KEPELBAGAIAN pemberian Allah kepada manusia berbeza supaya wujud perbezaan bakat, kebolehan, kecerdasan akal dan kepetahan lidah yang akhirnya saling melengkapi untuk memakmurkan alam ini. Manusia dipilih Allah SWT menjadi khalifah di bumi seterusnya diberi amanah menegakkan agama Allah, mengurus serta memakmurkan manusia dan alam tanpa mengabaikan suruhan serta larangan ditetapkan Allah SWT.
Kekuasaan yang dipinjamkan Allah SWT adalah sementara dan pemilik kekuasaan sebenar ialah Allah SWT seperti firman-Nya yang bermaksud: Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan sesetengah kamu atas sesetengahnya yang lain beberapa darjat. Kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksa-Nya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi maha Mengasihani. (Surah al-An'aam ayat: 165).
Anugerah kepemimpinan yang diberikan perlu dilaksanakan dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Pemimpin perlu adil, terbuka dan diletakkan kuasa pada tempatnya seperti maksud hadis: Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. (Riwayat Muslim).
Ya Allah! Siapa yang ditugaskan mengurus keperluan umat ini, lalu dia kasih kepada mereka maka sayangilah dia dan siapa yang rendah hati kepada mereka maka kasihahilah dia. (Hadis Riawayat An-Nasa'i)
Sebagai rakyat, kewajipan ketaatan amat ditekankan Allah SWT seperti firman-Nya: Wahai orang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisih) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada kitab Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya. Jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya. (surah al -Nisa' ayat 59).
Segala kuasa individu harus tidak melebihi kehendak agama dan perintah Allah SWT. Kepelbagaian pemberian Allah berbeza. Tidak semua manusia dilengkapi dengan kepetahan berkata-kata. Memiliki kuasa lidah untuk memutarbelitkan kenyataan yang salah menjadi benar, menegakkan benang yang basah dan kepantasan lidah dalam menimbulkan fitnah adalah penyalahgunaan kuasa anugerah pemberian kefasihan lidah.
Bagi mereka yang diberikan kuasa tangan tidak menyalahgunakan dengan menghasilkan tulisan makian, hasutan, lucah dan semberono yang merosakkan pemikiran rakyat dan akhirnya mewujudkan kebencian di kalangan umat Islam.
Kekayaan adalah kuasa yang paling berpengaruh. Golongan ini perlu menggunakan nikmat Allah SWT itu ke jalan yang mampu menyumbang kepada roh kekuatan Islam. Sumbangan kepada program berfaedah kepada agama lebih baik daripada menganjurkan aktiviti yang menyumbang kemungkaran. Bahkan tidak boleh menggunakan kekayaan untuk membeli manusia yang boleh dibayar harga dirinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan