Ma'lumat Ammah

Tahukah anda Peribahasa " Seperti Anjing dengan bayang-bayangnya" adalah peribahasa yang sebenarnya hanya diada-aakan oleh para pencinta bahasa. akan tetapi peri bahasa ini betul dan tepat kepada manusia yang ada impian yang telah tercapai tetapi bersifat tamak untuk mahu lagi impian yang kemungkinan tidak akan dia dapat.

Isnin, 29 Jun 2009

INDAHNYA ISLAM

Konflik bawa Deanna kepada Islam

AGAMA tidak pernah menjadi satu isu yang besar dalam hidup Deanna Beatty walaupun dibesarkan dalam keluarga Kristian di Colorado, Amerika Syarikat. Iaitu bapanya dibesarkan sebagai penganut Mormon, manakala si ibu memegang aliran Protestan.

Setiap hari Ahad, ibu bapa Deanna akan menghantar dan meninggalkan anak-anak mereka di gereja bagi mengikuti Pengajian Hari Ahad (Sunday School).

"Kami dikehendaki mengikuti kelas agama tetapi mereka sekadar menghantar kemudian pulang semula ke rumah," kata Deanna.

Namun apabila semakin dewasa, perasaan ingin tahu beliau mengenai ketuhanan semakin menebal di hatinya. Persoalan-persoalan seperti benarkah tuhan itu wujud, kalau wujud apa yang Tuhan itu mahukan dari kita sebagai manusia dan pelbagai persoalan lain begitu menghujani kotak pemikirannya.

Merasakan semua jawapan ini ada dalam ajaran Kristian, maka Deanna mula mempelajari kitab Injil dan buku-buku mengenai agama itu dengan lebih mendalam.

"Oleh kerana merasakan saya sudah agak matang dan tahu menilai sesuatu itu maka dengan sendirinya saya mula meragui mengenai Kristian.

"Ini apabila saya menemui pelbagai pelbagai percanggahan terutamanya mengenai Nabi Isa a.s. Adakala Nabi Isa dirujuk sebagai anak Tuhan tetapi ada kala disebut juga sebagai manusia biasa dalam kitab Injil itu," katanya.

Walaupun begitu Deanna masih percaya bahawa Injil tetap benar, tidak ada yang salah mengenai kitab itu.

"Yang tidak kena adalah saya, yang bermasalah adalah saya bukan Kitab itu. Saya yang tidak cukup ilmu untuk memahami apa yang saya baca.

"Sebagai penganutnya, agama itu mengajarkan bahawa Kristian itu sebenarnya agak mistik dan yang lebih penting sesuatu agama itu tidak semestinya mesti masuk akal, logik atau mesti ada penjelasan di sebalik sesuatu itu," katanya.

Deanna sedar tuhan boleh melakukan apa sahaja yang Dia suka kerana Dia tuhan. Maka jika ada perkara yang sukar untuk dipercayai dan diterima akal hanya kerana manusia yang lemah, yang tidak mampu untuk memahami apa kebenaran yang cuba dibawa oleh tuhan.

Oleh itu sebagai pengikut-Nya, kita hanya perlu menerima sahaja tanpa banyak soal.

"Tetapi saya tertarik kepada dua tiga ajaran yang saya temui antaranya umat Kristian sebenarnya dilarang makan daging babi kerana larangan tersebut ada disebut dalam Kristian dan dalam Kitab itu juga tidak menyebut mengenai sebarang sambutan Krismas," katanya.

Apabila Deanna melanjutkan pelajaran ke Universiti Colorado, beliau berkenalan dengan seorang wanita yang sering mengunjungi gereja.

"Buat pertama kali bersama dengannya saya mengunjungi sebuah gereja di situ tetapi dari kunjungan pertama itu sudah membuatkan saya kecewa," katanya.

Sebabnya, pihak gereja telah membahagi para pengunjung kepada kumpulan yang taat dan kumpulan yang dianggap ingkar dengan pihak paderi.

