Ma'lumat Ammah

Tahukah anda Peribahasa " Seperti Anjing dengan bayang-bayangnya" adalah peribahasa yang sebenarnya hanya diada-aakan oleh para pencinta bahasa. akan tetapi peri bahasa ini betul dan tepat kepada manusia yang ada impian yang telah tercapai tetapi bersifat tamak untuk mahu lagi impian yang kemungkinan tidak akan dia dapat.

Sabtu, 25 September 2010

Sejarah Yahudi di Madinah

Susunan SITI AINIZA KAMSARI


Bangsa Arab dan bangsa Yahudi masing-masing masih menyimpan perasaan curiga mencurigai sehingga hari ini. - Gambar hiasan

SEJARAH memberikan kita fakta bahawa Nabi Muhammad SAW, satu-satunya pemimpin yang berjaya menyatupadukan masyarakat majmuk antara kaum Arab dan Yahudi di Madinah.

Namun tugas itu sebenarnya bukan satu kisah kejayaan yang dicipta dalam masa sehari atau sebulan tetapi sepanjang masa.

Baginda sentiasa berusaha untuk menyatupadukan kedua-dua kaum itu supaya dapat hidup bersama dalam sebuah negara dan ia sangat sukar untuk dilakukan kerana setiap kaum itu mempunyai pelbagai kerenah dan tabiat-tabiat yang sukar untuk dikikis demi untuk hidup bersatu.

Tetapi dalam ruangan kali ini, mungkin kita perlu mengetahui dengan lebih jelas mengenai sejarah kedatangan Yahudi ke Yathrib atau Madinah.

Ini sebagaimana yang diceritakan oleh Mubarakfuri dalam buku Sirah Nabawiyyah yang menjadi rujukan utama untuk ruangan ini.

Mubarakfuri meletakkan kaum Yahudi Madinah sebagai kelompok kaum ketiga yang menetap di bandar itu.

Iaitu selepas kelompok bangsa Arab Muhajirin (penduduk Arab beragama Islam yang berhijrah dari Mekkah) dan kelompok bangsa Arab Ansar (penduduk Arab, penduduk asal Yathrib).

Pada asalnya orang Yahudi datang atau berhijrah ke Hijaz atau Semenanjung Arab semasa zaman penindasan oleh kerajaan Asyria dan Rom dahulu kala.

Pada hakikatnya mereka lebih tepat dikenali sebagai bangsa Ibrani dan setelah berada di Hijaz mereka mula melalui cara kehidupan seperti orang Arab dari aspek pakaian, bahasa dan peradaban.

Sehinggakan nama-nama kabilah dan individu mereka turut menggunakan bahasa Arab. Akhirnya mereka dapat menjalin hubungan perkahwinan dan persemendaan dengan bangsa Arab.

Akan tetapi mereka sangat berpegang dengan dengan keagungan sebagai bangsa Yahudi yang menyebabkan mereka tetap sombong dan bangga diri sebagai bangsa tersebut.

Iaitu fakta mengenai bangsa Yahudi yang tidak akan berubah yang sehingga hari ini menjadi identiti bangsa itu.

Justeru, mereka tidak menyerap ke dalam kehidupan seperti orang Arab secara total.

Ini kerana mereka menganggap bangsa Arab sebagai sangat lekeh sehingga mereka menggelarkan bangsa itu sebagai "masyarakat Ummi" yang bererti primitif dan sangat ketinggalan.

Malah lebih teruk lagi mereka turut menganggap bahawa harta benda orang Arab adalah harus untuk mereka. Atau lain perkataan boleh dirampas sesuka hati atau boleh mendapatkannya dengan apa cara sekalipun.

Ini sebagaimana yang diakui sebagaimana yang tercatat dalam al Quran yang bermaksud: "Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang ummi (Al Imran ayat 75)."

Sebagaimana yang dipertahankan oleh Yahudi sehingga hari ini, bangsa Yahudi di Tanah Arab ketika itu juga tidak mempunyai kemahuan atau minat untuk menyebarkan agama yang menjadi pegangan dan kepercayaan mereka selama ini.

Al Mubarakfuri menyebutkan paling besar bekalan agama yang bangsa itu miliki hanyalah berkisar dalam konteks al-Fa'il (sempena baik), ilmu hitam atau sihir, meniup tali, jampi mentera dan seumpamanya.

Disebabkan itu mereka beranggapan dan mendabik dada bahawa merekalah, bangsa yang paling memiliki ilmu, kemuliaan, kepimpinan dan kerohanian yang tinggi.

Maka atas sebab itukah Yahudi sebagaimana hari ini adalah bangsa yang sangat mahir dalam soal pekerjaan dan kehidupan.

Tetapi sebagaimana sejak zaman sebelum kedatangan Islam itu lagi, bangsa Yahudi diakui sangat mahir dalam soal pekerjaan terutamanya perniagaan dan kehidupan mereka yang lain-lainnya.

Mereka menguasai perniagaan terutamanya bijirin, kurma, minuman arak dan tekstil atau pakaian.

Mereka sangat giat melakukan perniagaan dengan mampu mengimport masuk pakaian, biji-bijian dan arak selain mengeksport buah-buah kurma yang bermutu tinggi dari Yathrib.

