|
|
Booth berkata, perasaan itu muncul ketika beliau sedang berjalan-jalan di kawasan hutan berhampiran rumahnya, selepas keluarganya menghadapi pelbagai tragedi termasuk suaminya koma setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Menceritakan pengalamannya dalam syarahan bertajuk, Perjalananku Menuju Islam di hadapan 300 tetamu di sini, malam ini, Booth berkata, segalanya bermula ketika beliau menemu bual penjaga Masjid Al-Aqsa pada 2007 di Copenhagen, Denmark.
"Pada hari yang berkenaan, saya berasa amat tenteram, dan saya seakan memberi sepenuh perhatian kepada apa yang dipertuturkan oleh lelaki yang berada di hadapan saya itu, walaupun saya tidak memahaminya," katanya yang pernah bertugas untuk Sky News, BBC One dan BBC News 24 di United Kingdom (UK).
Perasaan itu, katanya, berterusan apabila beliau melalui banyak pengalaman luar biasa ketika berada di Iran atas tujuan kerja pada tahun yang sama.
Booth yang juga adik ipar bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair berkata, beliau akhirnya menyedari perasaan yang menyelubunginya itu adalah hidayah dari Allah SWT yang membawanya mengenali agama paling suci di dunia.
Mengimbau kenangan ketika bekerja di Gaza pada 2005, beliau berkata, masyarakat Islam di sana adalah golongan paling positif yang pernah dikenalinya, sekalipun mereka sering dikaitkan dengan label negatif termasuk keganasan.
"Sebelum tiba di sana, saya berasa sungguh takut untuk ke tempat yang dilabel sebagai ganas dengan penduduknya meletupkan diri mereka dan memegang senapang sambil menjerit Allahuakhbar.
"Tapi tanggapan pertama saya terhadap mereka apabila tiba di sana adalah sangat positif. Mereka menyambut baik kedatangan saya dan menerima saya seperti anggota keluarga sekalipun saya orang Barat," katanya.
Ketika sesi dialog selepas itu, Booth menggesa masyarakat Islam agar berpegang teguh kepada keyakinan mereka dan tidak tergugat walaupun tidak diterima oleh masyarakat sekeliling.
"Anda harus melaungkan sekuat hati bahawa Islam adalah agama terbaik di dunia ini dan agama ini tidak menggalakkan keganasan. Islam penuh dengan kasih sayang terhadap saudara seagamanya," katanya.
Booth juga merupakan aktivis yang banyak membantu masyarakat Palestin serta pernah ditahan di Gaza oleh regim Israel yang tidak mahu beliau pulang ke UK pada 2005. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan