Ma'lumat Ammah

Tahukah anda Peribahasa " Seperti Anjing dengan bayang-bayangnya" adalah peribahasa yang sebenarnya hanya diada-aakan oleh para pencinta bahasa. akan tetapi peri bahasa ini betul dan tepat kepada manusia yang ada impian yang telah tercapai tetapi bersifat tamak untuk mahu lagi impian yang kemungkinan tidak akan dia dapat.

Jumaat, 22 Oktober 2010

Mengkaji bawa Ibrahim kepada Islam



apabila kita mula menghayati isi kandungan al Quran ia umpama penemuan pelbagai khazanah di dasar lautan. - Gambar hiasan

KETIKA hati dan mindanya bagai digegar oleh gempa yang kuat Ibrahim Khalil Philobustiba-tiba terdengar alunan bacaan al-Quran dari corong radio yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad). Telah diwahyukan kepadaku bahawa sesungguhnya satu rombongan jin telah mendengar (al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: Sesungguhnya kami telah mendengar al-Quran yang sungguh menakjubkan. Kitab yang memberi panduan ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya dan kami tidak sekali-kali akan menyekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami. (al-Jin: 1-2)

Diikuti ayat 13 dari surah yang sama:

Dan sesungguhnya kami ketika mendengar petunjuk (Al Quran) kami beriman kepadanya (dengan tidak bertangguh lagi). Sesiapa yang beriman kepada Tuhannya maka dia tidak akan merasa bimbang (mengenai pengurangan pahala amalnya yang baik) dan tidak pula takut diperlakukan secara zalim.

Apabila mendengarkan ayat-ayat itu, Ibrahim benar-benar terduduk, hatinya benar-benar terpana.

Seolah-olah ayat itu tepat ditujukan kepadanya. Pada malam itu beliau menghabiskan sepanjang malam di perpustakaan rumahnya dengan membaca al-Quran sehingga isterinya begitu hairan dengan perubahan yang ditunjukkan oleh suaminya itu.

Ibrahim terpaksa berhenti lama untuk memikirkan dan menyelami maksud di sebalik sepotong ayat al-Quran yang baginya menjadikannya bertambah kerdil: Sekiranya Kami menurunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk (tunduk) serta hancur berkecai kerana takut kepada Allah. Perumpamaan-perumpamaan ini Kami kemukakan kepada umat manusia supaya mereka memikirkannya." (al-Hasyr: 21)

Ibrahim tidak sahaja terpegun pada keajaiban pada surah al Hasy itu, malah maksud di sebalik ayat 82-84, Surah al-Maidah dan ayat 157-158 Surah al-A'raf juga menyebabkan beliau benar-benar tidak keruan.

"Pada malam itu juga saya muktamadkan sebuah keputusan dan keesokan awal-awal pagi saya memberitahu kepada isteri dan keempat-empat anak kami (tiga lelaki dan seorang perempuan) akan keputusan suami dan bapa mereka ini untuk memeluk Islam, tanpa ada syaknya lagi.

"Isteri tentu sahaja tidak dapat menerima kejutan yang seperti ini lalu dia terus mendapatkan bantuan dari seorang ketua paderi, Monsieur Shavits dari Switzerland seorang yang sangat licik dan cuba memesongkan saya kembali kepada Kristian.

"Apabila saya enggan kecuali tidak berganjak untuk berhenti sebagai paderi, Shavits terus menyebarkan kepada semua orang bahawa saya kini telah menjadi gila," katanya.

Sehinggalah Ibrahim kembali semula ke Kaherah dan beliau berkenalan dengan seorang profesor, Dr. Muhammad Abdul Moneim Al Jamal yang banyak membantu Ibrahim kerana menyangka Ibrahim adalah seorang Muslim.

"Saya terpaksa 'berbohong' bahawa saya sudah memeluk Islam sedangkan hakikatnya secara tidak rasmi saya masih belum memeluk agama itu," katanya.

Begitupun Dr. Muhammad telah menyerahkan satu tugas yang sangat menarik, iaitu meminta Ibrahim untuk menterjemahkan al-Quran ke bahasa Inggeris dengan tujuan untuk diterbitkan di Amerika Syarikat.

"Sebabnya, ketika itu masih terlalu kurang al-Quran terjemahan," jelas beliau.

Dr. Muhammad juga tahu bahawa Ibrahim sedang dalam usaha membuat kajian perbandingan antara al-Quran dengan Taurat dan Injil, lalu mereka bekerjasama dalam menyiapkan usaha-usaha terjemahan dan kajian tersebut. Malah, dia juga berjaya mendapatkan pekerjaan tetap buat Ibrahim di sebuah syarikat alat tulis, sekaligus merubah kehidupan Ibrahim sekeluarga kepada lebih baik.

"Isteri saya beranggapan bahawa niat saya untuk memeluk Islam hanya suam-suam kuku lebih-lebih lagi saya tidak menunjukkan sebarang krisis atau pertembungan antara dua agama tetapi saya sedar bahawa untuk memeluk Islam secara rasmi ini memerlukan jalan yang jauh dan penuh berliku," katanya.

Sehinggalah Ibrahim selesai membuat kajian perbandingan kitab-kitab di samping beliau semakin berjaya sehingga dia boleh membuka syarikat perniagaannya sendiri.

Ketika itulah Ibrahim benar-benar bersedia untuk mengisytiharkan keislaman dirinya. Tepat pada tarikh sambutan Hari Natal, 25 Disember 1959, Ibrahim mengirim telegram kepada Dr. Thompson, ketua Misi Kristian Amerika di Mesir bahawa beliau kini telah memeluk Islam.

Kemudian barulah dia mengaku di hadapan Dr. Muhammad yang dia sebenarnya baru memeluk Islam. Hal ini mengundang kejutan.

Sejurus Ibrahim memeluk Islam dengan nama Ibrahim Khalil Ahmad, maka bermulalah cabaran yang sebenar.

Rakan-rakan paderi yang lain mula melancarkan misi untuk 'menyelamatkan' akidah Ibrahim yang disifatkan sudah terpesong itu.

Tidak berjaya dengan kaedah memujuk, lalu mereka pun mengugut malah sehingga ke tahap membunuh dan mahu memisahkannya dengan anak-anak dan isteri.

Namun, Ibrahim berkata, isterinya berhak untuk tetap kekal dalam agama Kristian dan sekali-kali tidak akan memaksa untuk menurutinya memeluk Islam.

Lalu mereka akhirnya berlutut di hadapan Ibrahim, merayu buat kali terakhir supaya dia melupakan Islam. Bagaimanapun, Ibrahim tetap kental dengan pegangan akidah Islamnya.

Lalu beliau membacakan kepada mereka ayat 84, surah al-Maidah yang bermaksud: Mengapa kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran al-Quran yang sampai kepada kami, pada hal kami sangat mengharapkan agar Tuhan kami memasukkan kami (ke dalam syurga) bersama-sama orang yang soleh.

Saya katakan kepada mereka; Janganlah kamu menangis dan merayu di hadapanku kerana sepatutnya meratap malu terhadap Allah yang kebenaran mengenai-Nya telah kamu ketahui tetapi kamu dustai! Lalu mereka pun meninggalkan Ibrahim.

Kesemua anak-anak Ibrahim juga tanpa paksaan memeluk Islam (Isaac - Osman, Joseph - Yusuf, Samuel - Jamal, Majida - Najwa) tetapi tidak kepada isteri Ibrahim.

Selama enam tahun si isteri meninggalkannya sebelum kembali semula seperti satu keluarga.

"Isteri saya tetap kekal dengan agamanya kerana saya tidak mahu berlaku sebarang paksaan sehinggalah beliau sendiri secara ikhlas untuk memeluk Islam.

"Hakikatnya dia juga ingin menuruti jejak yang sama memeluk Islam tetapi bimbang penerimaan keluarganya tetapi beliau sebenarnya tidak ubah seperti umat Islam jadinya kerana dia turut berpuasa apabila kami berpuasa di bulan Ramadan," kata Ibrahim yang menunaikan haji pada tahun 1973 dan sepenuh masanya kini tertumpu hidupnya kepada dakwah Islamiah.

Rabu, 20 Oktober 2010

LAFAZ musytarak dalam usul fiqh

Oleh Wan Jemizan W. Deraman


ZAKAT adalah antara contoh lafaz musytarak kerana ia mempunyai makna daripada segi bahasa dan istilah. - gambar hiasan

Sekiranya kita mengamati dan menghayati isi kandungan al-Quran, kita akan menemui lafaz-lafaz yang mempunyai lebih dari satu makna. Lafaz-lafaz ini dikenali oleh ulama-ulama usul fiqh sebagai lafaz musytarak.

Lafaz musytarak adalah lafaz yang mempunyai dua maksud yang berbeza antara satu sama lain. Ia juga mungkin menunjukkan lebih dua maksud.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan terdapatnya kepelbagaian makna terhadap sesuatu lafaz dalam al-Quran dan Sunnah.

Faktor yang pertama adalah kerana wujudnya makna yang sebenar dan makna majaziy (kiasan atau perumpamaan).

Sesuatu perkataan atau lafaz itu digunakan dengan makna asalnya, tetapi akhirnya ia turut digunakan untuk tujuan majaziy.

Apabila makna majaziy ini sering digunakan, akhirnya ia akan mendorong masyarakat melazimi penggunaannya seolah makna majaziy tersebut adalah juga makna asal bagi lafaz berkenaan. Justeru, masyarakat akan menerima dua makna dari perkataan tersebut.

Faktor kedua adalah kerana perbezaan penggunaan terhadap bahasa Arab mengikut kabilah atau kaum-kaum tertentu.

Ia merujuk kepada kefahaman suku-suku bangsa Arab terhadap sesuatu lafaz. Di mana berkemungkinan lafaz tersebut difahami dan digunakan oleh sesuatu kabilah mengikut kebiasaan mereka dan sebaliknya digunakan oleh kabilah yang lain mengikut kefahaman dan kebiasaannya.

Suasana ini juga berlaku sekiranya kita mengkaji penggunaan bahasa Melayu yang mungkin mempunyai pemahaman yang berbeza mengikut negeri dan konteks penggunaan.

Faktor ketiga berlakunya lafaz musytarak adalah kerana sesuatu lafaz itu mempunyai makna yang ditentukan dari segi bahasa dan istilah.

Biasanya ia berlaku dalam disiplin ilmu tertentu yang mana setiap perkataan mempunyai makna tersendiri dari sudut bahasa (lughawi) dan istilah (istilahi).

Sebagai contohnya, pengertian 'hukum' daripada sudut bahasa adalah pelaksanaan. Namun, dari sudut istilah adalah: "Perkara yang dituntut oleh kata-kata syarak yang bersangkutan dengan perbuatan orang yang bertanggungjawab, sama ada permintaan, memberi pilihan mahupun penetapan".

Demikian juga perkataan zakat yang mempunyai maknanya dari sudut bahasa dan istilah. Daripada sudut bahasa, zakat bermaksud kesuburan, kesucian dan pertambahan.

Daripada sudut istilah, zakat bermaksud "mengeluarkan sebahagian daripada harta tertentu untuk diberikan kepada orang yang berhak menerimanya apabila telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan".

Justeru, faktor-faktor inilah yang membentuk lafaz-lafaz dalam al-Quran dan hadis menjadi lafaz musytarak.

Inilah sebenarnya antara titik-tolak berlakunya ikhtilaf dan kepelbagaian pandangan di kalangan ulama. Mereka mempunyai pentafsiran yang berbeza terhadap kalimah dan lafaz yang terkandung dalam al-Quran.

Sebagai contoh, para ulama berselisih pandangan dalam menentukan makna yang dikehendaki oleh Allah SWT dalam ayat ke 228, Surah Al-Baqarah yang bermaksud: Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali quru'.

Kalimah quru' dalam ayat berkenaan adalah lafaz musytarak yang mengandungi dua makna iaitu suci dan haid.