Maka dalam dunia perniagaan bangsa Yahudi akan mengambil keuntungan daripada para peniaga dan pembeli terutama dari bangsa Arab secara berlipat kali ganda sebagai satu cara penindasan dari aspek ekonomi.

Bagi memburukkan lagi keadaan bangsa Yahudi mempelopori dan menjuarai perniagaan berasaskan riba.

Antara caranya, mereka memberikan kepada para pembesar-pembesar Arab dengan pinjaman wang dan harta benda supaya para ketua terutamanya ketua-ketua kabilah Arab tersebut mendapat sanjungan, penghormatan dan kemuliaan terutama di kalangan penyair dan mendapat nama baik di kalangan para pengikut.

Rasulullah kasihkan surah al-A'la

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Syed Qutub berkata, dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dari al-Imam Ali Karamallahu Wajhahu, bahawa Rasulullah SAW kasihkan surah al-A'la.

Tersebut di dalam Sahih Muslim bahawa baginda membaca surah al-A'la dan al-Ghasiyah dalam solat dua hari raya dan hari Jumaat.

Baginda juga membaca kedua-dua surah itu untuk sembahyang hari raya dan sembahyang Jumaat yang jatuh pada hari Jumaat.

Memang wajar bagi Rasulullah menyintai surah ini, kerana surah ini menukarkan seluruh alam menjadi sebuah tempat ibadat di mana bergema ucapan tasbih dan tahmid di seluruh sudutnya, dan menjadi sebuah tempat pameran yang penuh dengan kejadian-kejadian yang mengilhamkan tasbih dan tahmid.

Firman Allah SWT: Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu yang Maha tinggi (dari segala sifat-sifat kekurangan).

Al-Maraghi berkata: Sucikanlah nama Tuhanmu dari sesuatu yang tidak layak dengan keagungan-Nya, sama ada tentang zat-Nya, sifat-sifat-Nya, perbuatan-Nya dan hukum-hukumnya.

Oleh sebab itu, janganlah kamu menyebutnya kalau tidak untuk mengagungkan-Nya, dan jangan kamu menggunakan nama-Nya kepada selain-Nya, dan jangan menganggap sifat-sifat-Nya sama dengan sifat-sifat yang selain-Nya.

Firman Allah SWT: Yang telah menciptakan (sekalian makhluk-Nya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya.

Ibn Kathir berkata: Allah SWT ciptakan makhluk dan menyamakannya dengan sebaik-baik kejadian dari segi bentuknya.

Firman Allah SWT: Dan yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhluk-Nya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaan-Nya).

Mujahid berkata: Allah memberi petunjuk kepada manusia sama ada untuk kecelakaan atau kebahagiaan yang dipilih oleh manusia begitu juga menunjuk haiwan ternakan untuk padang ragutnya.

Ayat ini sama seperti firman Allah SWT yang mengkhabarkan berkenaan perihal manusia yang berkata kepada Firaun.

Firman Allah SWT: Dan yang telah mengeluarkan tumbuh-tumbuhan untuk binatang-binatang ternak.

Al-Maraghi berkata: Dialah yang menumbuhkan segala macam tumbuh-tumbuhan untuk menjadi makanan haiwan.

Tidak ada tumbuh-tumbuhan yang tidak layak untuk dimakan oleh haiwan dan makhluk hidup yang lainnya.

Firman Allah SWT: Kemudian ia menjadikan (tumbuh-tumbuhan yang menghijau) itu kering (berubah warnanya) kehitam-hitaman.

Syed Qutub berkata: Tumbuh-tumbuhan itu mulanya tumbuh menghijau. Kemudian beransur-ansur layu kering hitam kekuning-kuningan. Semasa hijau ia boleh dimakan dan semasa kering hitam kekuningan juga boleh dimakan.

Dalam semua keadaan, tumbuh-tumbuhan itu berguna belaka kepada kehidupan mengikut perencanaan Allah yang telah menjadikan makhluk-Nya dengan ciptaan yang sempurna dengan menentukan tugas dan matlamat masing-masing serta memberi bimbingan kepadanya.

Penutup

Al-Maraghi berkata: Kita diperintahkan agar mengenal Allah SWT Yang Maha Agung, bahawa Dialah Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana yang mana dengan sifat-sifat-Nya itu kita dapat menyaksikan bukti-bukti ciptaan-Nya.

Juga kita diperintahkan untuk memberikan nama-nama yang tidak layak, sebagaimana dilakukan oleh golongan yang ingkar, yang bertuhankan selain Allah SWT sebagai sekutunya atau menyifatkan Allah SWT dengan sifat-sifat yang serupa dengan makhluk-Nya.

Kita juga diperintahkan untuk menyucikan sifat Allah SWT bukan zat-Nya, adalah untuk membimbing kita bahawa tingkat kemampuan kita yang paling tinggi hanyalah mengenal sifat-sifat-Nya, yang dapat menunjukkan adanya Zat-Nya, Zat-Nya sendiri jauh lebih tinggi daripada yang dapat dijangkau oleh akal kita.

Justeru, cukuplah kita memerhatikan sifat-sifatnya yang dapat menunjukkan kewujudan Zat-Nya.

Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa mempelajari ilmu Allah sehingga akhirnya menatijahkan ma'rifah kepada-Nya. Amin.

Cari Blog Ini