktu berada di luar rumah. Kalau orang bertanya, maka akan mudah baginya untuk bercerita tentang Islam.

Beliau mahu orang ramai dapat mengadaptasikan ajaran Islam secara berperingkat-peringkat.

"Saya juga mahu mereka menghakimi diri saya pertamanya dari sudut kecerdasan dan karakter, bukan pada agama saya. Inilah yang saya maksudkan sebagai syiar," katanya.

Ramai yang beranggapan pengislaman Catherine hanya untuk menggembirakan keluarga suami tetapi bukan atas kerelaan, keikhlasan dan kepercayaan diri sendiri.

Tidak terkecuali juga kalangan teman-temannya termasuk ada yang terkejut bahawa Islam mengharamkan arak, menyalahgunakan dadah dan tidak menggauli lelaki secara bebas.

Hal ini mengambil masa terutamanya kepada kawan-kawan lelaki di universiti seperti tidak boleh bercium atau mengucapkan salam dengan menyentuh pipi dan banyak lagi.

"Saya terpaksa memberitahu mereka, minta maaf ini bukan cara orang Islam.

"Lama-kelamaan, saya sebenarnya beralih menjadi seorang yang lebih Islamik daripada suami. Hal ini menyebabkan hubungan kami semakin renggang.

"Pada akhirnya, hati saya kuat mengatakan tanggungjawab suami dalam rumah tangga semakin berat dipikul olehnya dan krisis ini berlanjutan sehingga kami semakin menjauh dan kian terasing. Jodoh kami cuma bertahan selama tujuh tahun.

"Selepas berstatus janda, saya pindah ke rumah keluarga. Ramai yang pelik apabila mereka lihat saya masih lagi bertudung. Sejak itu, dalam situasi ditinggalkan sendirian, menjadikan keyakinan dan keimanan saya semakin kuat. Saya mula mencari kekuatan diri sebagai seorang Muslim dan mula berdikari," katanya.

Catherine akui, Islam banyak memberikannya petunjuk dan hala tuju dalam hidup ini. Dia mula melibatkan diri dengan Muslim Public Affairs Committee. Beliau mengetuai kempen-kempen anti-Islamophobia, diskriminasi terhadap wanita di masjid, kemiskinan dan situasi serta perjuangan rakyat Palestin.

"Apabila segelintir pihak memanggil kami kumpulan pelampau, saya rasa itu sesuatu yang tidak masuk akal. Hakikatnya, terdapat terlalu banyak masalah dalam komuniti Muslim, tetapi apabila orang ramai rasa dikepung, ia menjadikan jalan perubahan itu semakin berliku dan sukar.

"Saya masih sebahagian masyarakat kulit putih di Britain tetapi saya beragama Islam. Sebenarnya, ia mengambil masa juga untuk saya menyesuaikan dua identiti itu agar serasi berganding," katanya.

Sabtu, 26 Februari 2011

Cetek ilmu punca persoal larangan rai Hari Kekasih Oleh Hasliza Hassan 2011/02/12 Pengharaman sambutan supaya Islam ada identiti tersendiri, berbeza

Pengharaman sambutan supaya Islam ada identiti tersendiri, berbeza dengan umat lain ( Berita harian 26. 2. 2011 )

MENZAHIRKAN kasih sayang kepada kekasih perlu ada batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang antara dua jantina berbeza tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir tetapi perlu diikat akad yang kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi.

Ikatan perkahwinan bukan bertujuan menyusahkan hubungan sesama manusia kerana matlamatnya menjadikan masyarakat stabil, aman dan harmoni. Keindahan menzahirkan kasih sayang itulah dianjurkan Islam dan disemai setiap hari tanpa perlu menunggu satu hari dalam setahun.
Apatah lagi, jika jelas kesan daripada sambutan itu menjurus kepada perkara tidak baik apabila ada pihak melakukan perbuatan menyalahi syarak semata-mata untuk membuktikan apa yang dikatakan ‘kasih sayang’.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata amat menyedihkan kerana wujud golongan yang tertekan apabila pihak berkuasa melarang sambutan Hari Kekasih atau Hari Valentine.

Katanya, disebabkan cetek maklumat dan ingin memprotes tanpa mendengar penjelasan mengenai perkara berkenaan menyebabkan peringatan supaya masyarakat Islam tidak meraikan sambutan itu ibarat mencurah air ke daun keladi.

“Seperti yang dinyatakan Ibn Khaldun, kita ibarat masyarakat madani yang bergaul dengan semua orang dan mengimport budaya luar untuk diaplikasi dalam cara hidup kita. Perkara ini berlaku disebabkan cetek ilmu dan apabila diberi penjelasan, tak mahu dengar atau fahami.

“Kesedihan ini meruntun hati kerana berbuih mulut menasihat tetapi tidak memberi kesan,” katanya pada program Bicarawara dan Pelancaran Kempen Awasi Jerat Valentine’s Day 2011 di Putrajaya.
Hadir sama pada seminar bertujuan menyedarkan umat Islam hakikat sebenar Hari Valentine yang memang jauh daripada ajaran serta budaya Islam ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM, Saimah Mokhtar.

Wan Mohamad berkata, Hari Valentine tidak boleh disamakan dengan hari sambutan diraikan secara sejagat seperti Hari Ibu, Hari Bapa atau Hari Kanak-Kanak Sedunia kerana ia tidak dikaitkan dengan peristiwa khusus dan pengaruh agama.

Oleh itu katanya, niat tidak menghalalkan cara dan demi menjaga akidah umat Islam adalah lebih baik jika tarikh 14 Februari dinafikan sebagai sambutan Hari Kekasih dan diganti konsep kasih sayang sepanjang masa yang dianjurkan Islam.

“Mungkin ada kata mereka tidak berniat meraikan Valentine tetapi persoalannya kenapa perlu memilih 14 Februari. Oleh itu, niat tidak menghalalkan cara. Kenapa tidak pilih 31 Ogos atau hari lain?

“Inilah yang ingin kita fahamkan masyarakat terutama remaja kerana untuk menunjukkan kasih sayang tidak perlu hari khusus, pilihlah hari lain untuk tunjukkan kasih sayang tetapi bukan 14 Februari, jika benar mereka kata tiada niat terjebak dengan sambutan Hari Valentine,” katanya.

Katanya, usaha JAKIM memberi pengetahuan, kesedaran serta bimbingan supaya masyarakat tidak terbabit dengan keghairahan menyambut Hari Valentine mungkin tidak mampu menghalang sambutannya, tetapi perjuangan membersihkan amalan bukan Islami perlu diteruskan.

Beliau berkata, amalan dan kebiasaan di sebalik pemberian hadiah atau kata-kata pada Hari Valentine mampu menghancurkan akidah Islam yang suci kerana setiap perbuatan mempunyai simbolik serta tersirat sejuta cerita bercanggah dengan pegangan agama dan adat.

Pengharaman serta larangan bukan kerana ingin menghalang keseronokan atau dengki dengan trend zaman moden tetapi berlandaskan apa yang dinyatakan dalam al-Quran dan sunnah yang menjadi panduan umat manusia bagi mengecapi keindahan hidup di dunia dan akhirat.

Islam sangat prihatin serta menginginkan umatnya mempunyai identiti tersendiri dan berbeza dengan umat lain. Penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak tidak boleh mencampur aduk akidah serta amalan ibadat agama lain.

Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat dan secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (Surah al-Kafirun, ayat 1-6)

Hukum Islam jelas melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami, maka ia akan ditolak.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Khamis, 17 Februari 2011

Nyaris jadi pendeta

Susunan SITI AINIZA KAMSARI


penampilan terkini Abdullah DeLancey.

KERANA terlalu ingin mendalami agamanya sendiri, hajat seorang pembantu paderi Kristian menjadi seorang pendeta terbantut dan tidak kesampaian.

Sebaliknya, ia memaksa beliau mencari agama lain sebagai pengganti lantas menemukannya dengan Islam yang kemudian dipilih sebagai agama untuk dianuti dengan penuh keikhlasan tanpa paksaan mana-mana pihak.

Apabila memeluk Islam hampir lima tahun lalu, iaitu pada 24 Mac 2006, warga Kanada ini mahu dikenali sebagai Abdullah DeLancey.

Di zaman kanak-kanak sehinggalah dewasa keluarganya membesarkan Abdullah dalam ajaran agama Gereja Pantekosta.

Ia menyaksikannya terlibat secara aktif dalam aktiviti-aktiviti gereja termasuk menyampaikan khutbah untuk Adult Sunday School dan pelbagai lagi tugas selaku pembantu paderi.

"Saya ingin dedikasikan sepenuhnya hidup ini kepada tuhan. Untuk itu saya bercadang menjadi seorang Minister gereja," katanya.

Ini akan membolehkan Abdullah dapat menjayakan misi-misi Kristian dengan lebih agresif dan meluas.

Bagi mencapai matlamat itu itu, Abdullah perlu melanjutkan pengajian dalam Degree in Divinity dan dia telah ditawarkan biasiswa bagi memastikan cita-citanya tercapai.

Tetapi sebelum melanjutkan pengajian dan menyerah diri sepenuhnya kepada gereja, Abdullah mahu melihat kembali ajaran Kristian secara lebih kritikal dan ingin bertanya secara lebih serius mengenai keimanannya selama ini.

Lalu kepada rakan-rakan Kristian yang lain, dia ajukan pelbagai pertanyaan yang selama ini tidak pernah diambil peduli.

"Namun saya sungguh kecewa apabila tiada jawapan dapat mereka berikan kerana segala-galanya telah kukuh. Ia dengan sendirinya menolak apa juga jawapan dan alasan.

"Di samping segala persoalan tersebut, sebenarnya adalah melampaui tahap pemikiran manusia untuk memikirkannya. Jadi sebagai penganut kita patut diam dan menerima sahaja tanpa banyak soal.

"Ini menyebabkan saya terfikir, tuhan telah mengurniakan otak yang sangat sempurna ciptaannya," jelasnya.

"Tetapi kenapa apabila sampai pada persoalan-persoalan yang ditimbulkan itu secara tiba-tiba fungsi otak tidak diperlukan lagi?

"Adakah ini bermakna selama ini agama yang saya anuti ini adalah berasaskan satu keimanan yang buta," soal Abdullah.

Tidak cukup bertanya dengan rakan-rakan seagama, Abdullah mencari jawapannya dalam kitab Injil kerana setiap ajaran mesti berasaskan daripada kitab itu.

"Tetapi tidak satu pun jawapan ditemui. Malah tambah mengelirukan walau cuba difahamkan berkali-kali," katanya.

Akhirnya tanpa sebarang keraguan, Abdullah membuang agama yang selama ini beliau pertahankan.

"Kini saya tidak mempunyai sebarang agama untuk saya percaya. Tetapi saya terlalu percaya bahawa tuhan itu wujud.

"Jadi saya masih memerlukan agama bagi menghubungkan saya dengan tuhan. Di samping hidup ini sukar hendak dilalui tanpa ada sebarang pegangan agama," katanya.


Isnin, 14 Februari 2011

Perawi wanita yang cerdas

WAJAHNYA cantik dan menawan. Semua orang yang pernah melihat wajahnya, pasti memuji kecantikannya. Dia juga memiliki akal yang cerdas. Dia melaporkan beberapa hadis dari ibunda Aisyah dan hadis-hadis yang dilapornya dapat diterima oleh pakar hadis bagi dijadikan bukti.

Itulah Aisyah binti Talhah, puteri kepada sahabat nabi yang bernama Talhah bin Ubaidillah. Talhah bin Ubaidillah merupakan salah seorang sahabat yang dijamin syurga oleh Rasulullah.

Suatu hari, Aisyah bermimpi bertemu dengan ayahnya. Ayahnya berkata kepadanya: “Wahai puteriku, keluarkanlah aku dari air yang menyakitiku ini. Rembesan air ini benar-benar menyeksaku”.

Apabila tersedar dari tidur, kata-kata ayahnya itu kembali terngiang-ngiang di telinganya.

“Ayah sudah meninggal dunia lebih tiga puluh tahun lamanya. Apakah yang terjadi kepada ayah sebenarnya,” Aisyah tertanya-tanya sendiri.

“Aku mesti menyelidik apakah yang menimpa ayah,” Aisyah menanam tekad di hatinya.

Aisyah segera mengumpulkan saudara-saudaranya, lalu mereka bersama-sama pergi ke kuburan ayah mereka. Mereka menggali kubur itu dan terkejut melihat keadaan jasad ayah mereka yang sudah bertukar warna menjadi hijau seperti sayur.

Perkara itu berlaku kerana ada air yang mengalir di dalam kubur itu, sehingga menyebabkan jasad itu sentiasa basah.

Jasad sahabat nabi yang mulia itu segera dikeluarkan. Jasad itu kemudian dibalut dengan kain, lalu dipindahkan ke atas sebidang tanah di Basrah.

Aisyah binti Talhah dibesarkan dalam lingkungan keluarga Rasulullah, khususnya dalam bimbingan Ummul Mukminin Ibunda Aisyah. Ibunya, Ummu Kalsum binti Abu Bakar merupakan adik-beradik ibunda Aisyah yang berlainan ibu.

Oleh kerana itulah, Aisyah begitu rapat dengan ibunda Aisyah yang mendidiknya sejak kecil dengan didikan iman dan adab.

Dengan didikan itu, Aisyah membesar menjadi wanita yang tinggi ilmunya, kehormatannya dan kejujurannya. Hadis-hadis yang dilaporkannya diterima oleh pakar hadis dan dijadikan sandaran hukum.

Aisyah banyak berzikir kepada Allah sehingga jiwanya menjadi bersih dan tenang. Tidak hairanlah sekiranya beliau yang dipilih bagi melaksanakan tugas bagi memindahkan kuburan ayahandanya ke tempat yang lebih selamat.

Aisyah begitu cantik dan pintar menyebabkan ramai lelaki ingin hidup bersamanya. Selepas kematian suaminya, Abdullah bin Abdul Rahman bin Abu Bakar, Aisyah dipinang oleh pemimpin Iraq yang bernama Mus’ab bin Zubair.

Mus’ab adalah perwira yang gagah berani dan memiliki wajah yang tampan. Mus’ab begitu memanjakan Aisyah dan memberinya kemewahan hidup.

Perkara itu menyebabkan Aisyah kadangkala manja dan tidak mempedulikan Mus’ab. Mus’ab tidak selesa dengan sikap Aisyah itu. Dia segera berbincang dengan pembantunya bagi menyedarkan Aisyah tentang sikapnya itu.

“Bolehkah engkau membantuku bagi menyedarkan Aisyah dari sikap manjanya,” ujar Mus’ab kepada pembantu peribadinya yang bernama Abdullah.

Abdullah berfikir sebentar, kemudian bersuara. “Bolehkah saya mengusulkan satu cara”.

“Lakukanlah apa sahaja asal dia tidak mengecewakanku lagi. Dia adalah perhiasan dunia yang paling berharga bagiku,” jawab Mus’ab.

“Baiklah, saya akan lakukannya,” kata Abdullah.

Abdullah segera membuat perancangan. Apabila malam tiba, dia pergi ke rumah Aisyah lalu meminta izin masuk. Aisyah hairan lalu bertanya, “Apakah yang engkau inginkan malam-malam begini?”

Aisyah berasa takut apabila melihat Abdullah datang bersama dua orang lelaki bertubuh besar dan berkulit hitam.

Pembantu Aisyah bertanya: “Apa keperluanmu?”

Abdullah menjawab: “Malang bagi tuanmu, Aisyah”.

“Ada apa dengannya,” soal pembantu itu lagi.

“Si penjahat yang gemar memukul orang itu menyuruhku membuat lubang, lalu menguburkan Aisyah di dalamnya hidup-hidup. Aku sudah pun berusaha tidak melakukannya, tetapi dia mengancam akan membunuhku,” kata Abdullah.

Pembantu itu faham bahawa si penjahat yang dimaksudkan oleh Abdullah itu ialah Mus’ab. Dia pun berkata: “Lepaskan aku. Aku akan pergi menemuinya bagi bertanyakan akan hal ini,” kata pembantu itu.

Abdullah menjawab dengan tegas dan nada suara yang tinggi. “Tidak mungkin! Engkau tidak ada kesempatan lagi”. Kemudian dia berkata kepada kedua orang hitam itu dengan nada yang sangat tegas, “Galilah lubang sekarang!”

Mendengar arahan Abdullah yang tegas itu, Aisyah menangis kerana takut. “Abdullah, benarkah engkau hendak membunuhku?”

“Tidak ada pilihan lain lagi. Meskipun aku yakin Allah akan membalasnya sesudah kamu mati, tetapi, dia begitu marah kepadamu,” jawab Abdullah.

“Apakah yang menyebabkan dia marah kepadaku?” soal Aisyah.

Abdullah menjawab: “Engkau sering tidak mengendahkannya, hingga dia menyangka engkau benci padanya”.

Aisyah berkata: “Baiklah. Saya berjanji kepada Allah tidak akan mengulanginya lagi”.

Abdullah berhenti berbicara. Dia seakan-akan berfikir. “Tetapi, aku khuatir dia akan membunuhku”.

Mendengar jawapan Abdullah itu, Aisyah dan pembantu-pembantunya menangis semahu-mahu mereka. Abdullah kemudian berkata: “Aku bersimpati dengan keadaanmu. Beritahulah kepadaku apa yang harus aku katakan kepada Mus’ab”.

Aisyah segera menjawab: “Saya memberi jaminan, saya tidak akan mengulangi perbuatan itu bagi selama-lamanya”.

“Baiklah,” kata Abdullah. Dia mengarahkan dua lelaki hitam itu pergi dari situ.

Abdullah segera berjumpa dengan Mus’ab dan menceritakan perkara yang berlaku. “Aku kurang yakin dengan kata-katanya. Suruhlah dia bersumpah,” kata Mus’ab.

Abdullah bergegas menemui Aisyah, “Mus’ab sudah terpujuk. Jadi bersumpahlah agar engkau tidak akan mengulanginya”.

Aisyah segera bersumpah akan melayan Mus’ab dan berbuat baik kepada Mus’ab sepanjang hayat mereka.

Aisyah akhirnya terkenal dalam sejarah sebagai wanita baik yang indah rupa parasnya, tinggi ilmunya, dihormati, cerdas dan berani menyatakan kebenaran.

Sabtu, 12 Februari 2011

Christina mahu jelaskan Islam sebenar

Susunan ZUARIDA MOHYIN

kehidupan umat Islam di Amerika Syarikat berubah selepas tragedi 11 September dan dalam masa sama agama Islam semakin dikenali. - Gambar hiasan



KETIKA dua pesawat melanggar bangunan Pusat Dagangan Dunia di New York dalam insiden 11 September 2001, Christina Rountree masih di sekolah menengah rendah. Seperti sebahagian masyarakat Amerika Syarikat (AS) lain pada masa itu, dia hanya mampu tercengang dan marah.

“Apabila keluar di berita-berita mengatakan serangan tersebut dilakukan oleh orang Islam. Lantas, saya bertanya kepada teman yang beragama Islam... mengapa mereka sanggup melakukannya atas nama Islam? Islam itu agama awak, bukan?

Christina masih ingat jawapan balas teman-temannya yang mengatakan: “Mereka itu orang gila. Mereka tidak menghormati agama Islam. Islam adalah agama kedamaian”.

Fikiran Christina keliru. Lantas, dia mula membaca tentang falsafah agama Islam itu. Malah ketika di kolej, beliau turut menyertai Persatuan Pelajar Islam di kampusnya.

Semuanya selain untuk mengetahui di sebalik agama Islam, dia juga sebenarnya sedang mencari matlamat dalam kehidupannya. Sejak itu, mata dan hatinya telah terbuka tentang Islam. Selama ini terlalu banyak yang salah digambarkan tentang agama Islam. Hal ini menimbulkan semacam satu semangat kepada Christina untuk memperbetulkan, waima pada masa itu dirinya belum Islam.

Christina lantas mengambil keputusan untuk membantu golongan bukan Islam agar mereka ini lebih memahami agama yang syumul itu iaitu agama Islam.

“Mereka sebenarnya memperoleh maklumat yang salah tentang agama Islam dan Muslim ditambah kebimbangan yang sudah menguasai diri, kata Christina. Malah sebagai seorang Afro-Amerika, saya amat memahami bagaimana rasanya dinilai hanya dengan melihat penampilan luaran anda sahaja”.

Namun bagi Christina, dia tidak pasti jika ada orang yang akan mendengar kata-katanya. Keraguannya itu diluahkan kepada seorang teman.

Balas temannya, “Beginilah Christina, bukankah lebih baik awak tunjukkan contoh tauladan bagaimana seorang Muslim itu daripada awak banyak menghabiskan masa bercakap mengenai apa yang mereka sendiri tidak pernah mengambil berat untuk memahami. Ada kebenarannya juga...

Mengakui kepercayaannya ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW dan dakwah yang disampaikan baginda. Malah Christina turut menyukai struktur agam Islam itu sendiri dan keyakinan paling kemuncak ialah akan mukjizat al-Quran. Apa sahaja kemusykilan yang timbul boleh dirujuk terus kepada kitab suci al-Quran yang masih terpelihara dan menjadi rujukan sehingga kini.

Akhirnya, pada 17 November 2006, Christina mengucap dua kalimah syahadah. Keputusan itu atas kehendak, kerelaan dan keikhlasan. Akui Christina, dia menerima Islam kerana itulah yang dikehendaki Allah SWT ke atasnya.

Namun, keputusannya itu bukanlah sesuatu yang dijangka dan diharap oleh ibunya, sekali gus tidak merestui pengislaman yang dibuat Christina.

“Ibu melenting bila mengetahui saya sudah Muslim. Katanya, saya lakukan semua itu kerana seorang lelaki memandangkan saya mudah mesra dengan lelaki yang berasal dari Timur Tengah atau yang mirip wajah pemuda dari India. Padahal, ketika itu, ibu tahu saya tidak mempunyai teman lelaki lagi.

“Berlainan pula penerimaan bapa, dia hanya menyokong segala tindakan saya jika itu yang membuatkan saya gembira”. Katanya lagi, “Buatlah apa sahaja selagi mana kau rasakan yang engkau telah menemui Tuhanmu.”

Alhamdulillah...tidak lama selepas itu, sudah nampak tanda-tanda penerimaan ibunya, salah satunya, sesekali ibunya mengikut Christina ke masjid.

Sungguhpun begitu, tidak dapat dinafikan sebaik bergelar Muslim, dia berhadapan detik-detik kesukaran yang ada ketikanya amat memahitkan.

Katanya, percubaan mengebom lapangan terbang berdekatan Detroit pada Hari Natal adalah detik paling besar yang diumpamakan mencalit arang kepada wajah Islam kepada semua umat Islam seluruh dunia.

“Bagi saya ia bukannya satu atau dua tapak ke belakang. Ia seolah-olah ribuan tapak ke belakang. Pada saat di mana orang sudah mula menerima Islam secara positif, jauh daripada pandangan dan persepsi Islam itu agama keganasan dan pelbagai lagi sisi gelap Islam, kini situasi seperti 11 September, kembali berulang,” katanya.

Memburukkan lagi keadaan, pengalaman Christina pada ketika itu merupakan krew penerbangan. Tidak lama selepas kejayaan kerajaan AS mematahkan cubaan serangan seorang Muslim Nigeria, ketika itu dia berada di dalam sebuah pesawat yang hendak berlepas, salah seorang rakan krew yang mundar-mandir di dalam pesawat membuka bicara mengenai insiden tersebut.

Mereka berdua berulang kali mengatakan dengan nada marah dan tidak puas hati, “Orang Muslim tidak seharusnya berada di AS. Saya berharap sangat mereka semua mati. Malah mereka terus-menerus mengatakan pelbagai hal tentang Islam,” kenang Christina.

Pada saat itulah, Christina mulai faham, bagaimana pandangan majoriti warga AS tentang Muslim. Banyak yang tidak tepat, malah ada yang tidak berasas. Ingin sangat dia membetulkan pandangan salah dua krew lelaki itu tadi.

Namun, Christina memilih untuk berdiam, apatah lagi memberitahu bahawa dirinya sebenarnya seorang Muslim. Bagaimanapun, perbualan mereka itu benar-benar membebani kotak fikiran Christina.

Bagaimanapun, peristiwa itu sedikitpun tidak membuat beliau putus harapan. Baginya, suatu masa nanti, pasti rakyat AS akan melakukan sepertinya, mempelajari sendiri bagaimana Islam yang sebenarnya.

Mengakui dirinya masih dalam prose s pembelajaran selain berazam akan bertudung suatu hari nanti. Insya-Allah.

Sumber: MUSLIM IN MICHIGAN

Rabu, 9 Februari 2011

Sejarawan dan ahli tafsir terkenal

IBNU al-Tabari ialah sejarawan dan ahli tafsir terkemuka kelahiran Tabaristan (Iran). Nama lengkapnya ialah Abu Jaafar Muhammad bin Jarir al-Tabari. Namun beliau terkenal dengan nama al-Tabari atau Ibnu Jarir al-Tabari.

Beliau dilahirkan pada 225 H/839 M di Amul, Tabaristan (Iran). Daerah itu merupakan tempat berkembangnya kebudayaan Islam. Namun beliau lebih banyak menghabiskan waktunya di Baghdad. Di sana, beliau pernah dipilih menjadi hakim tetapi menolaknya.

Beliau juga diminta menjadi hakim yang menangani kezaliman para pegawai, namun beliau tetap menolaknya. Ketika berusia 85 tahun, beliau meninggal dunia di Baghdad pada 310 H/923 M. Kitab tafsirnya yang paling terkenal adalah Jami ‘al-Bayan fi Tafsir al-Quran atau Tafsir al-Tabari.

Kitab itu berkisar tentang tafsir hukum (fikah) kerana beliau juga merupakan fuqaha terkemuka melalui karyanya Ikhtilaf al-Fuqaha, (perbezaan pendapat para ulama).

Ketika menulis kitab Tafsir al-Tabari, beliau mengumpulkan bahan tentang tafsir bi al-ma’sur (tafsir al-Quran dengan al-Quran, hadis dan ijtihad sahabat).

Kitab itu mengandungi penemuan hukum akidah dan fikah yang disimpulkan daripada al-Quran. Hingga kini kitab itu menjadi bahan untuk mendalami beberapa kenyataan dalam filologi.

Karya sejarah al-Tabari yang terkenal adalah Tarikh al-Rusul wa al-Muluk atau dikenali dengan nama Tarikh al-Tabari. Kitab itu dianggap sebagai kitab sejarah Islam

terlengkap.

Dalam kitab itu dimuatkan maklumat yang tidak pernah ditulis oleh sejarawan sebelumnya.

Isi kitab itu terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama mengandungi sejarah Arab, Parsi dan Rom sebelum Islam. Bahagian kedua mengandungi sejarah pasca-Islam.

Kitab sejarah al-Tabari itu hingga kini menjadi rujukan dan diterjemahkan ke dalam pelbagai

bahasa.

Tekun belajar

Dalam dunia ilmu pengetahuan, al-Tabari terkenal tekun mendalami ilmu yang dikuasainya. Beliau berusaha untuk belajar terus menerus tanpa mengenal waktu, hingga dapat menguasai banyak bidang ilmu pengetahuan Islam.

Hal itu terbukti daripada karyanya yang mencakupi pelbagai bidang ilmu. Namun yang paling popular ialah karyanya dalam bidang tafsir dan sejarah.

Perjalanan ilmiah

Untuk melanjutkan pengajiannya ke pusat pengajian Islam, al-Tabari pertama kali berangkat ke Rayy, Iran. Setelah itu, beliau berpindah ke Baghdad untuk menemui Imam Hanbali.

Namun sebelum sampai di kota tersebut, Imam Hanbali meninggal dunia (241 H/855 M).

Al-Tabari lalu pergi ke Wasit dan Basrah untuk mengikuti beberapa kuliah.

Setelah itu beliau melanjutkan perjalanan ke Kufah untuk mendalami ilmu hadis dan ilmu yang berkaitan dengannya. Kemudian beliau kembali ke Baghdad untuk belajar ilmu al-Quran dan fikah, khususnya fikah Syafie.

Pada 253 H/867 M, beliau pergi ke Fustat, Mesir, dan singgah di Syria untuk belajar ilmu hadis. Setelah itu, beliau kembali ke Baghdad dan berjaya menulis pelbagai karya besar yang

masih banyak digunakan hingga

hari ini.

Karya rujukan

Kitab Tarikh al-Rusul wa al-Muluk dianggap sebagai karya yang sangat besar. Oleh itu, para ahli sejarah sesudah zaman al-Tabari menjadikan kitab tersebut sebagi rujukan utama.

Bahkan Ibnu Asir (seorang sejarawan besar sesudah al-Tabari) mengungkapkan dalam pendahuluan kitabnya (al-Kamil fi al-Tarikh) bahawa beliau menulis karyanya setelah mendapat ilham daripada karya al-Tabari.

Barat terus perlekeh Islam

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

TERDAPAT tujuh lautan yang ada di muka bumi ini. Namun biar seluas mana pun lautan tersebut ia tidak sesak dengan kapal-kapal yang belayar. Tetapi berbeza dengan pelayaran di alam siber. Keadaannya sungguh sesak, padat dan penuh dengan pelbagai 'pengaruh'.

Pengaruh yang sampai itu pula mampu menakluk negara-negara yang menjadi persinggahan dan akibatnya meninggalkan pelbagai kesan global. Buktinya, apabila ada seorang pemuda Islam, Melayu berusia 32 tahun baru-baru ini membuat pengakuan dia seorang gay dalam menjayakan kempen homoseks seluruh dunia.

I'm Gay and I'm Okay, itu tajuk salah satu video kontroversi bertajuk It Gets Better In Malaysia. Ia Memberi harapan untuk lesbian, gay, biseksual dan transeksual.

Kita percaya pemuda ini tidak perlu bersusah payah pergi ke Barat bagi mendapatkan bahan-bahan untuk menyongsangkan dirinya.

Sebaliknya, cukup dengan pelayaran di alam siber yang boleh memuat turunkan pelbagai bahan yang dikehendaki dan sokongan dari golongan songsang tersebut bagi membolehkan dia menyebarkanluaskan lagi perlakuan yang cukup keji itu.

Mangsa agenda Barat? Sebelum ini kita diminta supaya bersedia menghadapi kesan globalisasi. Antaranya supaya bersikap lebih terbuka dan mengurangkan prejudis terhadap Barat.

Supaya apa juga maklumat dan pengaruh yang sampai, kita tidak mudah melatah dan dapat disaring untuk diambil intipatinya.

Namun, buku ini menjelaskan kepada kita bahawa umat Islam tidak akan pernah terlepas dari diusik oleh Barat. Mereka tidak sekali-kali berhenti memerangi kamu sehingga mereka dapat mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran). (al-Baqarah: 217)

Ayat tersebut menjadi dalil supaya kita beringat dan berhati-hati terhadap Barat dalam pada kita mengamalkan sikap terbuka dan tidak berprasangka buruk terhadap mereka itu.

Melalui buku Pandangan Negatif Barat Terhadap Islam, penulisnya, Lutfi Mustafa El-Baynani membedah satu demi satu persoalan mengenai pandangan negatif Barat terhadap Islam, bermula pada Bab Pertama dengan meletakkan pada neraca kebenaran mengenai kisah-kisah Nabi Isa menurut al-Quran.

Ia supaya kisah-kisah Nabi Isa mulai kisah ibunya, Siti Maryam, baginda dilahirkan sehinggalah kisah baginda diangkat ke langit tidak diselewengkan kerana penulis mahu umat Islam memahami kebenaran hanya ada pada Islam.

Tidak ada pada agama lain yang walaupun ada sesetengah agama itu berasal dari langit atau agama samawi. Akibat suka mengubah-ubah mengikut pelbagai kepentingan peribadi sesetengah pihak menyebabkan ada penganutnya menjadikan permusuhan terhadap umat Islam sebagai sebahagian dari ajaran.

Sebagaimana Allah telah memberikan amaran, dalam firman-Nya yang bermaksud: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan reda kepada kamu sehinggalah kamu mengikut agama mereka. (al-Baqarah: 120)

Sesetengah kalangan anti-Islam itu berpendapat tidak perlu untuk bertukar agama secara rasmi, asalkan sahaja umat Islam dapat dimurtadkan dan berpaling jauh dari Allah dan Islam, sudah lebih daripada memadai.

Mungkin perbuatan gay yang sangat menyerupai perbuatan kaum Nabi Lut tidak sampai ke tahap menyebabkan seseorang itu murtad atau terkeluar dari Islam, nauzubillah.

Namun sebagaimana yang diceritakan oleh penulis dalam Bab 3, iaitu bahawa pengaruh sosial adalah antara dakyah yang digunakan bagi meleka dan melalaikan umat Islam. Ini termasuklah hubungan seks songsang akibat terpengaruh dari pelbagai gejala sosial yang negatif.

Ia menjerumuskan umat Islam dengan pelbagai perkara yang merugikan dan merosakkan diri termasuk terlanjur dalam hubungan berlainan jantina dan sama jenis.

Terdapat 10 topik atau bab yang menarik dalam buku ini, iaitu topik-topik yang menyentuh gerakan Barat atas nama agama yang cuba melemahkan umat Islam dari segala aspek.

Ini termasuklah gerakan untuk memusnahkan individu Muslim melalui gerakan sosial, seks bebas pemusnahan akhlak, menghalalkan pelacuran, gejala bohsia, gadis pelayan pelanggan, gigolo dan sebagainya.

Gerakan memusnahkan keluarga dan masyarakat Islam, minda umat Islam, gerakan menghapuskan al-Quran dan segala ajaran, gerakan merosakkan imej umat Islam (melalui lakaran kartun-kartun yang bersifat biadab), gerakan merosakkan imej wanita Islam dan sebagainya.

Jika kita perhatikan semua topik yang dikupas itu sebahagian besar adalah realiti yang sedang berlaku dalam masyarakat kita hari ini.

Jika ada yang masih hendak mendaulatkan Barat pada perkara-perkara yang maksiat, jahat dan menyesatkan, sesungguhnya kalangan Barat itu sendiri adalah sesat.

Allah telah memberi amaran kepada mereka melalui firman-Nya yang bermaksud: Katakankanlah Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampaui batas dalam agama mu diluar kebenaran, janganlah pula kamu mengikut kehendak hawa nafsu dari golongan yang sesat sejak dahulu dan menyesatkan pula kebanyakan manusia dan mereka sesat dari jalan yang lurus. (al-Maidah: 77)

Dalil yang cukup kuat yang membuktikan bahawa golongan anti Islam dari Barat sentiasa mencari umat Islam untuk dijadikan mangsa dan dimangsai.

Selasa, 8 Februari 2011

Setiap manusia ada Qarin

Assalamualaikum warahmatullah,

Setiap manusia yang lahir disertakan ‘qarin’ oleh Allah yang bertugas sebagai ‘penggoda’ seseorang itu sejak seseorang itu lahir hinggalah saat kematiannya. Rasulullah SAW sendiri tidak terkecuali. Hanya Rasulullah SAW sahaja yang tidak dapat digoda oleh qarin. Cuma bezanya, qarin Rasulullah adalah muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir.

Dari Abdullah bin Mas’ud r.a katanya, “Tidak seorangpun di antara kamu melainkan telah ada jin yang ditugaskan pemimpinnya untuk selalu menggodanya.” Para sahabat bertanya, “Anda juga, ya Rasulullah?” Jawab baginda, “Ya. Aku juga. Tetapi Allah selalu melindungiku dari godaan mereka sehingga mereka yang menggodaku akhirnya Islam (menyerah). Kerana itu mereka tidak berani menyuruhku melainkan untuk kebaikan.” (Hadis riwayat Muslim)

Aisyah r.a. menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah SAW keluar dari rumahnya (Aisyah), Aisyah berkata: “Aku merasa cemburu.” Tiba-tiba Baginda berpatah balik dan bertanya, “Wahai Aisyah apa sudah jadi, apakah engkau cemburu?” Aku berkata, “Bagaimana aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah?” Sabda Baginda, “Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitanmu?” Aku bertanya, “Apakah aku ada syaitan?” Sabda Baginda, “Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin.” Aku bertanya lagi, “Adakah engkau pun ada syaitan, ya Rasulullah?” Jawab Baginda, “Ya, tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku telah masuk Islam.” (Hadis riwayat Muslim)

Di dalam hadis lain daripada Ibnu Umar r.a., sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Aku dilebihkan daripada Nabi Adam a.s. dengan dua perkara, iaitu pertama syaitanku kafir lalu Allah menolong aku sehingga dia Islam. Kedua, para isteriku membantu akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan isterinya membantu ia membuat kesalahan.” (Hadis riwayat Baihaqi)

Sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis-hadis di atas, qarin adalah dari golongan jin. Ia sentiasa mengajak manusia yang didampingi ke arah kejahatan. Sedangkan sifat manusia itu lemah, mudah lupa menjadi penyebab terjerumusnya manusia ke lembah nista dan kemaksiatan akibat tergoda dengan hasutan qarin ini. Dia membisikkan was-was, melalaikan solat, berat nak baca al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja sekuat tenaga untuk menghalang dampingannya membuat ibadah dan kebaikan.

Ibn Muflih al-Muqaddasi menceritakan: Suatu ketika syaitan yang mendampingi oran beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus, sedangkan yang megikuti orang kafir itu gemuk. Maka ditanya mengapa engkau kurus, “Bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah dia berzikir, makan dia ingat Allah, apabila minum pun begitu.” Sebaliknya syaitan yang mengikuti orang kafir itu pula berkata: “Aku sentiasa makan bersama dengannya dan begitu juga minum.”

Untuk mengimbangi usaha qarin ini Allah utuskan malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat. Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh qarinnya lemah tidak berdaya. Caranya dengan membaca "Bismillah" sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyak berzikir, membaca al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah.

Perihal qarin ini bukan saja disebut dalam hadis, malah diceritakan di dalam al-Quran, seperti firman Allah SWT yang bermaksud, “Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (al-Quran), maka Kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan), maka syaitan itulah yang menjadi qarin (teman yang selalu menyertainya).” (Surah az-Zukhruf [043], ayat 36)

Kewujudan jin, iblis dan syaitan sesatkan manusia wajib dipercayai

Apakah perbezaan antara jin, iblis dan syaitan serta peranan makhluk itu dalam mengganggu dan menyesatkan umat manusia? Apakah benar ia dapat dilihat dalam jelmaan tertentu? Apakah hukum mereka yang ingkar akan kewujudannya dengan alasan ia tidak dapat dilihat?

Menurut Ustaz Zamanuddin Jusoh, sesiapa yang ingkar mengenai kewujudan jin dan keturunannya adalah kafir kerana menolak apa yang terdapat dalam al-Quran daripada nas yang jelas. Ketiga-tiga makhluk ini ciptaan Allah SWT yang berurusan untuk mengganggu serta menyesatkan manusia. Ia dicipta daripada api seperti termaktub dalam al-Quran melalui firman bermaksud, “Dan Dia menciptakan jin dari nyala api.” (Surah ar-Rahmaan [055], ayat 15).

Mereka diberi keizinan Allah untuk menyesatkan manusia sehingga hari kiamat. Kisah ini dirakamkan dalam al-Quran, ““Iblis berkata: “Ya Tuhanku, beri tangguhlah aku sampai hari mereka dibangkitkan.” Allah berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya kamu (wahai Iblis) termasuk orang-orang yang diberi tangguh (untuk mengganggu anak Adam), sampai kepada hari yang telah ditentukan waktunya (hari kiamat).”” (Surah Shaad [038], ayat 79~81)

Hakikatnya mereka berasal dari satu golongan kerana al-Quran juga menggunakan istilah jin, iblis dan syaitan. Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya pernah mentafsirkan jin dengan makna iblis. Al-Quran menjelaskan ia asalnya kelompok malaikat (mengikut setengah tafsiran) yang ingkar perintah Allah. Kebanyakan ulama tafsir menyatakan iblis adalah bapa kepada semua jin dan syaitan. Ia juga terdiri daripada yang beriman dan kafir. Ia tidak dapat dilihat oleh pandangan mata kasar manusia. Allah berfirman bermaksud, “Sesungguhnya dia (syaitan) dan kuncu-kuncunya dapat melihat kamu dari suatu tempat, sedangkan kamu tidak dapat melihat mereka.” (Surah al-A’raaf [007], ayat 27).

Ada pendapat mengatakan iblis dan syaitan berasal daripada golongan jin yang ingkar perintah Allah supaya sujud kepada Nabi Adam. Dikatakan bahawa Jin Afrit adalah yang paling aktif dan cerdik seperti sejarah Nabi Sulaiman dan Puteri Balqis dari Yaman. Makhluk ini mampu menjelma dalam bentuk tertentu seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud, “Jin ada tiga golongan, bersayap dan mampu terbang di udara, berupa benda melata seperti ular dan sebagainya, berwajah cantik dan mengilai.” (Hadis riwayat Hakim dengan sanad sahih)

Hadis daripada Aishah r.a. diriwayatkan Bukhari dan Muslim, mengatakan anjing hitam adalah jelmaan syaitan. Begitu juga kucing dan keldai hitam kerana warna hitam adalah himpunan kekuatan bagi syaitan dan tenaga tambahan bagi mereka. Tetapi bukan bermakna semua anjing, kucing dan kaldai hitam adalah syaitan kerana maksud ungkapan Rasulullah adalah gambaran kepada warna yang buruk dan kurang faedahnya bagi binatang itu. (Dr Abd Wahab Abd Ati Abdullah, Rektor Universiti Al-Azhar).

Antara peranan jahat syaitan ialah:

1. Mencipta permusuhan antara manusia.

Firman Allah bermaksud, “Sesungguhnya syaitan itu bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu).” (Surah al-Maa-idah [005], ayat 91).

2. Menghilangkan pertimbangan akal yang waras.

Sabda Rasulullah bersabda bermaksud, “Janganlah kamu marah kerana perasaan itu adalah datang daripada syaitan.”

3. Tamak dan hasad dengki.

Allah mewahyukan kepada Nabi Nuh di atas bahteranya, “Dua perkara yang akan merosakkan manusia disebabkan iblis, dengki dan tamak.” (Ibnu Jauzi).

4. Mencipta bibit perpecahan sesama umat Islam.

Dari sahabat bernama Jabir bahawa Rasulullah bersabda bermaksud, “Sesungguhnya iblis putus asa terhadap orang yang solat tetapi ia mampu memecah-belahkan perpaduan mereka.” (Hadis riwayat Bukhari).

5. Memesongkan akidah umat Islam.

Firman Allah bermaksud, “Dan syaitan berusaha untuk menyesatkan umat Islam dengan kesesatan yang amat jauh.” (Surah an-Nisaa’ [004], ayat 60).

6. Menyeru kepada kejahatan.

Firman Allah bermaksud, “Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu melakukan perbuatan jahat dan keji dan menyatakan mengenai agama Allah apa yang tidak diketahui.” (Surah al-Baqarah [002], ayat 169).

7. Menghalal serta mengharamkan sesuatu tanpa ilmu pengetahuan.

Firman Allah bermaksud, “Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu melakukan perbuatan jahat dan keji dan menyatakan mengenai agama Allah apa yang tidak diketahui.” (Surah al-Baqarah [002], ayat 169).

8. Menjauhkan manusia daripada mengingati Allah.

Firman Allah bermaksud, “Barang siapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (al-Quran), maka Kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu bersamanya.” (Surah az-Zukhruf [043], ayat 36).

9. Mencipta perbalahan dalam agama.

Firman Allah bermaksud, “Di antara manusia ada orang yang membantah mengenai agama Allah tanpa ilmu pengetahuan dan mengikuti setiap syaitan yang jahat.” (Surah al-Hajj [022], ayat 3).

Membaca doa keluar rumah

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan daripada Rasulullah SAW, “Jika seseorang keluar dari pintu rumahnya atau dari pintu tempat tinggalnya, maka akan ada dua malaikat yang mengawalnya. Jika dia membaca, “Bismillah”, kedua malaikat itu berkata, “Engkau mendapat petunjuk.” Jika dia mengucapkan, “Laa haula walaa quwwata illa billah” (tiada daya dan kekuatan, melainkan hanya Allah), dua malaikat itu akan berkata, “Engkau terjaga.” Jika dia mengucapkan “tawakkaltu ‘alallah” (kepada Allah aku berserah diri), dua malaikat itu berkata, “engkau telah dicukupkan.” Lalu dua malaikat itu menemui qarin (jin yang selalu menyertai manusia) orang itu. Dua malaikat itu berkata, “Apa yang kamu kehendaki daripada seseorang yang telah diberi petunjuk, dicukupi keperluannya dan dijaga dirinya?”

Qarin akan berpisah dengan ‘kembar’nya hanya apabila manusia meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh, sedangkan qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang. Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan manusia.

Oleh itu hendaklah kita mengamalkan doa perlindungan yang mudah seperti disebutkan di atas, semoga kita terpelihara daripada gangguan golongan yang direjam ini. Amiin.

Jumaat, 4 Februari 2011

Pengendali Your Virtual Mosque

Susunan SITI AINIZA KAMSARI


Islam benar-benar membawa pengaruh yang sangat besar dalam hidup Suhaib Webb.

TENGAH bulan lalu, iaitu dari 13 hingga 16 Januari pemuda ini datang ke Malaysia sebagai penceramah jemputan di beberapa tempat. Malangnya tidak satu pun jemputan tersebut diketahui oleh media tempatan.

Ini menyebabkan kisah perjalanan hidup William Webb 38, tidak dapat dikongsi oleh lebih ramai umat Islam di negara ini.

Sedangkan Webb atau nama Islamnya Suhaib Webb, berjaya membuktikan bahawa Islam adalah milik semua, termasuk dirinya yang berkulit putih dan warga Barat.

Tidak sekadar itu, malah sejak memeluk Islam ketika berusia 20 tahun sehinggalah kini, Suhaib mempunyai kualiti yang sangat cemerlang sebagai seorang Muslim. Sehingga adakalanya mengundang persoalan kerana dia cukup berbeza bagi mereka yang lahir dalam Islam.

Suhaib dilahirkan di Oklahoma, Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1972 dalam keluarga yang berpegang kuat kepada Kristian (Prostestan).

Datuknya merupakan paderi. Maka tidak menghairankan jika Suhaib di zaman kanak-kanaknya akan ke gereja tiga kali seminggu.

Namun pada usia 14 tahun, Suhaib mula hilang minat terhadap agamanya sendiri yang beliau sifatkan akibat krisis kerohanian.

Atau sebenarnya disebabkan beliau mula terlibat dengan kumpulan remaja yang nakal lagi liar.

"Namun yang lebih hebatnya lagi, saya juga merupakan seorang Deejay Hip Hop dan sering merakamkan lagu dengan ramai artis ketika itu," katanya.

Namun melalui industri muzik itulah juga Suhaib mula diperkenalkan dengan Islam, iaitu ketika berusia 17 tahun apabila seorang kenalan dalam industri tersebut menghadiahkannya senaskhah al-Quran terjemahan.

"Sejak itu, al-Quran sedikit demi sedikit mula memberikan pengaruh cukup besar dalam hidup saya. Namun ketika itu saya semakin jauh terheret dalam kehidupan yang ganas akibat bergaul dengan kumpulan-kumpulan remaja liar," katanya.

Sehinggalah pada suatu hari, sebuah kereta peronda polis mengejar dan terpaksa beberapa kali menembak Suhaib yang memandu kereta atas jenayah berkumpulan yang mereka lakukan.

Walaupun terselamat namun kejadian ini menjadi satu siren amaran yang kuat kepada Suhaib untuk sedar sebelum segala-galanya terlambat.

"Saya benar-benar sedar sejak kejadian itu dan tidak ada cara atau jalan lain kecuali memeluk Islam bagi memastikan saya tidak lagi terjerumus dalam kancah jenayah," katanya yang akhirnya memeluk Islam pada tahun 1992.

Islam benar-benar memberikan pengaruh yang sangat besar dalam hidup Suhaib yang antara lain menuntut umatnya supaya menjadi seorang yang berilmu.

Maka Suhaib melanjutkan pengajian di University Of Central, Oklahoma dan akhirnya membawa pulang segulung ijazah sarjana muda dalam bidang pendidikan.

Namun tidak sahaja beliau belajar di universiti bagi melengkapkan keperluan pendidikan rasmi, bagi yang tidak rasmi Suhaib belajar mengenai Islam dan bahasa Arab secara persendirian dengan seorang ulama dari Senegal.

Ini melayakkan Suhaib akhirnya dilantik menjadi imam di pusat komuniti Islam yang dikenali sebagai The Islamic Society of Greater Oklahoma City.

