Ma'lumat Ammah

Tahukah anda Peribahasa " Seperti Anjing dengan bayang-bayangnya" adalah peribahasa yang sebenarnya hanya diada-aakan oleh para pencinta bahasa. akan tetapi peri bahasa ini betul dan tepat kepada manusia yang ada impian yang telah tercapai tetapi bersifat tamak untuk mahu lagi impian yang kemungkinan tidak akan dia dapat.

Ahad, 25 Oktober 2009

Tamadun

Bukhara kota tamadun Islam

Oleh Ahmad Naim Tahir




Unggul sebagai pusat perdagangan dan perkembangan ilmu

TERLETAK di laluan sutera antara China dan Barat, Bukhara mengikut sejarahnya sudah sekian lama menjadi pusat perdagangan, akademik, kebudayaan dan keagamaan.

Dikenali juga sebagai Buhe atau Puhe dalam bahasa China Tang, ada sumber yang berhujah nama Bukhara mungkin berasal daripada bahasa Tajik Soghdian yang bermaksud Bumi Bertuah.


Namun ada juga sumber mendakwa asal usul nama wilayah itu daripada perkataan Sanskrit, iaitu Vihara atau kuil berlandaskan kepercayaan yang mengaitkannya dengan agama Buddha sebelum kedatangan Islam ke wilayah itu.

Ada juga mendakwa asal nama wilayah ini adalah daripada bahasa Mongol iaitu Bukhar yang membawa maksud lautan ilmu.

Bukhara ialah bandar oasis purba yang sejak berkurun lama unggul sebagai pusat perdagangan dan perkembangan ilmu Islam sehingga digelar Bukhori-i-Sharif atau Bukhori Yang Suci.

Penduduk tempatan sedang menenun permaidani.

Pasukan tentera Islam pertama menjejakkan kaki di Bukhara ialah pada 674 Masihi di bawah pimpinan Ubaidillah bin Ziyad, tetapi pengaruh Islam benar-benar mendominasi wilayah itu pada 710 Masihi di bawah pimpinan Qutaiba bin Muslim.

Seabad selepas berlaku Perang Talas, Islam mulai mengukuh di wilayah ini dan pada 850 Masihi, Bukhara menjadi ibu kota Dinasti Samanid yang menghidupkan kembali bahasa dan budaya Iran di situ.

Sepanjang 150 tahun berkuasa, Dinasti Samanid bukan setakat menjadikan Bukhara sebagai pusat pemerintahan, tetapi juga pusat perdagangan yang menemukan pedagang dari Asia Barat dan Cina.

Kota itu kian berkembang dengan penghasilan kain sutera, tenunan kain kapas, permaidani, produk tembaga dan perhiasan dari emas serta perak, terkenal dengan buah-buahan serta menjadi pusat intelektual dunia Islam.

Tembok tinggalan silam di Bukhara.

Ada berpuluh monumen purba yang menjadi saksi akan kehebatan tamadun bandar itu, khususnya selepas bertapaknya Islam di wilayah berkenaan.

Menempatkan tinggalan sejarah dan seni bina mengagumkan, bandar ini antara segelintir tempat di Asia Tengah yang membolehkan seseorang itu merasai kehidupan tradisional rantau berkenaan.

Selepas dikuasai Arab, Bukhara ditawan puak Qarakhanid dan Tatar, manakala pada 1555, kota ini menjadi ibu negeri Uzbekistan sebelum ditawan pula Russia pada 1866.

Pada 1991, Uzbekistan mencapai kemerdekaan daripada Soviet Union dan serentak itu semakin bercambahlah madrasah di Bukhara.

Bagi umat Islam, kota ini pasti mengingatkan kita kepada Imam al-Bukhari yang dilahirkan dengan nama Abu Abdullah Muhammad bin Ismail Al Bukhari pada 13 Syawal 194 Hijrah atau 21 Julai 810.

Menjadi yatim sejak kecil, Imam al-Bukhari amat bijaksana dan mempunyai daya ingatan luar biasa kerana mampu menghafal hadis ketika berusia 10 tahun sehingga mendapat jolokan Amirul Mukminin fil Hadis.