Saat kemudian, Deanna kemudiannya berkenalan dengan seorang lelaki Islam, iaitu orang Islam pertama yang pernah beliau temui selama ini. Ditambah Deanna sendiri tertarik untuk mengenali mereka yang mempunyai latar belakang budaya yang berbeza menyebabkan mereka menjadi rakan baik.

Namun dari perkenalan itu, tentu sahaja membuatkan Deanna mula tertarik mengenali Islam.

"Kenapa umat Islam bersembahyang dengan cara tertentu? Tuhan apa yang disembah dan apa yang mereka pinta kepada tuhan mereka itu, kenapa umat Islam percaya dengan agama mereka sendiri dan pelbagai lagi persoalan yang menerjah masuk.

"Sedangkan dalam Kristian, agama itu tidak mempunyai rukun ibadat yang tertentu. Sebagai penganut agama itu, kita hanya perlu meminta apa sahaja dari Tuhan dan lakukannya atas nama nabi Isa sebagai Anak Tuhan," katanya.

Di samping semua penganut agama itu diminta untuk berterima kasih kepada Nabi Isa yang merelakan dirinya mati disalib semata-mata untuk menebus kesalahan umat manusia yang mewarisi dosa dari Nabi Adam dan Siti Hajar.

"Namun, apa yang saya mahukan hubungan saya dengan tuhan tidak sekadar untuk meminta-minta. Semua ini menyebabkan saya mula membaca terjemahan al-Quran terbitan Pickthall," katanya.

Apabila Deanna membaca kitab itu, beliau terus memberikan reaksi yang berbeza.

Beliau amat terkejut tetapi kagum apabila terdapat banyak persamaan catatan sejarah mengenai Kristian dan Yahudi disebut dalam al-Quran itu.

"Saya tidak pernah menyedari terdapat hubungan yang cukup rapat antara agama Yahudi, Kristian dan Islam. Selama ini, saya fikirkan agama tersebut agama dari timur sebagaimana agama Hindu dan Buddha.

"Tetapi yang paling ketara saya temui tiap kali saya membaca ayat-ayat mengenai Nabi Isa dari al-Quran secara jelas bahawa baginda bukannya seorang tuhan dari tiga tuhan atau Anak Tuhan," katanya.

Lalu Deanna terus menemui Ketua Pengajian Injil di kampusnya dan ahli kumpulan pengajian supaya memberitahunya ayat mana dalam kitab Injil yang mengatakan bahawa Nabi Isa itu adalah tuhan yang datang untuk menebus dosa umat manusia.

"Mereka kemudiannya meminta saya supaya percaya bulat-bulat bahawa Nabi Isa itu sebenarnya tuhan dan tidak perlu bertanyakan lagi soalan seperti itu, tentu sahaja jawapan seperti itu sangat mengecewakan saya," katanya.

Ini membuatkan Deanna terfikir, kalau benar tuhan itu membawakan agama, agama yang dibawa itu mestilah agama yang logik, yang boleh kita fahami.

Beliau tetap bertanyakan Ketua Pengajian Injilnya itu, iaitu seorang yang pernah melakukan melakukan misi-misi memurtadkan umat Islam di Algeria.

"Saya juga bertanyakan apa nasib umat Islam yang tidak menganut Kristian terutama di kemudian hari.

"Ketua itu berkata umat Islam pastinya merupakan penghuni yang akan diseksa di neraka kecuali jika mereka menerima Nabi Isa (sebagai Tuhan) namun lazimnya sukar untuk mereka berbuat demikian kerana mereka mempunyai kepercayaan yang cukup tebal atas nama akidah dan iman yang kukuh terhadap Allah," katanya.

Sukar bagi Deanna menerima jawapan ketuanya itu. Ini kerana baginya beliau melihat sendiri bagaimana umat Islam itu begitu taat terhadap ajaran serta tunduk dan patuh terhadap Allah, tuhan mereka berbanding umat Kristian.

"Ini membuatkan saya tidak memahami bagaimana mereka yang mematuhi ajaran agama seperti itu hendak dibalas dengan api neraka," katanya.

Deanna juga bertanyakan mengapa al-Quran itu mempunyai banyak persamaan dengan kitab Injil tetapi kitab umat Islam itu ditolak bulat-bulat oleh Kristian.

Menurutnya ketuanya itu, kitab al-Quran itu dibawa oleh syaitan yang bertujuan menyesatkan manusia jadi wajar kitab itu haram di sisi umat Kristian.

"Saya hampir-hampir menangis mendengarkan jawapan itu namun saya terus bertanyakan sama ada dia (ketuanya) itu pernah membaca al-Quran kerana saya hendak bertanya mengenai surah-surah tertentu dari kitab itu," katanya.

Namun Deanna beroleh kejutan daripada jawapan yang diberikan. Ini apabila ketuanya itu memberitahu, beliau hanya selak sahaja kitab al-Quran itu kerana membaca kitab itu membuatkannya sakit perut.

"Tentulah saya terkejut sedangkan dalam tempoh beberapa bulan saya mampu membaca al-Quran itu hingga khatam dan mempelajari mengenai Islam melebihi Ketua Agama saya.

"Saya sedar ketua saya itu tidak membuat satu penilaian yang adil mengenai al-Quran sedangkan dia langsung tidak pernah cuba mengkaji dan membaca kitab itu," jelasnya.

Hal itu menjadi titik tolak kepada Deanna kerana beliau tidak lagi boleh percaya kepada sesiapa dalam pencarian kecuali melakukannya sendiri. Perlahan-lahan beliau mula mengikis kepercayaan bahawa Nabi Isa itu adalah Tuhan. Perkara ini sebenarnya bukan mudah dilakukan kerana beliau selalu memikirkan kalau silap langkah maka dengan mudah akan dihumban ke dalam api neraka.

"Tetapi kepercayaan saya semakin menebal terhadap Nabi Muhammad bahawa baginda merupakan nabi terakhir dan al-Quran itu sudah semestinya merupakan kata-kata atau kalam dari Allah sendiri," katanya.

Beberapa bulan selepas menemui pemimpin pengajian Kitab Injil itu, Deanna akhirnya memeluk Islam pada 14 Februari 1996.

Tindakan Deanna itu menyebabkan beliau teruk dimarahi oleh ibu bapa dan kaum keluarganya. Namun, beliau tidak mahu menjadikan pengislamannya itu sebagai penghalang hubungan antara seorang anak dengan ibu bapa yang melahir dan membesarkannya.

"Ibu saya sering menangis, malah tangisannya semakin kuat apabila melihat saya mengenakan hijab manakala bapa saya langsung tidak lagi mahu bercakap dengan saya tetapi saya sedar mungkin kerana mereka tidak memahami.

"Saya hanya mampu bersabar kerana suasana emosi begitu kuat berbanding untuk mereka menerima perkara yang logik mengenai agama dan Islam itu sendiri," katanya.

Ahad, 28 Jun 2009

ROKOK DAN ANDA

Perokok pesakit mental'

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my


GAMBAR sinaran-X paru-paru yang dijangkiti barah.

10,000 rakyat Malaysia mati setiap tahun kerana rokok

PEROKOK di Malaysia menghisap 33 juta batang rokok sehari. Dengan anggaran minimum sebatang rokok berharga 26 sen, perokok membelanjakan kira-kira RM8.6 juta sehari untuk membeli rokok! Suatu pembaziran yang boleh dielakkan.

Justeru, tidak hairan apabila merokok disifatkan sebagai sejenis penyakit. Malah mengikut pengkelasan penyakit antarabangsa, merokok dikodkan sebagai F17.2 iaitu kategori penyakit mental dan perlakuan yang memungkinkan perokok ditakrifkan sebagai penagih.

Penolong Pengarah Kanan Kawalan Tembakau dan FCTC (Konvensyen Rangka kerja dan Kawalan Tembakau), Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr Zarihah Zain, berkata tembakau


adalah penyebab kematian dan kesengsaraan paling utama di dunia ketika ini.

Lebih daripada lima juta orang meninggal dunia akibat penggunaan tembakau, jumlah yang lebih besar daripada gabungan pesakit malaria, HIV/Aids dan batuk kering.

ORANG ramai tidak menghiraukan larangan merokok di zon yang ditetapkan.

Anehnya, tembakau yang dihasilkan sebagai barang pengguna masih dijual secara terbuka walaupun fakta sains menjelaskan separuh daripada perokok akan meninggal dunia akibat penyakit berkaitan tembakau.

Di Malaysia, orang Melayu adalah perokok paling ramai iaitu 1.66 juta atau 60.9 peratus daripada keseluruhan 2.73 juta perokok. Majoriti perokok adalah orang dewasa dan hanya 103,630 perokok remaja.

“Setiap tahun syarikat pengeluar rokok membelanjakan jutaan ringgit untuk memikat perokok baru, selain mengekalkan ketagihan di kalangan perokok sedia ada. Dengan kempen dan pelbagai promosi, industri tembakau sebenarnya cuba mengalihkan perhatian perokok daripada fakta sebenar menghisap rokok iaitu komplikasi penyakit,” katanya.

Pada 1998, enam juta dokumen ‘rahsia’ daripada tujuh pengeluar rokok terkemuka di Amerika Syarikat seperti Philip Morris Incorporated, RJ Reynolds Tobbaco Company, Brown & Williamson Tobacco Corporation dan British American Tobacco Industries didedahkan berikutan membabitkan kes perundangan.

Dokumen setebal 35 juta halaman itu mendedahkan pelbagai taktik kotor pengeluar tembakau untuk terus menyebabkan ketagihan. Misalnya, memorandum jualan daripada pengeluar rokok, Lorillard Tobacco Company menyebut: “Asas perniagaan kita adalah pelajar sekolah menengah atas.”

Saintis Kanan British American Tobacco membuat dua kenyataan yang menggerunkan iaitu ‘perokok adalah penagih nikotin’ dan ‘perokok wanita lebih bermotivasi untuk merokok dan sukar berhenti. Perokok wanita lebih neurotik (tidak stabil dari segi mental) berbanding lelaki dan lebih suka merokok apabila tertekan.’

Walaupun pendedahan ini mendapat liputan meluas media, ia belum berupaya sepenuhnya untuk membantu perokok membuang ketagihan. Tidak dinafikan kemungkinan tahap nikotin dalam rokok pada masa ini kemungkinan lebih tinggi berbanding rokok sekitar 90-an atau 80-an.

Industri pengeluaran rokok kini menyasarkan lelaki dan perempuan kumpulan kelas pertengahan dan golongan kurang berpendidikan sebagai sasaran pasaran baru. Di Amerika, sasarannya ialah golongan kulit hitam, Hispanik dan masyarakat daripada Kepulauan Pasifik.

Di Malaysia, jumlah perokok wanita juga semakin ketara. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 mencatatkan 2.5 peratus wanita pernah merokok, 1.6 peratus masih merokok dan 0.9 peratus berjaya berhenti merokok. Di kalangan lelaki, 57.6 peratus pernah merokok, 46.4 peratus masih merokok, manakala 11 peratus berjaya berhenti merokok.

Sejak 1998, semakin banyak negara bertegas dalam menangani perokok. Banyak negara sudah mensyaratkan semua rokok di pasaran mesti dibungkus dengan grafik komplikasi merokok, misalnya barah paru-paru dan keguguran janin.

Di Malaysia, sejak 1 Jun 2009, semua kotak rokok di pasaran mesti mempunyai 40 peratus amaran bergambar di bahagian hadapan dan 60 peratus di belakang kotak.

Dr Zarihah berkata, daripada kajian yang dibuat, kebanyakan perokok berasa terancam dari segi psikologi dengan kotak rokok beramaran. Daripada enam amaran bergambar (barah paru-paru, keguguran janin, kelahiran pramatang, barah mulut, barah tengkuk dan gangrene) perokok lebih memilih rokok dengan gambar beramaran ‘cap kaki’ (gangrene).

Jika semua fakta itu tidak menyentuh perasaan perokok, ada satu lagi alasan yang sangat kuat untuk perokok berhenti merokok. Kajian terbaru mendapati, walaupun merokok di luar rumah atau di dalam bilik khas, partikel dan gas dari asap rokok berupaya melekat di rambut dan pakaian perokok.

Kemudian, apabila perokok pulang ke rumah menyentuh anak-anak dan isteri, mereka juga berisiko berdepan dengan pelbagai komplikasi kesihatan akibat merokok. Antaranya, masalah jantung.

‘Third hand smoker’ atau perokok ketiga adalah terma terbaru yang digunakan bagi menjelaskan golongan yang berisiko pada kewujudan toksin tidak dapat dilihat yang datang dari gas dan partikel sebatang rokok.

Malah, gas dan partikel rokok bukan saja melekat pada rambut dan pakaian perokok tetapi juga permaidani dan sofa. Kewujudan terma perokok ketiga ini juga hasil rumusan kajian terhadap risiko rokok pada bayi dan kanak-kanak. Laporan itu diterbitkan dalam Jurnal Pediatrik Amerika Syarikat pada Januari 2009.

Pakar Runding Kardiologi, Jabatan Kardiologi Institut Jantung Negara, Dr Aizai Azan Rahim, berkata merokok adalah punca kira-kira 30 peratus daripada masalah jantung koronari dan ia adalah faktor risiko utama bagi strok iskemia dan penyakit berkaitan arteri.

“Perokok ketiga tercemar dengan saki baki asap rokok yang mencemari persekitaran. Biasanya asap rokok kekal di situ selepas rokok habis dihisap. Partikel kimia menyebabkan tembakau terbakar termasuk tar dan nikotin terlekat pada pakaian, rambut, bekas rokok pada kadar yang lebih lama walaupun asap sudah hilang dari udara. Partikel ini membentuk lebih 200 gas beracun yang kebanyakannya menyebabkan barah seperti arsenik dan amonia.

“Jadi perokok ketiga juga berdepan dengan risiko serangan acute coronary syndrome (ACS) (masalah jantung membabitkan kekurangan aliran darah ke jantung) atau barah. Tiada tahap selamat pada pendedahan terhadap asap rokok,” katanya.

Dr Aizai berkata, langkah berhenti merokok adalah asas pencegahan masalah jantung yang utama. Ini kerana berhenti merokok boleh mengurangkan risiko masalah jantung dengan ketara dalam tempoh dua tahun pertama.

Bagi perokok wanita, mereka lebih cenderung menderita barah pangkal rahim jika terus merokok.

Berhenti merokok, katanya membantu mengurangkan kadar kematian akibat penyakit jantung koronari berbanding terapi pencegahan lain seperti mengurangkan pengambilan kolesterol. Justeru, langkah berhenti rokok adalah asas dalam pencegahan penyakit kardiovaskular. Malah, tabiat merokok juga mengurangkan manfaat ubat yang mencegah faktor risiko kardiovasular.

Pada abad ke-20, 100 juta penduduk dunia meninggal dunia disebabkan penyakit berkaitan tabiat merokok. Pada 2030, dianggarkan lapan juta kematian disebabkan faktor yang sama setiap tahun dengan 80 peratus berlaku di negara membangun.

“Di Malaysia, 10,000 orang berhenti merokok setiap tahun. Malangnya mereka berhenti kerana meninggal dunia,” katanya.

Terlalu banyak penyakit yang dikaitkan dengan merokok. Malah setiap tahun jumlah kemasukan ke wad disebabkan komplikasi merokok meningkat. Pada 2006, 31,186 kemasukan dicatatkan di 773 unit rawatan rapi di Malaysia.

Daripada jumlah itu, 12,534 kemasukan dikaitkan dengan ACS. Malah ACS membabitkan 47 kes dalam setiap 100,000 populasi, manakala insiden masalah koronari yang lain dicatatkan 141 per 100,000 populasi.

Dr Aizai berkata, satu daripada cabaran utama perokok untuk membuang tabiat itu ialah ketagihan dan kebergantungan pada nikotin. Malah, mungkin kandungan nikotin dalam rokok yang ada di pasaran hari ini lebih tinggi berbanding nikotin dalam rokok yang dipasarkan sekitar 70-an atau 80-an. Namun, tiada kajian mengenainya dibuat.

“Ada terapi berhenti merokok menjimatkan kos yang boleh dipilih perokok jika mereka ingin berbuat demikian. Terapi penggantian nikotin boleh didapati dalam pelbagai bentuk, gula-gula getah, lozenges, tampalan, semburan hidung dan penyedut.

“Malah, ada juga pilihan ubat oral bukan nikotin yang dihasilkan secara khusus untuk membantu pengguna berhenti merokok,” katanya.

Isnin, 22 Jun 2009

Hidayah dan Kebenaran

KAJIAN MEMBAWA MILLER KEPADA ISLAM

BELIAU seorang pakar dalam bidang matematik. Ini kerana beliau suka sesuatu yang logik, yang boleh diselesaikan melalui kekuatan dan boleh diterima oleh akal. Oleh itu beliau tidak mudah untuk menerima sesuatu itu jika ia tidak logik atau masuk akal.

Ini termasuk juga soal pegangan agama. Namun baginya agama Kristian menepati semua prinsip-prinsip saintifik dan ilmu yang menyebabkan beliau tidak sahaja percaya sepenuhnya malah beliau juga seorang yang sangat aktif sebagai seorang paderi.

Sehinggalah pada suatu hari iaitu pada tahun 1978, beliau bercadang untuk membaca kitab suci umat Islam, al-Quran. Niatnya untuk mencari sebarang kesalahan dan kesilapan dalam isi kandungan dan ajarannya.

Paderi tersebut, Dr. Gari Miller bercadang mengambil kesempatan setiap kesilapan yang beliau temui dari al-Quran untuk digunakan sebagai senjata melemahkan umat Islam dalam usahanya untuk menarik mereka kepada Kristian.

Miller yakin akan menemui pelbagai kesalahan kerana beliau menganggap al-Quran, sebuah kitab agama yang sangat tua. Sudah 14 abad usianya dan pastinya pada hari ini boleh ditemui pelbagai kesilapan di dalamnya.

Namun, apa yang berlaku adalah di sebaliknya. Beliau yang berasal dari Toronto, Kanada itu, tanpa disangka terus memeluk Islam! Ini kerana beliau langsung tidak menemui sebarang kesilapan dari kitab itu malah yang ditemui hanyalah kebenaran demi kebenaran!

Tentu sahaja tanpa sebarang keraguan beliau mengambil keputusan sedrastik itu kerana Miller juga seorang yang sangat arif mengenai kitab Injil. Lantas ini yang membuatkan beliau menemui pelbagai perbezaan antara kedua-dua kitab itu dan mana yang lebih logik untuk diterima oleh akal!

Beliau kemudiannya dikenali sebagai Abdul Ahad Omar. Apa yang membuatkan beliau terkejut mengenai al-Quran ialah apabila kitab itu mengandungi lebih banyak kisah mengenai Nabi Isa a.s yang dianggap tuhan dalam Kristian berbanding Nabi Muhammad SAW itu sendiri. Sedangkan Nabi Muhammad yang membawa dan menyebarkan Islam di muka bumi ini.

"Saya lebih terkejut lagi apabila al-Quran memperuntukkan satu surah yang khas, iaitu surah Mariam (Mary) bagi mengisahkan ibu Nabi Isa sedangkan jika Mariam itu benar-benar ibu kepada seorang 'tuhan' dalam Kristian, beliau sepatutnya layak diceritakan dalam tajuk atau surah yang khas di dalam kitab Injil.

"Tetapi perkara seperti itu tidak pernah terjadi malah tidak ditemui. Malah yang lebih mengharukan saya, mengapa Siti Mariam yang terpilih kisahnya dicatatkan dalam satu surah sedangkan beliau hanya ibu kepada Nabi Isa, mengapa al-Quran tidak mengutamakan sama ada Siti Aishah, isteri Rasulullah mahupun Siti Fatimah, anak perempuan baginda untuk dirakam dalam surah-surah khas, sedangkan mereka lebih layak kerana memberikan sumbangan yang besar kepada Islam?," ujar Abdul Ahad.

Namun yang lebih mengejutkan Abdul Ahad ini apabila dalam al-Quran juga disebutkan Nabi Isa itu sebanyak 25 kali berbanding Nabi Muhammad yang empat kali sahaja disebutkan dalam kitab suci itu.

Ini menjadikannya semakin keliru. Beliau tidak menyangka bahawa Nabi Isa dijelaskan oleh Allah sebagai menghapuskan kekeliruan di kalangan penganut Kristian yang selama ini menganggap bahawa Nabi Isa itu adalah tuhan.

Tetapi oleh kerana ketika itu niatnya hendak mencari sebarang kesalahan, Abdul Ahad terus berusaha membongkar setiap isi kandungan al-Quran. Beliau tetap percaya kesilapan pasti akan wujud di mana-mana walaupun kitab itu telah memberi banyak jawapan yang benar mengenai soal kenabian Isa dan bukannya tuhan sebagaimana yang disangka oleh umat Kristian.

Namun Abdul Ahad terus menerima kejutan demi kejutan. Apa yang lebih memeranjatkan apabila makna ayat al-Quran, iaitu dari surah an-Nisa' ayat 82, seolah-olah tepat ditujukan kepada beliau. Abdul Ahad benar-benar terduduk dan terkejut.

Firman Allah yang bermaksud: Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan (ikhtilafan) yang banyak di dalamnya... (an-Nisa': 82).

Tidak tergambar perasaan terkejut beliau, seolah-olah Allah tahu niat buruknya itu. Ini menjadikan Abdul Ahad tidak lagi terdaya meneruskan niatnya itu kecuali menerima hakikat dan kebenaran yang terbentang di hadapannya itu kini.

Sebelum itu beliau pernah bertanyakan kepada kalangan umat Islam yang lain, sama ada Nabi Muhammad itu seorang nelayan atau ahli pelayaran.

Tentu sama sekali tidak, kerana seumur hidup baginda, baginda tidak pernah keluar kecuali berada di padang pasir yang tandus dan tidak pernah menuju ke mana luar dari Tanah Arab apatah lagi melalui jalan laut.

Ini menyebabkan Abdul Ahad kehairanan. Jika benar bagai dikatakan itu, bagaimana al-Quran itu mampu bercerita mengenai keadaan laut yang bergelora, tiupan angin dan kedudukan awan dan sebagainya sedangkan Nabi Muhammad yang beliau tuduh sebagai menulis semua isi kandungan kitab itu bukan seorang ahli pelayaran atau nelayan!

Menurut Abdul Ahad, menerusi al-Quran pelbagai kelogikan akal dan menepati kehendak sains, beliau temui. Ayat 30 surah al-Anbiyaa' misalnya, adalah apa yang selama ini para saintis kaji dan temui. Iaitu; Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu (kanataa). Lalu kami pisahkan kedua-duanya (fafataknaahuma) dan Kami jadikan dari air tiap-tiap benda yang hidup (minnal ma'ie) dan mengapa mereka tidak mahu beriman?

Kata beliau, ayat ini merupakan apa yang selama ini para saintis kaji mengenai asal kejadian alam dan hidupan di muka bumi ini bagi melayakkan memenangi anugerah Nobel pada tahun 1973.

"Iaitu penemuan Teori Great Explosion (Letusan Hebat) yang antara lain mendapati bahawa bumi ini terhasil dari satu kejadian letupan yang paling hebat dan kuat yang pernah berlaku yang membawa kepada pemisahan antara kedudukan bumi dengan langit dan planet-planet yang lain," kata Abdul Ahad.

Namun hakikat al-Quran yang beliau tidak nafikan kebenarannya apabila Allah menyebut betapa Yahudi itu benar-benar musuh Islam walaupun puak-puak itu mendakwa mereka melayani umat Islam sebagai kawan.

"Jika Yahudi mendakwa sedemikian rupa, mengapa Allah berkata yang sebaliknya pula, mesti ada sesuatu yang tidak kena pada al-Quran ini," kata Abdul Ahad sebelum mengucap syahadah.

Namun dalam banyak ayat dalam Kitab itu akhirnya Abdul Ahad menyedari kebenaran bahawa Yahudi itu memang musuh Islam. Ia sebagaimana yang terbukti berlaku pada hari ini apabila puak itu sentiasa mengambil kesempatan untuk memerangi umat Islam dalam apa juga bentuk.

Beliau kini adalah seorang pendakwah yang aktif dan komited dalam menjelaskan kebenaran Islam terutama dari aspek sains.

Buku karangannya, The Amazing al-Quran menceritakan segala-galanya. Terlalu banyak di dalam bukunya itu yang mendedahkan pelbagai lagi aspek fakta kebenaran al-Quran yang tidak dilihat dari satu satu-satu sudut semata-mata malah kepincangan kitab Injil turut menjadi tumpuan dalam bukunya itu.

Ahad, 21 Jun 2009

Setibanya Kami di SMKA Sandakan

Alhamdulillah

Bersyukur kepada Allah kerana telah memudahkan pejalanan kami ke SMKA Sandakan. Saya pernah sampai ke Sekolah ini pada tahun lalu sebagai memenuhi jemputan memberikan ceramah sempena Teknik Menjawab Peperiksaan SPM bagi mata pelajaran Pendidikan Syariah Islamiah. Suasana sekolah ini mengalami perubahan yang baik dan sistematik. bangunan Pentadbiran dan bangunan Akademik merupakan tempat yang paling ceria dan menyejukkan mata memandang.

Suasana Kantin mereka
papan kenyataan Penuh dengan Info

Santai

Di Kantin SMKA Sandakan

Posing...


Peserta Lelaki ( Asrol Izzat, Iman, Kamarool, Amrullah )

Ihtifal SMKA


pemandangan senja Jalan Menuju SIM-SIM. saya dengan Ust. Rezany


Sekitar Majlis Ihtifal SMKA Peringkat Negeri

Peserta Akhir Kuiz Bahasa Arab ( Hijau - SMAKK, Merah - SMKAL )


Peserta kita bergambar setelah selesai majlis Perasmian Penutupan

Sedang memeriksa jawapan kuiz peringkat saringan ( Yang paling belakang tu.. ust Muhaimin, bekas guru Semekar )

Pelajar-Pelajar bermuzakarah dan mengulangkaji pelajaran mereka.Mereka memanfaatkan pondok yang telah dibina oleh pihak sekolah


Dataran al-Kautsar ( dilihat dari tingkat 1 bagunan akademik )
Alangkah baiknya jika dataran sekolah kita begini, ada pondok dan air pancut lagi. Difahamkan SMKA sandakan menghabiskan kos RM 8.000 sahaja untuk membangunkan lanskap di dataran ini

Nuryanti Manor ( warna Oren ) tekun menjawab Kuiz

Amrullah Abd. Rauf Sedang tekun menjawab Kuiz Bertulis

Kuiz Bahasa Arab Saringan 1


back drop


Cari Blog Ini