Daripada seorang yang dahulu dunianya agak 'hitam', Suhaib benar-benar mengalami transformasi besar dalam hidupnya apabila secara rasmi bertugas sebagai seorang mursyid atau guru untuk sebuah sekolah Islam di bandar Oklahoma, iaitu Mercy School.

Ini diikuti pada 2004, beliau bersama anak isteri berhijrah ke Kaherah, Mesir untuk melanjutkan pengajian ke sebuah pusat pengajian terkemuka Islam di dunia, iaitu Universiti Al-Azhar.

Pengendali laman web yang sangat menarik untuk dilayari ini iaitu Suhaib Webb - Your Virtual Mosque, Suhaib turut terlibat secara aktif dalam dunia dakwah. Namun tidak sahaja untuk tujuan menyebarkan Islam.

Kerana apa yang lebih penting, untuk menjadi jambatan yang dapat menghubungkan antara Islam dan Barat yang selama ini begitu diuji oleh pelbagai isu dan kejadian yang tidak disenangi oleh semua.

Suhaib juga menjadi penggerak sayap belia untuk Muslim American Society dan kini merupakan tenaga pengajar untuk Al Maghrib Institute, sebuah universiti maya yang beroperasi 24 jam di AS, United Kingdom dan baru-baru ini membuka cawangannya di Malaysia.

Selasa, 1 Februari 2011

Orang takwa tempatnya syurga

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SETELAH Allah SWT menjelaskan adanya pelbagai bentuk usaha manusia dan menunjukkan bahawa orang yang berbuat baik akan dibimbing kepada perbuatan-perbuatan baik, dan orang yang berbuat buruk akan Allah SWT mudahkannya berbuat nista.

Lalu disusuli dengan keterangan bahawa Dia melarang para hamba-Nya mengutarakan sesuatu yang dapat membuka keaiban-keaiban yang sebelumnya dan menunjukkan jalan yang benar kepada semua manusia.

Barang siapa yang ingin mendapat kebaikan, pasti dia akan selamat dan beruntung. Akan tetapi, sesiapa yang meniti jalan yang sesat maka dia pasti jatuh ke dalam lembah kebinasaan.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya tanggungan Kamilah memberi hidayah petunjuk (tentang yang benar dan yang salah).

Ibn Jauzi berkata: Atas Kami menerangkan jalan hidayat daripada jalan kesesatan.

Syed Qutub menambah: Sentuhan yang kedua adalah penjelasan yang tegas tentang hakikat kuatkuasa Allah yang mengepung seluruh manusia hingga tiada tempat perlindungan selain dari-Nya.

Firman Allah SWT: Dan sesungguhnya Kamilah yang menguasai hari akhirat dan alam dunia. Syed Qutub berkata: Oleh itu, ke mana lagi orang yang ingin pergi jauh dari Allah? Dan sebagai hasil dari pernyataan bahawa Allah meletakkan ke atas diri-Nya tugas menjelaskan hidayat kepada para hamba-Nya, juga pernyataan bahawa Dialah yang memiliki negeri akhirat dan alam dunia selaku dua negeri untuk menerima balasan dan untuk beramal, Allah mengingatkan mereka dengan keseksaan api neraka.

Firman Allah SWT: Maka (serentak dengan memberi hidayah petunjuk) Aku juga telah memberi amaran mengingatkan kamu akan api neraka yang marak menjulang. Yang tidak akan menderita bakarannya melainkan orang yang sungguh celaka, yang telah mendustakan (kebenaran) dan berpaling ingkar.

Al-Maraghi berkata: Sesungguhnya kerana rahmat Ilahi kepadamu sekalian dan pengetahuan Kami yang sempurna tentang kemaslahatan-kemaslahatanmu, Kami telah mengurniakan hidayah kepadamu.

Justeru, Kami mengingatkan kamu tentang api neraka yang menyala-nyala. Di situ akan diseksa orang yang mendustakan ayat-ayat yang dibawa oleh Rasulullah SAW daripada Tuhannya, orang yang enggan untuk mengikut syariat-syariat-Nya dan berpaling daripada kebenaran serta tidak kembali kepada-Nya dengan bertaubat daripada dosa-dosa.

Firman Allah SWT: Dan (sebaliknya) akan dijauhkan (azab neraka) itu daripada orang yang sungguh bertakwa.

Ibn Kathir berkata: Akan dijauhkan dari api neraka orang yang benar-benar bertaqwa dan orang yang menjaga maruah dirinya. Kemudian Allah menafsirkan ayat ini dengan ayat selepas itu.

Firman Allah SWT: Yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan harta bendanya. Yakni membelanjakan hartanya dalam ketaatan kepada Tuhan untuk mensucikan diri, harta dan apa yang dianugerahkan Allah kepadanya sama ada berkaitan agama atau dunia.

Syed Qutub berkata: Iaitu manusia yang membelanjakan hartanya ke jalan Allah untuk membersihkan dirinya bukan kerana riak dan bukan kerana bermegah-megah dan mendabik dada.

Manusia yang mengorbankan hartanya dengan sukarela bukan kerana membalas budi, bukan kerana menuntut terima kasih orang, malah semata-mata ikhlas kerana Allah Tuhannya Yang Maha Tinggi.

Firman Allah SWT: Sedang ia tidak menanggung budi sesiapapun, yang patut dibalas. Al-Alusi berkata: Ayat ini semata-mata untuk mensucikan kerana Allah dan tiada suatu pun di sisinya nikmat yang mungkin dibalas kerana besar dan banyaknya nikmat Allah terhadap manusia.

Al-Maraghi berkata: Dengan mendermakan hartanya itu, dia tidak bermaksud untuk membalas baik jasa orang yang pernah berbuat baik kepadanya atau rasa baik yang pernah diberikan kepadanya.

Firman Allah SWT: Hanyalah mengharapkan keredaan Tuhannya yang Maha Tinggi. Dan demi sesungguhnya, ia tetap akan berpuas hati (pada Hari Akhirat, dengan mendapat segala yang diharapkannya).

Ibn Jauzi berkata: Melainkan mencari dan menuntut pahala daripada Tuhannya dengan kurniaan syurga daripada pahala Allah SWT tersebut.

Ibn Kathir pula berpendapat: Kerana keinginan yang bersungguh untuk melihat Tuhan di hari akhirat dan mencapai syurga. Begitu juga, Allah pasti meredai orang yang mempunyai sifat yang baik.

Syed Qutub berkata: Apakah yang ditunggu-tunggu dan diharapkan oleh insan yang bertakwa dan berkorban sedemikian rupa? Balasan yang ditunjukkan oleh al-Quran kepada orang-orang mukmin itu amat menakjubkan, amat memeranjatkan dan luar biasa.

Itulah kerelaan dan kepuasan hati yang mencurah di dalam hati orang yang bertakwa. Itulah kepuasan yang menyelubungi jiwanya dan seluruh anggotanya.

Itulah kerelaan yang menyerapi seluruh entitinya dan membasahi hidupnya. Itulah balasan dan nikmat yang paling agung.

Cari Blog Ini