Diceritakan, beliau yang turut menguasai ilmu tafsir dan fikah dengan baik menjadi mangsa fitnah dan diusir daripada tanah kelahirannya sehingga wafat di Khartang berdekatan Samarkand ketika berusia 62 tahun.

Pada era kegemilangannya, Bukhara adalah pusat tamadun Islam terbesar dan paling berpengaruh serta tempat lahirnya cendekiawan Islam terkemuka selain Imam al-Bukhari, iaitu Ibnu Sinna, al-Tarmizi dan ramai lagi.

Bandar ini juga terkenal dengan monumen bersejarah seperti Kubu Kota Ark, Madrasah Mir-i Arab, Chor Minar, Menara Kalyan atau disebut juga Menara Kolon serta Masjid Jumaat.

Kubu Kota Ark yang dikelilingi tembok setinggi 30 meter, dikatakan dibina pada kurun pertama dan pernah menjadi kediaman pemimpin Bukhara, tetapi hampir musnah apabila diserang dan dibom tentera Soviet pada 1920.

Selepas peperangan, kerja pemulihan kota serta kawasan kubu dilakukan dan kini dijadikan muzium, sekali gus membuka pintu rezeki buat penduduk tempatan yang menjual pelbagai jenis cenderahati.

Minaret Kalyan yang berusia 900 tahun setinggi 46 meter pula menjadi struktur paling menonjol selepas Kubu Kota Ark dengan keunikan reka bentuknya yang tersendiri.

Satu masa dulu, ia pernah berfungsi sebagai menara tinjau bagi mengawal keselamatan Bukhara dan turut menempatkan rumah api untuk memandu pedagang di Laluan Sutera.

Menara yang dibina pada 1127 ini dipenuhi ukiran ayat suci al-Quran dan mempunyai 14 lapisan lukisan geometri Islam, kekal utuh hingga kini yang dikatakan hasil campuran tanah liat dan susu unta dalam bahan binaannya.

INFO
Bukhara


  • Terletak di barat Uzbekistan,

  • Juga dieja Bukhoro atau Bokhara

  • Terkenal dengan jolokan Bandar Muzium Terbuka

  • Mereka yang mahu berkongsi pengalaman melancong ke luar negara, boleh menghantar rencana dan gambar ke bminggu@bharian.com.my atau melalui pos ke alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.
  • Pertanian dan Anda

    Vermikompos tingkat kesuburan tanah


    Vermikompos kaya dengan nutrien yang sesuai untuk tanaman.

    VERMIKOMPOS merupakan baja kompos yang terbentuk hasil daripada pemeliharaan cacing dalam kompos. Vermikompos mengandungi najis cacing yang bercampur dengan bahan-bahan organik yang mereput seperti jerami padi, rumput, dan lain-lain sisa bahan tanaman.

    Vermikompos mengandungi pelbagai unsur nutrien yang sangat sesuai untuk tanaman.

    Selain itu, ia juga membantu menguraikan sebatian kompleks kepada unsur yang boleh diambil oleh tanaman.

    Cara membuat vermikompos

    a. Bahan-bahan

    i. Jerami padi atau sisa bahan pertanian yang telah reput atau separuh reput.

    ii. Najis haiwan (tahi lembut) atau tahi ayam)

    iii. Cacing merah (cacing kompos)

    b. Cara membuat

    i. Sediakan tapak kompos dan bangsal untuk membuat vermikompos bagi melindungi daripada hujan dan panas.

    ii. Masukkan 300 kilogram (kg) jerami dan 100 kg tahi lembu ke dalam tapak kompos dan gaulkan.

    iii. Masukkan empat kg cacing merah (lebih kurang 10,000 ekor) ke dalam campuran jerami dan tutup dengan jerami atau guni

    iv. Lakukan penyiraman setiap dua hari sekali supaya campuran sentiasa dalam keadaan lembap.

    v. Pemantauan dan pengurusan yang sempurna hendaklah dilakukan bagi memastikan cacing berada dalam keadaan selesa dan tidak diganggu oleh musuh-musuh seperti tikus, semut dan burung.

    vi. Hasil vermikompos boleh diambil dalam masa sebulan.

