Ma'lumat Ammah

Tahukah anda Peribahasa " Seperti Anjing dengan bayang-bayangnya" adalah peribahasa yang sebenarnya hanya diada-aakan oleh para pencinta bahasa. akan tetapi peri bahasa ini betul dan tepat kepada manusia yang ada impian yang telah tercapai tetapi bersifat tamak untuk mahu lagi impian yang kemungkinan tidak akan dia dapat.

Jumaat, 20 Ogos 2010

Hamza cendekiawan Muslim berpengaruh


Sheikh Hamza Yusuf Hanson merupakan pengasas Kolej Zaituna yang ditubuhkan pada 1996 di Berkeley California, Amerika Syarikat.


SHEIKH Hamza Yusuf, 50, merupakan seorang ulama kulit putih yang sewajarnya dikenali oleh seluruh umat Islam.

Mengapa pula? Sedangkan beliau yang lahir sebagai bukan Islam, mampu akhirnya menjadi seorang yang memperjuangkan Islam, sangat mencintai Islam, yang sanggup melakukan apa sahaja untuk Islam, yang hidup dan matinya kerana Islam, bagaimana pula kita yang dilahirkan sebagai Islam, yang sebaik sahaja keluar dari alam rahim, telinga kita diperdengarkan azan dan iqamat?

Begitupun kisah hidupnya banyak menyisipkan pengajaran buat kita semua.

Malah sebaik berlakunya tragedi tragedi 11 September 2001, Hamza atau nama sebelum Islamnya, Mark Hanson adalah orang Islam pertama yang segera ke Rumah Putih bertemu Presiden George W.Bush.

Semata-mata bagi memastikan presiden itu tidak mempunyai sebarang ilham yang bukan-bukan untuk terus menuduh umat Islam yang bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Hamza seperti yang dilaporkan dalam laman web The Guardian, begitu bertegas di hadapan Bush, apabila pentadbirannya melancarkan satu Operasi yang dikenali Operation Infinate Justice ekoran serangan itu.

Dalam operasi itu Bush menggunakan terminologi militer yang dikaitkan secara langsung dengan umat Islam.

Tentu sahaja terminologi itu sangat menyakitkan hati umat Islam tanpa mengira bangsa dan warna kulit, termasuk Hamza sendiri.

"Saya amat kesal dengan polisi Pentagon yang langsung tidak memikirkan perasaan umat Islam yang turut kesal dengan kejadian itu.

"Tetapi mungkin kerana Pentagon kurang memahami masalah ini kerana tidak mempunyai kakitangan dan pegawai yang memahami isu-isu agama," kata Hamza.

Hamza juga dikenali sebagai Imam Hamza Yusuf, sememangnya bukan sebarangan orang di AS.

Di AS, beliau merupakan seorang cendekiawan dan tokoh Muslim yang sangat disegani termasuk peranannya sebagai sumber rujukan atau ulama itu sendiri.

Tidak sahaja mengukir nama dalam bidang agama, malah dalam dunia pendidikan dan sosial kemasyarakatan, beliau begitu dikenali oleh seluruh masyarakat AS. Inilah yang membuatkan pemerintah AS memilihnya untuk mewakili umat Islam dan bertemu dengan Presiden AS bagi perkara-perkara berkaitan dengan Islam.

Beliau berpendapat, serangan yang turut menghancur dan merosakkan imej AS itu tidak wajar diperangi semula atas nama agama dan kekerasan.

Malah kepada umat Islam itu sendiri, beliau meminta agar mereka memahami Islam dengan baik, kembali kepada akidah yang murni serta menjauhi jalan-jalan kekerasan dan kebencian terhadap mana-mana pihak.

"Sekalipun kita menetap di negara kafir (non-Muslim) yang kerap mengalami diskriminasi tetapi kita mesti tunjukkan bahawa Islam itu adalah agama yang ramah, bertoleransi dan sangat cintakan keamanan dan kedamaian," katanya.

Dari aspek keluarga, Hamza dilahirkan daripada keluarga Kristian (datuk sebelah ibunya merupakan Presiden Gereja Ortodoks di Marin County) yang terkenal dengan latar belakang akademik yang kuat namun bersikap sangat terbuka.

Ini apabila kedua-dua ibu bapanya merupakan professor di bidang falsafah, maka tidak menghairankan jika Hamza sendiri seorang yang berfikiran kritis, berpandangan jauh, matang dan sangat cintakan ilmu.

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

BERATNYA AZAB ALLAH

SHEIKH al-Maraghi berkata: "Allah SWT telah memberi amaran kepada orang kafir yang menindas kaum yang beriman sama ada lelaki mahupun perempuan dan memberikan galakan kepada orang yang beriman dan melakukan amal soleh serta melukiskan pahala balasan amalannya yang disediakan untuknya.

Keterangan yang menunjukkan kesempurnaan kekuasaan-Nya terhadap semuanya itu, agar menjadi penguat atas gambaran gertakan yang lalu. Seorang raja tidak akan besar dan hebat kekuasaannya melainkan dua faktor berikut:

* Sifat dermawan dan kemurahan hati yang sempurna.

* Angkatan perang yang kuat dan armada yang besar yang sanggup menentang musuhnya dan menyebabkan negara sekitarnya berasa gentar.

Ditulis oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Firman Allah SWT: Sesungguhnya azab Tuhanmu (terhadap orang-orang yang kufur ingkar) amatlah berat.

Ayat ini berisi gertakan terhadap golongan Quraisy dan pendukungnya, sebaliknya menjadi penawar kepada Rasulullah SAW dan pembelanya.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya Dialah yang menciptakan (sekalian makhluk) pada mulanya, dan yang mengembalikannya (hidup semula sesudah mati).

Syed Qutub berkata: "Ayat penamat ini merupakan penamat yang hakiki bagi perjuangan itu. Itulah hakikat daripada penjelasan yang pertama mengenai peristiwa parit api supaya hakikat ini tertanam di dalam hati kumpulan kecil orang-orang yang beriman di negeri Mekah pada masa itu. Juga tertanam dalam hati setiap yang beriman yang menghadapi penindasan di sepanjang abad.

Firman Allah SWT: Dan Dialah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Pengasih.

Ibnu Kathir berkata: "Yakni dengan kekuatan dan kekuasaan-Nya yang sempurna Dia memulakan penciptaan dan kemudian mengembalikannya lagi seperti sediakala tanpa ada yang menghalangi dan tidak pula mencegah.

Firman Allah SWT: Tuhan yang mempunyai Arasy yang tinggi kemuliaannya.

Ibnu Kathir berkata: "Iaitu mengampuni orang-orang yang bertaubat dan tunduk kepada-Nya, apa pun dosanya. Sedangkan mengenai al-Wadud, Ibnu Abbas dan juga lainnya mengatakan: "Iaitu yang penuh cinta dan kasih.

Firman Allah SWT: Yang berkuasa melakukan segala yang dikehendaki-Nya.

Syed Qutub berkata: "Inilah sifat Allah yang banyak menjadi kenyataan dan sentiasa bertindak. Dia mempunyai iradat yang bebas. Dia memilih apa yang disukai-Nya. Dia membuat apa yang dikehendaki-Nya. Dia selama-lamanya begitu dan itulah sifat-Nya. Sekali Dia mahukan orang-orang mukmin mencapai kemenangan di bumi ini kerana sesuatu hikmah yang dikehendaki-Nya, dan sekali pula Dia mahukan keimanan mengatasi malapetaka penindasan dan mahukan tubuh badan yang fana itu terkorban kerana sesuatu hikmat yang dikehendaki-Nya. Dan sekali pula Dia mahu bertindak terus membinasakan manusia-manusia yang zalim di bumi, dan sekali Dia mahu menangguhkan balasan terhadap mereka sehingga tiba Hari Kiamat yang dijanjikan itu kerana suatu hikmah yang tertentu yang direalitikan di dunia ini dan akhirat sana mengikut perencanaan-Nya yang tersusun.

Inilah sebahagian daripada tindakan Allah yang bebas mengikut kehendak dan iradat-Nya yang sesuai dengan peristiwa parit api dan sesuai dengan cerita kebinasaan kaum Firaun dan Thamud pada ayat akan datang.

Hakikat iradat dan kudrat Allah yang bebas di sebalik peristiwa-peristiwa, di sebalik kehidupan dan di sebalik alam itu akan terus bertindak di alam buana ini.

Rabu, 18 Ogos 2010

Kepentingan ilmu Usul Fiqh

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN


Kewajipan menunaikan zakat adalah perintah Allah SWT ke atas sekelian umat Islam.-Gambar hiasan


ILMU Usul Fiqh telah lama berkembang dalam dunia kesarjanaan Islam. Teori pembangunan Usul Fiqh telah bermula sejak kewafatan baginda Rasulullah SAW sehingga ke hari ini.

Ini kerana, semasa hayat baginda, tidak memerlukan kepada ilmu Usul Fiqh kerana memadai Rasulullah sebagai pemutus dalam segala permasalahan yang berlaku semasa itu.

Namun, setelah Rasulullah wafat, sahabat-sahabat perlu berijtihad dalam mengeluarkan hukum mengikut garis panduan yang telah diajar oleh Rasulullah semasa hayat baginda.

Didikan dan tunjuk ajar Rasulullah terhadap sahabat-sahabat untuk berijtihad dapat kita perhatikan melalui sebuah hadis tentang dialog Rasulullah dengan Muadz bin Jabal r.a: "Dari Muadz ibn Jabal r.a. bahawa Nabi SAW ketika mengutusnya ke Yaman, Nabi bertanya: "Bagaimana kamu jika dihadapkan permasalahan hukum? Dia berkata: "Saya berhukum dengan kitab Allah".

Nabi berkata: "Jika tidak terdapat dalam kitab Allah?" Dia berkata: "Saya berhukum dengan sunnah Rasulullah SAW". Nabi berkata: "Jika tidak terdapat dalam sunnah Rasul SAW?" Dia berkata: "Saya akan berijtihad dan tidak berlebih (dalam ijtihad)".

Maka Rasulullah SAW memukul ke dada Muadz dan berkata: "Segala puji bagi Allah yang telah sepakat dengan utusannya (Muadz) dengan apa yang diredai Rasulullah SAW." (riwayat al-Thabrani)

Melalui hadis tersebut, kita dapat memahami bahawa terdapat sahabat-sahabat yang diberikan mandat untuk berijtihad sewaktu hayat baginda lagi khususnya yang berada jauh daripada Nabi. Ini disebabkan ketinggian ilmu yang ada dan kesukaran untuk merujuk kepada baginda.

Justeru, selepas wafatnya nabi, para sahabat tidak memerlukan ilmu Usul Fiqh kerana jarak mereka yang hampir dengan zaman Rasulullah. Mereka juga memahami secara mendalam bahasa Arab serta mengetahui sebab nuzul Quran dan sebab wujud hadis.

Pada zaman tabi'in, telah mula perluasan kuasa kerajaan Islam. Masyarakat Islam mula dihantar untuk menjadi gabenor atau amir di negeri-negeri yang telah dibuka dalam melancarkan lagi proses berijtihad dalam membuat keputusan.

Namun, para tabi'in biasanya tidak mempunyai masalah untuk berijtihad kerana jarak masa mereka dengan Rasulullah tidak terlalu jauh. Mereka juga berguru dan meriwayatkan hadis-hadis daripada para sahabat.

Justeru, kefahaman mereka terhadap dalil-dalil yang terkandung dalam al-Quran atau hadis masih mendalam di samping kecekapan mereka dalam memahami bahasa Arab.

Keadaan itu berterusan sehingga zaman Tabi' Tabi'in. Pada zaman ini, berlakunya perluasan kuasa dengan lebih pesat lagi sehingga mereka yang dihantar ke negeri-negeri tersebut sukar untuk merujuk kepada ulama-ulama yang muktabar disebabkan mereka dipisahkan dengan jarak lokasi yang agak jauh. Maka pada waktu itu mereka memerlukan kepada kaedah tertentu untuk memudahkan mereka mencari penyelesaian kepada masalah-masalah yang berlaku terutamanya yang tidak disebut hukumnya dalam al-Quran dan hadis.

Menyedari tentang hakikat itulah, maka Imam Syafie atau nama sebenarnya Abu Abdullah Muhammad ibn Idris ibn Abas ibn Usman ibn Syafi' ibn 'Ubaid ibn Abdu Yazid ibn Hashim ibn Mutalib ibn Abdu Manaf (meninggal 820M) telah mengambil inisiatif menyusun ilmu Usul Fiqh sebagai disiplin ilmu yang tersendiri.

Dari usaha yang telah dibuat oleh beliau, maka terhasillah sebuah karya agung yang menjadi rujukan para ulama dalam berijtihad iaitu Al-Risalah.

Setelah itu, ilmu Usul Fiqh semakin berkembang dan menjadi satu kaedah yang membantu para ulama dalam membuat ketetapan hukum bagi sesuatu masalah yang berlaku di kalangan mereka. Ini untuk memastikan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh para ulama sejajar dengan maqasid Syariah iaitu untuk membuka maslahah (kebaikan) kepada manusia dan untuk menutup segala ruang kemudaratan (keburukan) daripada berlaku.

Bermula dari detik itulah, maka masyarakat awam mula berjinak dengan ilmu Usul Fiqh. Ia bukan lagi menjadi sebuah ilmu yang eksklusif untuk golongan yang bergelar ulama sahaja. Bahkan, ia dapat dihayati dan difahami oleh mereka yang mengkaji walaupun tidak mempunyai kelayakan untuk melakukan ijtihad.

Isnin, 16 Ogos 2010

Ramadhan : Rahsia disebalik Ramadhan

IBADAH puasa yang difardukan oleh Allah pada bulan Ramadan mempunyai hikmah dan rahsia yang tersendiri. Namun, adakah umat Islam kini benar-benar menghayati falsafah dan rahsia puasa Ramadan yang diwajibkan ini?

Jika umat Islam pada hari ini menghayati falsafah dan hikmah di sebalik kewajipan berpuasa, nescaya setiap individu Muslim akan membuat persediaan rapi menyambut kedatangan Ramadan. Mereka akan berlumba-lumba memanfaatkan Ramadan dengan sebaik mungkin, serta bulan ini akan menjadi bulan yang paling bermakna dalam hidupnya.

Hanya orang menghayati kelebihan Ramadan akan bersedia bila menjelangnya bulan yang mulia ini. Puasa Ramadan diwajibkan oleh Allah kepada umat Islam untuk melahirkan insan yang bertakwa sebagaimana yang dijelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 183.

Oleh itu, sewajarnya setiap individu Muslim mengambil peluang luas yang telah disediakan oleh Allah pada bulan ini untuk mendidik diri ke arah ketakwaan kepada Allah serta mendapat pengampunan daripada-Nya.

Untuk memastikan agar mendapat ketakwaan, seseorang itu hendaklah membuat persiapan awal untuk berpuasa dengan ‘cara yang sebenarnya’ sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam, iaitu dengan berpuasa secara khusus al-khusus seperti yang dijelaskan oleh Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali.

Puasa bukanlah setakat menahan perut daripada makan, minum dan melakukan hubungan seksual antara suami isteri pada siang hari semata-mata, akan tetapi puasa yang mempunyai kualiti ialah puasa yang menyeluruh, termasuk menjaga pancaindera serta hati nurani daripada terjebak dalam sebarang unsur maksiat.

Puasa sebeginilah yang akan menghasilkan ketakwaan kepada Allah. Sesuatu yang amat merugikan bagi sesiapa yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadan tetapi tidak sampai terampun dosa-dosanya.

Dalam kegembiraan menyambut puasa Ramadan, kita seharusnya memahami dengan jelas hakikat, rahsia dan falsafah puasa yang tersirat. Kefahaman ini bukan sahaja membantu kita menjalani ibadah, tetapi dapat menolong kita untuk menunaikan puasa dengan sempurna.

Ibadah puasa melatih manusia supaya bersabar menghadapi kesusahan atau bencana, penderitaan dan juga cabaran-cabaran hidup. Di samping itu, puasa juga dapat melatih manusia menjadi insan yang beramanah kerana tanpanya puasa akan menjadi batal dan tidak sempurna. Puasa juga dapat melahirkan perasaan insaf dan belas kasihan serta bertimbang rasa.

Hanya orang yang berpuasa dapat memahami atau mengetahui kesengsaraan orang miskin yang lapar dan dahaga. Melalui keinsafan ini, diharap seseorang Muslim itu sentiasa prihatin dan memberi bantuan serta sumbangan kepada golongan yang tidak berkemampuan.

Orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan kepada Allah, akan dapat membentuk jiwa yang bersih, dapat menahan nafsu daripada melakukan sifat-sifat tercela dan sebagainya.