Dalam mentafsirkan lafaz ini, menurut majoriti ulama mazhab Syafie dan beberapa ulama lain, makna yang dikehendaki melalui lafaz tersebut adalah suci.

Ulama mazhab Hanafi dan beberapa ulama lain pula berpandangan bahawa makna yang dikehendaki dari lafaz quru' adalah haid. Kedua-dua pandangan ini mempunyai hujah dan alasan masing-masing.

Oleh kerana lafaz musytarak mempunyai pelbagai maksud, maka persoalannya adakah kita dibenarkan untuk menggunakan salah satu daripadanya atau boleh untuk menghimpunkan makna-makna berkenaan.

Khamis, 14 Oktober 2010

Perintah menutup aurat pikat Franklin


Sudah menjadi pemandangan biasa apabila warga Barat berkulit putih semakin ramai memilih untuk menganut Islam walaupun sering dipandang negatif oleh kebanyakan warga Barat itu sendiri. - Gambar hiasan

DALAM usia yang sangat muda, Franklin Isa-Ali Taveras II berbangga kerana menjadi seorang mubaligh Kristian yang disegani kawan dan rakan.

Oleh kerana di kolejnya ramai yang menganut pelbagai agama malah tidak kurang yang atheis, semua itu memberikan kesempatan kepadanya untuk menyebarkan Kristian.

"Namun apabila berhadapan dengan mereka yang menganut agama lain selain Kristian, memerlukan saya mengenali agama-agama tersebut, sama ada Hindu, Buddha mahupun Islam," kata Franklin.

Franklin 25, anak kelahiran Queens, New York, berbangsa campuran Dominica dan Puerto Rico, membuka segala pintu mindanya untuk mengenali Islam walaupun dengan niat yang agak serong.

Namun yang berlaku adalah sebaliknya. Minda yang terbuka itu telah menyebabkan beliau mula menerima Islam.

"Tidak sekadar minda malah hati saya mula tertarik terhadap Islam, kerana apabila kita membaca, terutamanya al-Quran, semua persoalan terjawab dalam kitab itu tanpa sebarang tabir yang menghalang. Kita seolah-olah dapat berbicara terus, bersoal jawab dengan tuhan.

"Malah saya sangat setuju apabila Islam meminta agar kaum wanita menutup sebahagian besar tubuh badan mereka. Tahu sahajalah di New York ini, kebanyakan wanitanya seolah-olah sedang mengiklankan diri mereka sendiri bagai zagat (terlalu menarik untuk seks) kepada kaum lelaki," katanya.

Tetapi seorang teman Kristiannya, Miguel mengingatkan semula Franklin mengenai tuhannya, tuhan yang selama ini dipuja, disembah dan patuh terhadapnya.

"Saya terpaksa bersetuju dengan Miguel kerana walaupun Islam itu mungkin agama yang benar berbanding Kristian tetapi dengan memeluk agama itu akan menyebabkan saya melupakan Jesus.

"Saya tidak mahu kehilangan Jesus dalam hidup saya," kata Franklin.

Sebagai jalan untuk Franklin keluar daripada persoalan yang rumit ini dia terus memohon dan berdoa kepada tuhan.

"Selama dua minggu saya berdoa dan terus berdoa siang dan malam. Akhirnya saya berasa agak pelik apabila saya banyak persoalan mula timbul," katanya.

Namun yang agak pahitnya kini, sejak dari itu juga Franklin mula kehilangan kawan yang seagama dengannya kerana beliau sering dilihat bersama al-Quran.

"Ini menyebabkan mereka merasa tidak senang dan berkata tidak lagi mahu berkawan dengan saya yang mula menyembah agama syaitan," katanya.

Namun kehilangan kawan itu menyebabkan Franklin semakin kuat mempelajari Islam.

"Saya sedar tidak ada sesiapa yang dapat membantu saya ketika ini kecuali, tuhan. Lalu saya memohon kepada-NYA. Tolong tunjukkan kepadaku, agama manakah yang benar," katanya.

Cari Blog Ini