    Pengutipan hasil

    Vermikompos boleh dituai selepas tiga atau mepat bulan. Vermikompos yang terhasil diasingkan dengan mengumpulkannya dalam satu bahagian dan bahan sisa tanaman bari ditempatkan di sebelahnya.

    Cacing-cacing akan berpindah dengan sendirinya ke bahan sisa tanaman baru. Vermikompos yang telah diasingkan ditapis sebelum dibungkus dan dijual atau digunakan.

    Kebaikan vermikompos

    i. Memperbaiki struktur tanah

    ii. Memperbaiki kandungan biologi tanah dengan penambahbaikan mikrorganisma, hormon dan juga enzim.

    iii. Membekalkan unsur-unsur yang diperlukan untuk pertumbuhan pokok.

    vi. Mengandungi humus yang berguna untuk meningkatkan kesuburan tanah.

    Sabtu, 10 Oktober 2009

    Manusia sering salah guna kuasa, abai tugas khalifah di bumi

    KEPELBAGAIAN pemberian Allah kepada manusia berbeza supaya wujud perbezaan bakat, kebolehan, kecerdasan akal dan kepetahan lidah yang akhirnya saling melengkapi untuk memakmurkan alam ini. Manusia dipilih Allah SWT menjadi khalifah di bumi seterusnya diberi amanah menegakkan agama Allah, mengurus serta memakmurkan manusia dan alam tanpa mengabaikan suruhan serta larangan ditetapkan Allah SWT.

    Kekuasaan yang dipinjamkan Allah SWT adalah sementara dan pemilik kekuasaan sebenar ialah Allah SWT seperti firman-Nya yang bermaksud: Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan sesetengah kamu atas sesetengahnya yang lain beberapa darjat. Kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksa-Nya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi maha Mengasihani. (Surah al-An'aam ayat: 165).

    Anugerah kepemimpinan yang diberikan perlu dilaksanakan dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Pemimpin perlu adil, terbuka dan diletakkan kuasa pada tempatnya seperti maksud hadis: Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. (Riwayat Muslim).

    Sebagai pemimpin yang diberikan amanah, sifat meletakkan kepentingan rakyat melebihi keutamaan sendiri selain rendah hati untuk duduk bersama rakyat sejajar dengan maksud hadis:

    Ya Allah! Siapa yang ditugaskan mengurus keperluan umat ini, lalu dia kasih kepada mereka maka sayangilah dia dan siapa yang rendah hati kepada mereka maka kasihahilah dia. (Hadis Riawayat An-Nasa'i)

    Sebagai rakyat, kewajipan ketaatan amat ditekankan Allah SWT seperti firman-Nya: Wahai orang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisih) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada kitab Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya. Jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya. (surah al -Nisa' ayat 59).

    Segala kuasa individu harus tidak melebihi kehendak agama dan perintah Allah SWT. Kepelbagaian pemberian Allah berbeza. Tidak semua manusia dilengkapi dengan kepetahan berkata-kata. Memiliki kuasa lidah untuk memutarbelitkan kenyataan yang salah menjadi benar, menegakkan benang yang basah dan kepantasan lidah dalam menimbulkan fitnah adalah penyalahgunaan kuasa anugerah pemberian kefasihan lidah.

    Bagi mereka yang diberikan kuasa tangan tidak menyalahgunakan dengan menghasilkan tulisan makian, hasutan, lucah dan semberono yang merosakkan pemikiran rakyat dan akhirnya mewujudkan kebencian di kalangan umat Islam.

    Kekayaan adalah kuasa yang paling berpengaruh. Golongan ini perlu menggunakan nikmat Allah SWT itu ke jalan yang mampu menyumbang kepada roh kekuatan Islam. Sumbangan kepada program berfaedah kepada agama lebih baik daripada menganjurkan aktiviti yang menyumbang kemungkaran. Bahkan tidak boleh menggunakan kekayaan untuk membeli manusia yang boleh dibayar harga dirinya.

    Cari Blog Ini