Demikian juga dari sudut kesihatan. Puasa dapat merehatkan perut dan membetulkan alat penghadam, mengurangkan kegemukan serta menghilangkan lemak di badan yang boleh menjauhkan penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, lemah jantung dan sebagainya. Justeru, Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Berpuasalah, nescaya kamu akan sihat”.

Hadis ini memberi gambaran yang nyata pada diri kita akan hikmah di sebalik syariat berpuasa. Para pakar perubatan bersetuju bahawa kantung perut yang penuh disebabkan banyak makan adalah punca utama kepada bermacam-macam penyakit terutamanya kegemukan yang menyebabkan timbulnya pula penyakit lain.

Maka puasalah satu-satunya cara yang dapat memelihara anggota badan daripada semua penyakit kerana melaluinya unsur-unsur racun dalam makanan dapat dineutralkan setelah berpadu antara satu sama lain.

Sesungguhnya kesan lapar dalam perubatan adalah lebih baik daripada penggunaan ubat secara berterusan. Seorang pakar dari Barat menyatakan bahawa setiap orang perlu menjalani tempoh berpuasa walaupun tidak dikesan menghadapi sebarang penyakit. Ini kerana ia dapat membersihkan badan daripada racun-racun yang berkumpul dalamnya.

Dr. Hisyam Ibrahim aI-Khatib menjelaskan bahawa puasa juga memberi peluang kepada organ-organ di dalam tubuh badan untuk memperbetulkan semula sistem penghadaman. Pengkajian ini diteruskan apabila didapati punca berlakunya penyakit-penyakit adalah disebabkan oleh pengambilan makanan yang tidak terkawal atau lebih daripada kadar keperluan badan.

Amalan puasa yang disyariatkan oleh Allah terutamanya puasa Ramadan dapat menurunkan berat badan sehingga mencapai ke satu paras yang dikehendaki.

Jika ia diteruskan dengan pelaksanaan puasa sunat seperti berpuasa di bulan Rejab dan Syaaban seterusnya Isnin dan Khamis nescaya akan terpeliharalah tahap kesihatan seseorang bagi tempoh setahun.

Kesuburan lelaki

Pakar perubatan Islam iaitu Dr. Samir Abbas Malik Abdul Aziz dari Arab Saudi membuat eksperimen terhadap 21 penduduk tentang kesan puasa pada kesuburan lelaki.

Eksperimen ini membuktikan puasa adalah satu cara yang amat berkesan menghasilkan benih dan pertumbuhan kesuburan seperti mana berkesannya puasa dalam perkembangan bagi pertumbuhan badan seseorang. Daripada sudut kesuburan seorang wanita pula, puasa juga merupakan satu cara yang dapat mengurangkan kesan hormon broloktin yang menyebabkan kemandulan.

Jelasnya, puasa dapat merehatkan sistem tubuh dan dapat mengelakkan penyakit-penyakit seperti kencing manis dan kegendutan. Daripada sudut fizikalnya, puasa juga dapat merehatkan tubuh badan.

Secara tidak langsung, amalan-amalan buruk juga dapat dihakis sedikit demi sedikit. Contohnya membantu membasmi ketagihan merokok, dadah dan minuman keras yang boleh membawa kerosakan organ dalam badan.

Dua pengkaji Islam dari Syria dalam buku mereka yang berjudul al-Tib fi al-Quran al-Karim menerangkan kepada kita akan faedah berpuasa:

  • Memberi peluang kepada organ-organ dalam badan mengemaskinikan sistem pemprosesan supaya berfungsi semula dengan berkesan.
  • Merehatkan sistem penyahtinjaan daripada berfungsi berterusan.
  • Rasa lapar dapat membangkitkan semula selera makan selepas berpuasa serta mendatangkan kecergasan badan dan kecerdasan minda

Ditulis oleh MOHD. SUKKI OTHMAN
Pensyarah (Bahasa Arab) di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia.

Tazkirah Ramadhan

Apabila kamu letih untuk melakukan kebaikan, maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan terus kekal. dan sekiranya kamu berseronok dengan dosa maka keseronokan itu akan kekal dan dosa yang dilakukan akan terus kekal dan membelenggu orang yang melakukannya.

Pesanan daripada Khalifah ar-rabi' ( Saidina Ali Abi Talib )

Cari Blog Ini